Kemenangan Aaron bagaimanapun menimbulkan riak kurang senang daripada Timbalan Presiden Seniman pada waktu itu iaitu Zed Zaidi. Hal ini kerana Aaron merupakan artis kelahiran Singapura. Dia orang luar yang menumpang cari makan dalam lapangan seni Malaysia, tetapi akhirnya telah menyingkirkan anak tempatan apabila lebih digemari peminat berbanding bakat lokal.

Tidak menafikan bakat dan rezeki Aaron, tetapi kata Zed yang kecewa dengan pilihan rakyat Malaysia: “Saya tahu dia ada mohon kerakyatan Malaysia, tapi dia sudah dapat ke belum? Masalahnya, janganlah bangga sangat dengan ID Singapore dia. Dia bukan orang Malaysia lagi. Bagi saya, dia dianggap orang luar sebab tidak ada MyKad.”

Setahun kemudian, pelakon filem KL Gangster itu sah menjadi rakyat Malaysia apabila dengan rasminya memiliki MyKad selepas permohonan kerakyatannya diluluskan.

Aaron hanya salah satu contoh artis kelahiran Republik Singapura yang merupakan sebuah negara pulau yang terletak di tepi hujung selatan Semenanjung yang berjaya di Malaysia. Selain Aaron terdapat banyak pelaku seni generasi kini yang diterima baik di Malaysia. Mereka termasuklah penyanyi Awi Rafeal, pelakon Aliff Aziz dan Shah Iskandar serta terkini yang sedang menggamit perhatian ialah Hannah Delisha.

Polemiknya tentang artis Singapura hidup mewah di Malaysia adalah cara bagaimana mereka bekerja. Adakah memiliki permit atau sebaliknya dan betulkah mereka mempunyai kredibiliti yang lebih baik daripada artis tempatan. 

Terbalik

Mengikut peraturan, setiap artis dari luar negara yang ingin menjalankan sebarang aktiviti seni di negara ini perlu mendapatkan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

PLIK dikeluarkan kepada warganegara asing yang ingin bertugas dan menjalankan kerja-kerja khusus untuk jangka masa singkat di Malaysia.

Permohonan tersebut hanya boleh dikemukakan oleh penaja tempatan.

Bagaimanapun, kelulusan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara perlu diperoleh terlebih dulu daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) sebelum mengemukakan permohonan PLIK kepada JIM.

Ini bermakna setiap artis luar tidak kiralah dari negara mana perlu mematuhi peraturan ini. Jika tidak, mereka barangkali akan berdepan insiden sama seperti yang pernah berlaku kepada pelakon drama Kelip-Kelip Di
Kota London, Nadiyah Shahab apabila ditahan Imigresen Malaysia di Johor sekali gus dilarang memasuki negara ini pada 1 April lalu berkaitan isu ketiadaan permit kerja. Dia terpaksa pulang ke Singapura dan selepas selesai isu tersebut, barulah Nadiyah dapat ‘menyeberang’ ke sempadan.

Jauh sebelum artis kelahiran Singapura menumpang cari makan di Malaysia, perkara sebaliknya telah berlaku sejak sekitar tahun 1940-an sehingga 1960-an. Ironinya, banyak pelaku seni Malaysia mencetak nama mereka di Singapura dan ia diterima baik oleh semua.

Di sebuah jalan yang cukup tersohor iaitu Jalan Ampas, di sinilah banyaknya legenda seni tempatan memahat nama mereka pada awal karier. Di sini berdirinya empayar sebuah syarikat iaitu Malay Film Productions Ltd.

Menerusi Shaw Brothers juga, anak kelahiran Pulau Pinang telah menggoncang layar perfileman Melayu pada ketika itu di Singapura bernama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Selain P. Ramlee, Allahyarham Aziz Sattar, Allahyarham Puan Sri Saloma atau Allahyarham Jins Shamsudin misalnya pernah membina nama mereka di sana.

Dan, filem seperti Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku menjadi popular serta klasik kultus juga dibikin di Singapura. Jika ada yang lupa atau bising-bising, kilas semula ke masa lampau, bagaimana legenda tempatan berdikit dan bersusah payah meledakkan kehebatan mereka dengan menumpang tumpahkan bakat serta karya yang berpusat di Singapura.

Selain filem, kebanyakan penyanyi zaman 1980-an seperti kumpulan Search menggunakan khidmat komposer serta sifu muzik mereka iaitu Datuk M. Nasir untuk memberikan sentuhan sakti dalam penghasilan album-album mereka yang dirakamkan dalam beberapa studio terkenal di Singapura.

Penyanyi lagu raya hit, Bersabarlah Sayang, Sanisah Huri dari Singapura pula menawan hati peminat Malaysia menerusi lagu raya tersebut.

Malaysia atau Singapura waima Indonesia, kata klisenya adalah negara Nusantara yang serumpun. Karya-karya yang dihasilkan mampu diterima baik kesemua peminat dari tiga negara ini. Pengisiannya sama ada dalam sebuah melodi atau plot sebuah filem tetap diminati ramai, selagi pembikin atau penggiat seninya tidak melanggar susila apabila memperlekeh sensitiviti sosiobudaya atau negara masing-masing.