MOHD. KHAIRIL
MOHD. KHAIRIL

Daripada urusan pengangkutan awam, membeli-belah, khidmat penghantaran makanan sehingga kaedah pembayaran, kini banyak menggunakan sistem tanpa tunai seperti kad debit, kad kredit, wang elektronik (e-Wang) dan dompet elektronik (e-Dompet).

Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada tahun lalu menyaksikan perkembangan signifikan bagi pasaran e-Dompet di Malaysia dengan penyertaan penyedia perkhidmatan global dalam pasaran yang mendorong persaingan serta menggalakkan lebih banyak syarikat mengambil bahagian dalam segmen tersebut.

Menurut Laporan Ekonomi 2017-2018, e-Dompet pada asasnya adalah versi digital dompet fizikal yang menyimpan maklumat pengguna seperti identiti, e-mel dan alamat rumah.

Ia juga menyimpan pelbagai kad kredit serta nombor akaun bank, kad hadiah dan kad kesetiaan dalam persekitaran yang selamat.

Cabaran

Secara khususnya, urus niaga dompet mudah alih global bernilai kira-kira AS$594 bilion (RM2.4 trilion) pada tahun 2016 dan dijangka mencecah AS$3.1 trilion (RM12.6 trilion) menjelang tahun 2022 iaitu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 32 peratus antara tahun 2017 dan 2022.

Berdasarkan laman web Bank Negara Malaysia, hampir 40 syarikat penyedia perkhidmatan e-Dompet mendapat kelulusan daripada bank pusat itu untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.

Antara yang beroperasi secara aktif termasuklah Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. (Axiata Digital) menerusi perkhidmatan Boost, Valyou Sdn. Bhd., (vcash), Touch ‘n Go Sdn. Bhd., (Touch ‘n Go), Alipay Malaysia Sdn. Bhd., (Alipay) dan Grab Malaysia (GrabPay).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd. Khairil Abdullah, para pemain industri menghadapi cabaran bagi mendidik orang ramai untuk menggunakan kaedah tanpa tunai.

“Pesaing utama kami bukanlah pemain industri yang lain tetapi kaedah tunai itu sendiri yang wujud sejak zaman dahulu.

“Disebabkan itu, kami sering berbincang dengan syarikat-syarikat penyedia e-Dompet yang lain untuk terus bekerjasama rapat dalam mendidik pengguna serta menarik lebih banyak syarikat menyertai sektor ini.

“Jika lebih banyak jenama e-Dompet ditawarkan, maka lebih ramai pengguna akan menggunakan kaedah itu dalam urusan urus niaga harian mereka,” ujarnya kepada Kosmo! pada majlis menandatangani dua memorandum persefahaman antara anak syarikat Axiata Digital dan PUC Bhd., di Menara Axiata, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Mohd. Khairil, Axiata Digital menerusi platform e-Dompetnya, Boost yang mula dilancarkan pada Januari tahun lalu sehingga kini mempunyai kira-kira 2.7 juta pengguna dengan sejumlah 30,000 rakan dagang dalam dan luar talian dengan lebih 25,000 titik sentuh pembayaran.

“Bertepatan dengan namanya e-Dompet, pengguna perlu menambah nilai wang mereka dalam aplikasi itu dan pembayaran dibuat berdasarkan baki tunai yang ada di dalamnya,” jelasnya.

Meskipun jumlah pengguna Boost kini mencecah 2.7 juta orang, pihaknya melihat kadar penembusan penggunaan e-Dompet dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

Setakat ini, tiada data khusus yang dikeluarkan berkenaan kadar penggunaan e-Dompet di Malaysia.