Sidang kemuncak yang dinantikan seluruh masyarakat dunia itu dianggap membawa harapan terhadap keamanan sejagat selain mampu menjadi langkah pemula bagi kedua-dua pemimpin dalam merealisasikan kempen perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Ironinya, pertemuan itu dilihat hampir mustahil untuk dijayakan memandangkan perang mulut yang berlarutan antara Trump dan Jong-un sejak tahun lalu berhubung penghasilan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Pyongyang yang didakwa mampu sampai ke tanah besar AS.

Di atas kertas, hasrat negara kuasa besar dunia, AS untuk menghentikan program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara mungkin menjadi kenyataan seandainya pertemuan itu membuahkan hasil seperti yang diharapkan kedua-dua pihak.

Ancaman

Bagaimanapun, ‘sandiwara’ dan ‘drama’ yang berlaku sejak berita awal mengenai sidang kemuncak itu disiarkan di dada-dada akhbar dan media massa boleh sahaja menjadi penyebab kegagalan rundingan berprestij antara Washington dan Pyongyang tersebut.

Ini termasuklah bolak-balik mengenainya apabila Trump bertindak membatalkan pertemuan yang dirancang dengan Jong-un pada 24 Mei lalu berikutan berang dengan kenyataan Korea Utara yang dianggap ‘kemarahan yang keterlaluan dan perseteruan terbuka’.

Sebelum itu, Korea Utara bertindak mengecam Naib Presiden AS, Mike Pence sebagai ‘jahil dan bodoh’ berhubung komen yang dibuat pemimpin itu mengenai rancangan persidangan dengan Trump selain mengancam membatalkan sidang kemuncak antara kedua-dua negara.

Kecaman itu dibuat oleh Naib Menteri Hal Ehwal Luar Korea Utara, Choe Son-hui ekoran temu ramah Pence yang memberi amaran kepada rejim Jong-un bahawa adalah satu kesilapan besar jika beliau cuba ‘mempermain-mainkan’ Trump.

“Kami tidak akan merayu Washington untuk berdialog atau bersusah-payah memujuk jika mereka tidak mahu duduk bersama kami. Sama ada AS akan bertemu kami di bilik mesyuarat atau berdepan dengan kami dalam pertembungan senjata nuklear, semuanya bergantung pada keputusan dan sikap AS,” bidas Son-hui.

Memetik artikel yang ditulis Editor Berita Kanan USA Today, Carolyn McAtee Cerbin pada 8 Mac lalu, beliau menyifatkan pendekatan Trump terhadap Korea Utara sangat keras sekali gus menyukarkan usaha rundingan antara kedua-dua negara.

Apa yang pasti, Singapura sekali lagi berjaya menjadi ‘orang tengah’ dalam menjayakan pertemuan bersejarah Trump dan Jong-un apabila tawarannya sebagai venue sidang kemuncak antara pemimpin berkenaan diterima kedua-dua pihak.

Malah, pada 3 Jun lalu, Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen memberitahu, republik itu bersedia menanggung sejumlah kos sidang kemuncak tersebut yang akan berlangsung di Hotel Capello, Pulau Sentosa bermula pukul 9 pagi. Hotel tersebut merupakan sebuah resort mewah terpencil dengan dua suite presiden.

Kawalan ketat

Sebagai langkah berjaga-jaga, kawalan keselamatan akan dilaksanakan di sekitar Pulau Sentosa bagi tempoh 10 hingga 14 Jun ini. Ia termasuklah pemeriksaan lebih ketat ke atas orang ramai dan kenderaan yang melalui kawasan itu. Zon khas yang diwartakan meliputi Universal Studios Singapore dan Hotel Capella.

Tidak ketinggalan, ruang udara lokasi pertemuan itu akan turut diisytiharkan sebagai larangan penerbangan.

Menurut laman web Channel News Asia, Organisasi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (CIAO) memberi amaran bahawa Pangkalan Udara Paya Lebar AS akan ditutup bagi penerbangan awam pada 11 hingga 13 Jun.

Justeru, penganalisis percaya, sidang kemuncak antara Trump dan Jong-un akan lebih menarik perhatian dunia berbanding pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di republik itu buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun pada 8 November 2015.

Mengimbau sejarah, selepas Jepun menyerah kalah kepada tentera bersekutu – AS, Britain, Perancis, Australia, Kanada, New Zealand, India, Kesatuan Soviet dan China – pada penghujung Perang Dunia Kedua, Semenanjung Korea terpisah kepada dua zon. Korea Utara di bawah rejim Kim Il-sung dikuasai Kesatuan Soviet, manakala Korea Selatan disokong oleh tentera AS, menurut artikel The Conversation, tulisan Profesor Ji Young-lee daripada Fakulti Perkhidmatan Antarabangsa Universiti Amerika.

Perang Korea yang bermula sebagai perang saudara pada 25 Jun 1950 hingga tahun 1953 telah mengorbankan seramai 2.5 juta nyawa. Peperangan ini berpanjangan apabila berlakunya campur tangan AS dan China. Konflik ini tamat selepas gencatan senjata dicapai pada 27 Julai 1953. Namun, tiada perjanjian rasmi yang mengakhiri Perang Korea menyebabkan kedua-dua negara ini hakikatnya masih berperang secara senyap.

Dalam pada itu, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa Jong-un memberitahu Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dalam satu pertemuan baru-baru ini bahawa beliau komited dengan rundingan perlucutan senjata nuklear.

Malah, beliau turut berharap agar isu hubungan Korea Utara-AS ‘akan selesai secara berperingkat’ dan mencapai kemajuan menerusi dialog yang efektif dan konstruktif.

Apa yang pasti, Washington mahu Korea Utara bertindak segera dengan menyerahkan semua senjata nuklearnya sebagai timbal balik untuk membebaskan Pyongyang daripada sekatan ekonomi.

Namun, penganalisis berkata, Korea Utara tidak akan bersetuju dengan syarat AS itu melainkan mereka mendapat jaminan bahawa AS tidak akan menjatuhkan rejim Jong-un.