Gua Tsur ialah sebuah gua yang sangat penting dalam lipatan sejarah penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke kota Madinah ribuan tahun lalu.

Bagi penulis, ia bukan sekadar lambang peristiwa hijrah tetapi juga lambang ketulusan pengorbanan seorang sahabat, Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Apabila mengenang peristiwa hijrah, gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah yang ditemani seorang sahabat iaitu Abu Bakar menyimpan kisah yang boleh mengundang tangis jika benar-benar dihayati oleh sesiapa sahaja yang bergelar sahabat.

Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa setiap perjuangan dan kehidupan itu memerlukan sahabat. Ketulusan pengorbanan, kesetiaan dan kasih sayang sahabat bagaikan elemen yang amat diperlukan untuk memangkinkan kejayaan suatu perjuangan berasaskan kebaikan.

Abu Bakar juga menunjukkan kepada kita bagaimana untuk menjadi sahabat sejati. Saat dikhabarkan Nabi Muhammad untuk diajak berhijrah bersama baginda, Abu Bakar menyambutnya dengan tangis gembira bahkan diriwayatkan anaknya, Aisyah bahawa tidak pernah melihat bapanya menangis sebegitu.

Semasa berhijrah ke Madinah, mereka berdua yang ketika itu diburu oleh kafir Quraisy yang sedang menggila dengan tawaran 100 ekor unta jika dapat membunuh Rasulullah telah singgah di gua Tsur untuk bersembunyi.

Ketika tiba di depan pintu gua, Abu Bakar berkata: “Demi Allah, janganlah kamu masuk ke dalam gua ini sampai aku yang memasukinya terlebih dahulu. Kalau ada sesuatu yang buruk, maka akulah yang mendapatkannya, bukan kamu.”

Duduklah dua sahabat itu di dalam gua yang gelap-gelita. Mereka sepakat untuk berganti-ganti berjaga. Saat Rasulullah tidur di pangkuan Abu Bakar, seekor haiwan berbisa (ada yang menyatakan ular) telah menggigit kaki Abu Bakar. Abu Bakar sakit, namun menahan dirinya daripada bergerak.

Ini kerana beliau tidak sanggup membuatkan sahabatnya, Rasulullah yang telah mengharungi penat lelah bersama dalam perjalanan yang mendera terjaga. Namun, beliau cumalah manusia biasa. Bisa sengatan semakin memeritkan sehingga air matanya menitis mengenai wajah Rasulullah hingga baginda terjaga.

Setia

Rasulullah yang terjaga bersedih jikalau baginda telah mengheret seorang sahabat mengharungi penyeksaan bersama, namun setelah dijelaskan Abu Bakar titisan air matanya adalah lantaran digigit haiwan dan keengganannya bergerak kerana tidak mahu mengganggu tidur baginda, air mata turut bergenang di kelopak mata Rasulullah.

Rasulullah kemudian bingkas merawati Abu Bakar. Dengan kuasa Allah, hilanglah kesakitan itu.

Peristiwa ini dikenang Rasulullah sehingga baginda kemudian pada satu masa bersabda: “Wahai Abu Bakar, engkaulah sahabatku tatkala di dalam gua dan sahabatku di haudh (telaga akhirat).”

Abu Bakar bukan sahaja seorang yang setia, bahkan sahabat yang rela berkorban untuk sahabatnya, demi siapa? Demi kita semua umat Rasulullah. Beliau yang dianugerahi gelaran As-Siddiq itu yakin dengan sesungguhnya akan perjuangan Rasulullah demi memastikan hidayah Islam ini sampai kepada kita semua hari ini.

Rasulullah telah menunjukkan kepentingan bersahabat. Rasulullah itu insan sempurna, namun sejarah hidupnya menunjukkan baginda memerlukan sahabat dalam perjuangannya.

Bahkan Rasulullah tidak pernah bermusafir seorang diri. Ketika berdakwah di Taif juga baginda tidak pergi bersendirian sebaliknya ditemani Zaid bin Harithah.

Mengulas mengenai kepentingan sahabat, Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli berkata, Allah mengkehendaki menerusi sirah Rasulullah bahawa sunah atau lumrah manusia itu memerlukan sahabat.

“Dalam apa juga perjuangan atas nama kebaikan, tidak dapat tidak, mesti dengan sahabat. Rasulullah sendiri tidak berseorangan, sebaliknya memerlukan sahabat.

“Ini kerana pertolongan Allah itu ada pada persahabatan atau jemaah (kumpulan). Nabi Muhammad mendidik umatnya untuk mencari sahabat iaitu sahabat yang baik sehingga pernah mengumpamakan dengan pembuat minyak wangi.

“Bila berkawan dengan orang yang baik, kebaikannya akan tercalit sama pada diri kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ahmad Faiz berkata, kisah Rasulullah dan Abu Bakar ini juga mengajar kita untuk menjadi sahabat yang saling mengasihi dan sanggup berkorban demi sahabatnya.

“Sepanjang perjalanan hijrah juga, Abu Bakar kerap mundar-mandir ke depan dan ke belakang sehingga ditanya Rasulullah. Jawab Abu Bakar kerana mahu sentiasa mengawasi jika ada anak panah yang melintasi, biarlah dirinya yang kena dahulu.

“Abu Bakar sendiri mendapat gelaran As-Siddiq kerana istiwa’ zahir dan batin iaitu sama hati dan perlakuannya. Itulah sepatutnya sahabat. Bukan dalam lain, luar lain dan yang mementingkan diri sendiri,” katanya.