Berdasarkan klip video berkenaan, pelajar-pelajar daripada kumpulan The St. John’s Boys Choir tersebut mengadakan raptai untuk mengambil bahagian dalam pertandingan American Choral Directors Association yang berlangsung pertengahan Februari lalu.

Kesenian dikir barat dan lagu Wau Bule sudah pasti sesuatu yang terlalu asing bagi masyarakat Amerika Syarikat. Namun, kemampuan pelajar-pelajar tersebut menyanyikan memberi petanda positif yang perlu ditanggapi bersama oleh pelbagai pihak di Malaysia.

Umumnya, sebahagian daripada masyarakat Malaysia mengetahui lirik-lirik lagu Wau Bule yang menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan dikir barat tetapi agak sukar untuk dihafal serta dilagukan.

Tapi bagaimana dengan pelajar-pelajar tersebut? Kebolehan pelajar-pelajar itu menyanyikan lagu Wau Bule dan lengkap rencak tari dikir barat tersebut telah mendapat lebih 13,500 perkongsian, meskipun hanya mengulangi sebaris lirik “Wau bule teraju tigo” sehingga tamat persembahan.

Hedonisme

Sebelum nyanyian Wau Bule oleh pelajar-pelajar berkenaan, lagu tersebut telah dinyanyikan oleh individu dari Korea Selatan, Jepun dan Kanada dalam persembahan dikir barat sejak 2012.

Sebenarnya banyak yang boleh dipelajari daripada perkembangan tersebut dalam aspek komersialisasi dan kelestarian budaya Malaysia dengan menjadikan dikir barat sebagai medium.

Sejajar dengan perkembangan globalisasi yang ditandai oleh hedonisme dan konsumerisme, selain kerancakan penciptaan berasaskan sains serta teknologi, dikir barat dan warisan budaya Malaysia yang lain memerlukan satu anjakan paradigma dalam kelestarian dan pengemba­ngan.

Seni dan warisan budaya tidak lagi sekadar dipersembahkan dalam program-program kerjasama budaya di luar-luar negara atau sekadar di majlis-majlis tertentu. Di sinilah penting sains dan teknologi ini untuk tujuan pengembangan serta kelestarian dikir barat dan kesenian-kesenian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sebagai contoh, Jepun adalah salah sebuah negara maju yang meletakkan kesenian tradisi mereka sebagai keutamaan untuk dipertahankan. Pada masa yang sama, warisan budaya seperti kostum tradisional, tradisi minum teh, teater tradisional seperti kabuki, bunraku dan noh yang dikomersialkan sebagai objek pelancongan budaya negara itu.

Salah satu kesenian yang terma­syhur di Jepun adalah teater tradisional. Seni teater tersebut terdiri daripada noh, kabuki dan bunraku. Kabuki dilakonkan oleh semua pelakon lelaki termasuk yang memegang watak wanita. Noh pula merupakan teater tradisional yang menampilkan pelakon-pelakon bertopeng.

Berbeza dengan kedua-dua jenis teater tradisional ini, bunraku adalah teater yang menggunakan boneka dan diiringi muzik tra­disional. Kesenian dan kebudayaan tradisional Jepun yang turut menjadi sebahagian daripada seni global ialah origami (seni lipatan dan pembuatan objek berasaskan kertas), shogi (catur Jepun), shodo (seni kaligrafi Jepun) termasuk seni masakan mereka yang telah menjadi sebahagian daripada kulinari dunia.

Kejayaan Jepun mengembangkan kesenian, kebudayaan termasuk bidang kulinari mereka tidak diraih dengan mudah. Sikap introvert bangsa Jepun, khususnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan ini sangat memungkinkan mereka melestari dan berkembang ke peringkat global.

Jepun

Di satu sisi lain, Jepun tidak memisahkan pencapaian-pencapaian sains serta teknologi dengan kebudayaan tradisional. Ia bermaksud, mereka memanfaatkan kedua-dua bidang ini sebagai medium untuk mempromosi, memasar atau menjual produk-produk seni serta budaya negara itu kepada masyarakat dunia.

Kesemua produk ini terutama anime dan manga, misalnya, dijual secara dalam talian, selain dicetak secara manual berbentuk komik-komik dengan kos yang murah. Ia kemudian dieksport ke seluruh dunia menggunakan pendekatan tertentu seperti terjemahan dan disesuaikan dengan budaya setempat, tetapi tetap mengekalkan identiti animasi Jepun.

Akhirnya, anime dan manga, misalnya telah memberi pulangan ekonomi yang sangat luar biasa kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) Jepun. Misalnya pada tahun 2016, sektor ini telah menyumbang seba­nyak AS$15.9 bilion (RM63.6 bilion) dan meningkat lebih 10 peratus pada 2017.

Pada masa yang sama ia akan menjadi ancaman kepada seni, budaya dan warisan. Secara prinsipnya, kita tidak dapat menafikan bahawa sains dan teknologi memiliki peranan penting dalam kehidupan manusia, seperti teknologi informasi yang bersumber daripada televisyen, internet dan sebagainya terutama dalam aspek penyebaran maklumat yang bersifat universal.

Pada masa yang sama, melalui medium-medium ini akan turut tersebar unsur-unsur budaya asing yang akhirnya akan menjadi saingan, bahkan ancaman terhadap budaya setempat. Namun, ia tidak bermakna bidang ini selamanya dilihat secara negatif, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk kelestarian dan pengembangan kesenian dan kebudayaan tradisional kita.

Pendapatan

Jika Jepun sebagai negara yang serba maju dalam sains serta teknologi menggunakan bidang ini untuk melestari dan mengembangkan kesenian dan kebudayaan warisan serta menjana pendapatan ekonomi yang cukup besar, Malaysia juga dapat melakukan hal yang sama.

Secara teorinya, seiring dengan berjalannya waktu, budaya akan diwariskan kepada generasinya dan akan terus berkembang ke arah kemajuan atau kemunduran atau mungkin akan punah. Dalam hal inilah teknologi dapat berfungsi untuk mempertahankan dan membantu bidang-bidang seni ini untuk terus hidup serta berkembang.

Apabila lagu Wau Bule dinyanyikan oleh pelajar-pelajar The St. John’s Boys Choirdari Amerika Syarikat, kita dapat melihat bahawa ada petanda positif bahawa sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sains dan teknologi seperti yang diamalkan oleh Jepun dalam pelestarian dan pengembangan kesenian dan budaya warisan di negara kita.

Ia bukan sekadar dikir barat tetapi juga kesenian-kesenian lain seperti dikir barat, makyong, randai, wayang kulit dan sebagainya. Kepelbagaian budaya dan kesenian warisan Malaysia sebenarnya satu keunikan yang boleh diketengahkan serta dikembangkan sebagai satu sumber ekonomi kreatif negara.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!