Orangnya kecil dan dalam kebanyakan pertunjukan pentas, Haqiem kelihatan sentiasa memakai kaca mata hitam walaupun menyanyi pada waktu malam. Dalam beberapa pertemuan secara tidak sengaja sewaktu dia berkunjung ke pejabat Kosmo!, Haqiem lebih banyak berdiam diri, menyendiri malah memilih gitar yang dibawanya sebagai satu eskapisme terhadap pertemuan empat mata dengan orang sekeliling.

Penyanyi muda itu juga baru menjadi pelaku seni kurang daripada tempoh 10 tahun, tetapi hanya tenar sekitar dua tiga tahun kebelakangan ini. Dia popular dengan lagu Jatuh Bangun dan menerusi karya ciptaan Gouffran bersama Ibnu, single nyanyiannya, Tergantung Sepi memenangi tempat ketiga anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada awal tahun ini.

Minggu lalu, Haqiem menyita perhatian banyak peminatnya apabila mendedahkan dirinya mengalami depresi yang teruk. Oleh sebab itu, dia mahu meninggalkan dunia seni, kerana akuinya antara salah satu faktor yang menambahkan parah kepada depresinya adalah keterbukaan khalayak melontarkan pandangan termasuk kutukan serta permainan industri seni yang tidak mampu ditanggung lagi.

“Banyak perkara yang berlaku apabila saya dalam industri muzik. Mereka cakap senang, tapi saya yang berasa sakit dan perit,” tulis Haqiem sebelum memadam gambar-gambarnya dan hanya meninggalkan dua keping gambar dalam Instagramnya minggu lalu.

Depresi atau kata lain yang lebih ringan bunyinya adalah kemurungan. Namun, dari segi bahasa perubatan, depresi diterjemahkan sebagai keadaan kesihatan berupa perasaan sedih yang merangkumi semua hal negatif terhadap fikiran, tindakan, perasaan dan kesihatan mental seseorang. Kondisi depresi adalah reaksi normal terhadap peristiwa-peristiwa hidup seperti kehilangan orang tercinta atau efek sampingan kesan penggunaan ubat dan rawatan kesihatan tertentu.

Menurut satu laporan, sepanjang lima tahun lalu, bilangan kes susulan di klinik pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan semakin meningkat daripada 525,000 kes pada 2013 kepada 587,000 kes sehingga tahun lalu.

Kajian Beban Penyakit yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga meramalkan masalah depresi atau kemurungan yang menjadi antara punca penyakit mental akan naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung di seluruh dunia menjelang 2020.

Kronik

Depresi dalam kalangan selebriti bukan hal yang tabu. Menjadi pujaan di seluruh dunia, memiliki kemewahan serta kemasyhuran bukan jaminan buat mereka terselamat daripada mengalami depresi. Sebaliknya, terdapat banyak faktor termasuk masa lampau dan tidak mampu menampung tekanan menyumbang kepada penyakit yang membunuh mereka dalam diam ini.

Menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad, depresi terjadi dalam kalangan selebriti adalah didorong kerana kebanyakan daripada mereka tidak dapat menunjukkan ekspresi diri sama ada merangkumi emosi dalaman dan luaran serta kadang-kala melalui kehidupan palsu kerana menjadi sorotan.

“Oleh kerana demikian mereka berhadapan dengan dilema integriti diri juga emosi kerana dalam kebanyakan masa golongan selebriti perlu mendahulukan untuk menggembirakan hati khalayak berbanding diri sendiri,” ujarnya yang juga mendedahkan kebanyakan masalah depresi turut dialami dalam kalangan remaja.

Dalam kancah hiburan tempatan, Haqiem bukanlah satu-satunya artis tempatan yang secara terbuka mengaku mengalami gangguan tersebut. Pada tahun lalu, mengaku memahami sikap orang yang menderita depresi, pelakon Nazim Othman melalui Instagramnya memberitahu dia mengalami masalah tersebut sewaktu berusia sekitar 13 tahun.

Malah, katanya, dia faham banyak penderita depresi memikirkan cara menamatkan riwayat hidup, sama seperti yang dilakukan oleh bintang terkenal Korea Selatan pada waktu itu, Jonghyun yang merupakan salah seorang anggota kumpulan KPop, SHINee.

Banyak bintang terkenal dunia yang memiliki masalah depresi yang kronik. Beberapa nama bintang Hollywood seperti Catherine Zeta-Jones, Reese Witherspoon, Gwyneth Paltrow atau Jim Carey secara terbuka mengaku mereka mengalami depresi.

Angelina Jolie dan mantan suaminya, Brad Pitt, kedua-duanya mengalami depresi. Jolie mendedahkan dia pernah mengupah orang untuk membunuhnya serta pernah mengelar diri untuk segera mati.

Pitt pula memberitahu The Hollywood Reporter, depresi yang dialaminya sebagai ‘satu semester’ yang merugikan kehidupannya.

Johnny Depp barangkali menjadi simbolik kepada ‘pemilik’ depresi paling kronik Hollywood apabila akan ada pakar terapi yang mengikutinya ke set penggambaran agar dapat menasihati aktor itu supaya tidak larut dalam penyakit kemurungan yang dialaminya.

Media Barat juga mendedahkan, Depp hanya ‘hidup’ dalam pelbagai karakter di layar lebar tetapi sebagai massa yang menemu bualnya, bintang itu hanya banyak bermain dengan mimik muka dan jarang memberi respons yang baik. Dia sebaliknya lebih kelihatan gelisah.

Penyanyi eksentrik Lady Gaga pula berkata: “Penyakit mental ini tidak boleh membunuh kehidupan saya.” Dia, kemudian melalui yayasannya, Born This Way Foundation antara lain menolong selia sumber buat generasi muda yang berhadapan dengan depresi.