Ada apa lagi di ruang angkasa selain Tiangong-1 yang telah dilancarkan pada 29 September 2011 tetapi akhirnya hilang kawalan itu? 

Sehingga April 2018 selepas terhempasnya Tiangong-1, hanya dua buah stesen angkasa lepas kekal berada di orbit bumi iaitu Tiangong-2 dan International Space Station (ISS) atau Stesen Angkasa Antarabangsa yang berada pada ketinggian 360 kilometer dari permukaan bumi. 

ISS yang mengelilingi bumi pada setiap 92 minit dengan kelajuan 27,744 km/j dan boleh memuatkan tiga orang angkasawan sebagai kru, berfungsi untuk menjalankan uji kaji dan penyelidikan serta memantau angkasa lepas.

Selain ISS dan Tiangong-2, orbit bumi sebenarnya dipenuhi dengan beribu-ribu satelit, serpihan, dan sampah hasil daripada beribu-ribu pelancaran roket dari bumi ke angkasa sepanjang beberapa dekad yang lalu. 

Ini menimbulkan masalah yang serius kepada satelit-satelit pada masa hadapan yang menghadapi risiko sama ada berlanggar sesama sendiri ataupun bertembung dengan serpihan dan sampah angkasa tersebut. 

Menurut United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA), sehingga hujung 2017, terdapat 4,635 satelit mengelilingi bumi termasuk tiga satelit Malaysia iaitu TiungSAT, MeaSAT dan RazakSAT.

Namun merujuk kepada data Union of Concerned Scientists (UCS), apa yang mengejutkan ialah hanya 37.5 peratus daripada kesemua satelit yang mengelilingi bumi itu aktif dan berfungsi antaranya untuk tujuan pemantauan angkasa, komunikasi, sains angkasa, navigasi dan sebagainya.

Ini bermakna sehingga tempoh tersebut, terdapat 2,897 satelit tidak aktif atau boleh dilabelkan sebagai sampah angkasa yang mengelilingi bumi dengan kelajuan tinggi.

Justeru, apakah ia meletakkan bumi dalam posisi bahaya? Apakah lagi yang akan terhempas dari angkasa ke bumi selepas Tiangong-1? 

“Terdapat beberapa objek besar yang mengelilingi orbit bumi sekarang ini perlu diawasi,” ujar pakar astrofizik di Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics, Amerika Syarikat. 

“Ia termasuklah roket Indian Polar Satellite Launch Vehicle (PSLV) seberat 907 kilogram yang sebelum ini membawa satelit ke angkasa pada April, 2012. Ia dijangka tamat tempoh berada di orbit bumi dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

SpaceX Dragon

Dalam pada itu Businessinsider.my pula melaporkan, lebih daripada 14,000 objek berbahaya (termasuk satelit yang tidak aktif) kini berterbangan di orbit bumi.

Sehubungan itu, baru tiga hari lepas, pada 4 April 2018,  kapal angkasa kargo SpaceX Dragon tiba di ISS setelah dilancarkan dua hari sebelumnya. 

Antara yang diangkut SpaceX Dragon ke ISS ialah sejenis kapsul angkasa dikenali sebagai RemoveDEBRIS yang buat julung-julung kali akan digunakan bagi tujuan membersihkan orbit bumi daripada objek-objek berbahaya tersebut.

RemoveDEBRIS yang dibina oleh pasukan saintis dan jurutera di Surrey Space Centre, Britain dan dibiayai sebahagiannya oleh Suruhanjaya Eropah akan menjalani ujian selama beberapa minggu akan datang ini.

“RemoveDEBRIS akan menguji beberapa cara yang berbeza untuk menangkap sampah angkasa. 

“Satelit akan melancarkan beberapa kiub kecil untuk bertindak sebagai sasaran. Satelit utama akan cuba menangkap sasaran terbabit dengan kedua-dua jaring raksasa dan tempuling,” jelas pengarah Surrey Space
Centre, Gugleilmo Aglietti.

Kedua-dua teknik itu telah dicadangkan sebagai kaedah yang mungkin untuk menghapuskan sampah angkasa, tetapi tidak pernah diuji di angkasa sebelumnya. 

Ini akan menjadi ujian pertama kedua-dua kaedah tersebut dan ia menjadi misi masa hadapan untuk mencuba dan membersihkan orbit bumi.

“Setelah eksperimen dilakukan, RemoveDEBRIS akan melakukan ‘pelayaran seret’ yang akan membawa kembali satelit ke atmosfera dan keluar dari orbit. 

“Sekiranya misi itu berjaya, RemoveDEBRIS bakal membuka laluan buat misi masa hadapan untuk benar-benar menjadikan orbit bumi lebih selamat daripada ancaman sampah angkasa,” ujar Aglietti.