Salad hijau kini boleh dituai di Antartika di bumi. Justeru, apakah kaitannya dengan bulan dan Marikh?

Secara logiknya tanpa tanah dan cahaya matahari, agak mustahil tumbuh-tumbuhan hijau seperti salad boleh ditanam dan dituai terutama jika lokasinya ialah di Antartika.

Terkenal sebagai lokasi paling sejuk di muka bumi, suhu di benua yang terletak paling selatan di dunia itu boleh mencecah sehingga - 89 darjah Celsius.

Sebahagian besar iaitu kira-kira 98 peratus daripada keluasan Antartika yang merangkumi 14 juta kilometer (km) persegi itu diliputi ais sepanjang tahun dengan purata ketebalannya mencecah sekurang-kurangnya 1.6km.

Jelas sekali, ia bukan lokasi yang sesuai untuk bercucuk tanam.

Namun, hasil kemajuan sains dan teknologi, tarikh 5 April 2018 telah mencatat sejarah apabila 3.6 kilogram (kg) salad hijau, 8kg timun dan 70kg lobak merah buat julung-julung kalinya telah dituai di Antartika.

Kumpulan saintis aeroangkasa Jerman (DLR) yang beroperasi di pusat kajian yang dikenali sebagai Neumayer Station III di Antartika telah merealisasikan apa yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah menjadi realiti. Pada Oktober tahun lalu sebuah kontena rumah hijau dikenali sebagai EDEN-ISS telah dihantar ke Neumayer Station III dari Jerman.

Sejak itu, gerak kerja saintifik di meja makmal dalam kontena rumah hijau tersebut giat dijalankan dengan matlamat utamanya untuk menghasilkan pelbagai jenis makanan segar yang boleh dituai dalam misi penerokaan manusia ke bulan dan Marikh.

Justeru, Antartika dijadikan medan ujian untuk matlamat tersebut. Teknologi dan kelengkapan yang terdapat di dalam EDEN-ISS sangat canggih.

“Paip membekalkan air yang mencukupi, lampu menyalurkan cahaya yang tepat dan alatan penapis direka khusus bagi memberikan campuran udara ideal untuk menggalakkan pertumbuhan sayur-sayuran.

“Bekas tangki air besar yang dipasang di lantai dipenuhi ais yang dicairkan sebelum ditapis dan dibersihkan. Air tersebut kemudiannya ditambah kepada campuran nutrien istimewa yang disembur secara automatik pada tumbuhan setiap lima hingga 10 minit menerusi satu proses yang dikenali sebagai aeroponics,” ujar jurutera DLR, Paul Zaber.

“Botol karbon dioksida didatangkan bersama bekas khas untuk membekalkan tumbuhan dengan udara yang ideal.

“Menggantikan cahaya matahari ialah pancaran cahaya campuran warna biru dan merah yang perlu dipastikan sentiasa dipancarkan pada tumbuhan.

“Sistem lampu berasaskan teknologi diod pemancar cahaya atau LED yang disejukkan dengan air membolehkan pancaran cahaya tersebut boleh dikawal dengan komputer,” tambahnya.

Tambah Zaber, menjelang bulan Mei ini, EDEN-ISS yang beroperasi sepenuhnya dijangka mampu menghasilkan hasil tuaian secara berkala antara 4 hingga 5kg buah-buahan dan sayur-sayuran setiap minggu.

Menurutnya, eksperimen ini juga cukup bermakna dan penting buat penduduk bumi secara amnya.

“Dengan jumlah penduduk dunia yang semakin meningkat dalam menghadapi perubahan iklim dunia yang kian ekstrem, timbul kepentingan terhadap suatu kaedah inovatif masa hadapan bagi menghasilkan tanaman sebagai bekalan makanan buat manusia sejagat,” ujarnya.

Kumpulan saintis aeroangkasa Jerman (DLR) yang beroperasi di pusat kajian Neumayer Station III di Antartika telah merealisasikan apa yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah menjadi realiti sedekad lalu