Apakah impaknya terhadap masa depan industri perumahan?

Para penyelidik pada 11 April lalu telah mengumumkan mengenai projek rumah 3 dimensi (3D) pertama di dunia di bandar Nantes, Perancis dengan penyewa pertama bakal mendiaminya menjelang bulan Jun 2018. 

Projek yang dikenali sebagai Yhnova itu telah membina rumah berbentuk Y dilengkapi dengan pelbagai sensor untuk memantau kualiti udara, kelembapan dan suhu, serta sistem untuk menilai sifat terma struktur binaannya bagi membolehkan penghuninya menjimatkan kos penggunaan tenaga.

Sehubungan itu, pihak berkuasa di Nantes mengumumkan tentang pelancaran terhadap kajian kemungkinan untuk mengaplikasikan teknologi cetakan 3D bagi ‘mencetak’ (membina) sebuah estet perumahan pinggir bandar yang lengkap dengan pelbagai rumah dalam bentuk dan saiz berbeza, serta dewan orang ramai berukuran 350 meter persegi.

Robot pencetak 

“Adakah ini bentuk kediaman masa depan?” ujar saintis Universiti Nantes, Perancis, Profesor Benoit Furet. 

Furet bersama sekumpulan saintis universiti tersebut telah melancarkan projek rumah pertama di dunia dibina tahun lalu untuk kediaman manusia menggunakan robot pencetak 3D dikenali sebagai BatiPrint3D itu.

“Projek ini merupakan suatu penyelesaian dan prinsip pembinaan rumah yang sangat menarik kerana kami mendirikan kediaman secara langsung di atas tapak dan tambahan kepada itu, kami dapat membuat dinding dengan bentuk yang kompleks,” tambahnya.
“BatiPrint3D mengambil masa hanya 18 hari untuk menyempurnakan binaan kerangka rumah tersebut menggunakan bahan polimer.

“Konkrit kemudiannya dipenuhi dengan dinding berongga yang bertindak sebagai penebat,” jelasnya.

Menurut Furet, walaupun rumah tersebut bukan bangunan pertama di dunia yang dicipta menggunakan teknologi cetakan 3D, namun projek tersebut adalah julung-julung kalinya akan diaplikasikan secara kekal dalam kehidupan manusia.

“Jika projek itu dipertingkatkan, ia akan dapat digunakan untuk membina rumah yang jimat tenaga, lebih cepat dan murah berbanding teknologi binaan kediaman sedia ada,” ujarnya.

Pengumuman tentang rumah 3D pertama di dunia di Perancis itu muncul beberapa minggu selepas syarikat Shanghai Polymaker, China mengumumkan tentang projek kereta LSEV miliknya yang juga dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D.

Kenderaan elektrik bersaiz mini dua tempat duduk yang panjangnya 2.4 meter (m) dengan ketinggian 1.5m serta lebar 1.3m itu dijangka boleh ditempah orang ramai menjelang tahun 2019. Ia dijual pada harga RM38,885 sebuah.

Bayangkan tinggal di kediaman dan mempunyai kereta hasil teknologi cetakan 3D, sudah pasti inilah bentuk kehidupan manusia masa depan yang moden dan canggih.