Mengikut pertuduhan, wanita yang bertugas di Unit ICT Pejabat Kemas Daerah Semporna itu didakwa menghantar mesej palsu ke kumpulan WhatsApp iaitu Karpet Kemas 189 Semporna dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi pertuduhan itu, wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes tersebut menunjukkan penyebaran berita palsu adalah satu perbuatan yang tidak bermoral dan wajar dikenakan tindakan setimpal.

Tindakan tersebut dilakukan dengan bertujuan untuk memberikan gambaran negatif terhadap sesuatu pihak sama ada kepada individu, kumpulan masyarakat mahu pun negara.

Berita palsu

Jika dahulu penyebaran berita palsu hanya bertebaran menerusi cakap-cakap orang sekeliling sahaja, kini ia semakin memburuk apabila kehadiran teknologi yang membolehkan penyebaran sesuatu maklumat dengan pantas menerusi medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Ironinya, pengguna media sosial lebih cenderung untuk memuat naik atau berkongsi sesuatu maklumat tanpa memikirkan kesahihan sesuatu berita dan implikasinya kepada pihak tertentu.

Sehubungan itu, satu Rang Undang-Undang (RUU) AntiBerita Tidak Benar bakal dibentangkan pada minggu hadapan untuk mengekang penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut pakar undang-undang siber, Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin, Malaysia bukanlah negara pertama menggubal akta tersebut kerana sebelum ini Filipina dan Perancis juga mengemukakan usul serupa bertujuan untuk menangani berita palsu di negara masing-masing.

Katanya, walaupun ketika ini terdapat beberapa akta seperti Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia dilihat tidak mencukupi untuk menangani penyebaran berita palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara.

“Akta baharu memang perlu untuk menangani penyebaran berita palsu kerana ia boleh mewujudkan suasana tidak harmoni atau kacau bilau dalam kalangan masyarakat dan negara.

“Bagaimanapun, takrifan berita palsu itu perlu jelas kerana jika tidak ia mungkin menjadi perangkap bukan sahaja kepada pengguna media sosial atau orang awam malah wartawan juga,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru
ini.

Jelas beliau, akta baharu itu bakal memberikan hukuman setimpal kepada pelaku yang menyebarkan berita palsu sekali gus menjadi pengajaran dan peringatan kepada pihak lain untuk tidak melakukan perkara serupa.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak menimbulkan polemik apabila RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam keadaan negara menghampiri Pilihan Raya Umum 
ke-14 (PRU-14).

Walhal, katanya, ia perlu dilihat menerusi perspektif lebih luas kerana menerusi akta tersebut pihak yang tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Apabila usul itu dibentangkan menjelang PRU-14 ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan mengatakan ia alat untuk menekan pihak-pihak tertentu.

Kebebasan

“Namun, isunya ialah kesalahan menyebarkan berita palsu iaitu perkara yang tidak wajar dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan baru-baru ini, bacaan kali pertama RUU itu dicadang untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada minggu hadapan selepas ia diluluskan oleh Kabinet Rabu lalu.

Menurutnya, penggubalan RUU itu adalah bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan berhubung penyebaran dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar.

“RUU digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar.

“Bagaimanapun, RUU ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Menurut beliau, RUU tersebut akan memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Di sebalik RUU yang bakal dibentangkan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyediakan portal Sebenarnya.my sebagai pusat sehenti kepada rakyat di negara ini untuk menyemak sesuatu berita yang diterima secara online melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog dan laman web.

Portal yang dilancarkan pada Mac tahun lalu itu turut menyediakan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna bagi memudahkan orang awam memeriksa kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi menerusi laman sosial masing-masing.

Mengikut rekod, dari Januari hingga September tahun lalu, SKMM telah menyiasat sebanyak 67 kes penyebaran berita palsu di media sosial. Daripada jumlah itu sebanyak lima kes telah dibawa ke mahkamah.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,861 laman web, portal dan blog disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu termasuk yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.