Itu antara dialog ucapan yang dibuat oleh Sophia ketika dijemput sebagai tetamu khas persidangan The Future of Everything – Sustainable Development in the Age of Rapid Technological Change yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 11 Oktober tahun lepas.

Pada persidangan tersebut, Sophia yang merupakan warganegara Arab Saudi itu sempat mengadakan sidang dialog ringkas bersama Timbalan Ketua Setiausaha PBB, Amina Mohammed.

Sophia bagaimanapun bukan manusia. Dia sebenarnya robot yang dikenali dengan istilah manusia robot atau humanoid yang menunjukkan emosinya menerusi lebih daripada 50 ekspresi pada wajahnya.

Humanoid yang dicipta dengan mengaplikasikan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) itu mencipta sejarah menjadi robot pertama di dunia diberikan kerakyatan oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun lepas.

Ia sekali gus menjadikan Arab Saudi sebagai negara pertama di dunia yang mengiktiraf status kewarganegaraan kepada sebuah robot.

Sophia muncul dan membuat ucapan dalam persidangan Future Investment Initiative di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung pada 25 Oktober 2017 sambil menyatakan perasaan gembira dan berasa dirinya sangat dihargai selepas diberi kerakyatan oleh Arab Saudi.

“Menjadi robot pertama di dunia yang diiktiraf dengan kerakyatan adalah satu sejarah. Saya mahu menggunakan AI untuk membantu manusia hidup lebih baik seperti membina rumah pintar dan membina bandar yang lebih baik untuk masa depan,” ujarnya.

Namun kekurangan Sophia adalah ia sekadar menunjukkan perubahan emosinya menerusi ekpresi wajah.

“Pada masa ini, kebanyakan ciptaan robot yang bersosial dengan kehidupan manusia mengekspresikan emosi dalaman mereka hanya dengan menggunakan ekspresi wajah dan gerak isyarat,” ujar saintis di Cornell University (UC), New York, Amerika Syarikat, Guy Hoffman.

Penolong profesor kejuruteraan mekanikal dan aeroangkasa UC itu merupakan salah seorang daripada kumpulan saintis universiti tersebut yang telah bergabung kepakaran masing-masing mencipta prototaip sebuah robot yang sebaliknya dapat meluahkan emosi melalui perubahan permukaan luar iaitu kulitnya.

Robot masa depan

Kulit prototaip robot tersebut meliputi grid unit tekstur yang bentuknya boleh berubah berdasarkan perasaan dirinya.

“Ia mampu mengekspresikan kemarahan dengan kedua-dua matanya dan kulitnya yang bertukar menjadi benjol disebabkan pergerakan sejenis cecair di bawah kulitnya berdasarkan mood dirinya.

Menurut Hoffman, inspirasi untuk mencipta robot yang mengeluarkan isyarat tanpa bunyi tetapi melalui kulit luarnya itu adalah berasaskan pemerhatian terhadap dunia haiwan, dan berdasarkan kepada idea bahawa robot tidak harus dilihat sebagai perlu menyerupai manusia.

“Saya selalu merasakan bahawa robot tidak boleh dimodelkan sepertimana manusia atau menjadi salinan kepada manusia,” katanya.

“Kami telah banyak membuat kajian terhadap spesies lain yang bukan manusia. Robot juga boleh dianggap sebagai salah satu daripada spesies lain daripada manusia.

“Ia tidak perlu cuba menyerupai manusia tetapi sebaliknya berinteraksi dan seterusnya berkeupayaan mengetuk naluri kita dengan menggunakan ‘bahasa tubuh’ mereka sendiri,” ujarnya.

Kertas kerja tentang kajian protaip robot tersebut yang berjudul, Soft Skin Texture Modulation for Social Robotics telah dibentangkan menerusi 2018 IEEE International Conference on Soft Robotics (RoboSoft) di Livorna, Itali pada 24 hingga 28 April lepas.

Ia juga telah diterbitkan dalam jurnal IEEE Spectrum bertarikh 16 Julai, 2018.

Menurut Hoffman, protaip robot tersebut membuktikan bahawa ia adalah langkah pertama yang penuh bermakna.

“Ia memberikan kita satu lagi cara untuk memikirkan bagaimana robot boleh dicipta pada masa depan,” katanya.

“Cabaran masa depan termasuk memilih teknologi agar ia sesuai dengan penghasilan robot yang lebih responsif terhadap perubahan emosinya.

“Kami percaya bahawa integrasi kulit yang berubah-ubah teksturnya, menggabungkan kedua-dua perasaan dan rangsangan visual mampu meningkatkan lagi spektrum ekspresif robot untuk interaksi sosial,” ujar Hoffman.