Ketika kejadian itu, Amer Ali dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengunjungi kediaman saudaranya di sebuah bandar kecil dikenali sebagai al-Hudhi. Insiden pembunuhan Amer Ali mengembalikan nostalgia terhadap tragedi hitam pada Oktober 2013 di Yemen. Dalam kejadian itu 12 orang maut diserang dron yang dilancarkan oleh tentera AS dalam sebuah majlis perkahwinan.

AS mendakwa serangan dilakukan terhadap anggota kumpulan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), tetapi saksi kejadian memberitahu pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch, bahawa mangsa merupakan orang awam, sama seperti Amer Ali.

Kejadian orang awam maut diserang dron yang dilancarkan tentera AS merupakan senario biasa sejak pemerintah negara itu melancarkan aplikasi teknologi dron bermatlamat memburu anggota militan di Yemen, Pakistan, Somalia, Afghanistan dan Libya. Ia adalah impak daripada tragedi serangan 11 September 2001 di AS.

Menurut laporan Long War Journal, di Pakistan, sejak tentera AS pertama kali melancarkan serangan dron pada 2006 sehingga pertengahan 2011, jumlah mangsa yang terbunuh terdiri daripada 2,018 militan dan 138 orang awam.

Lebih mengejutkan, Biro Kewartawanan Penyiasatan yang berpangkalan di London mendakwa dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 385 orang awam terbunuh akibat serangan dron AS di Pakistan dengan 160 orang daripada kumpulan mangsa tersebut ialah kanak-kanak.

Tidak terkesan dengan isu orang awam yang menjadi mangsa serangan maut dron, tentera AS kini bercita-cita membuat penambahbaikan untuk mencipta dron yang lebih kecil dan berkeupayaan mengesan individu atau kenderaan yang disasarkan dengan mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Bunuh individu

Laporan newscientist.com bertarikh 23 Mac 2018 menyebut, jika sebelum ini operasi dron yang biasa digunakan tentera AS di bawah pengawasan manusia, tetapi dron mikro tersebut boleh beroperasi secara automatik dengan AI.

Tidak banyak perincian yang diketahui tentang projek rahsia tersebut, namun bayangan tentang perkara itu sebenarnya telah ‘didedahkan’ menerusi sebuah penebitan filem dokumentari berjudul Slaughterbots pada hujung tahun lepas.

Filem berdurasi 7 minit yang bukan produksi Hollywood tetapi kolaborasi pensyarah University of California-Berkerly, Profesor Stuart Russell dan Future of Life Institute itu berjaya menimbulkan kebimbangan tentang teknologi robot dron slaughterbots yang boleh digunakan sebagai senjata untuk membunuh nyawa mereka tidak bersalah.

Memiliki saiz lebih kecil daripada tapak tangan manusia, apa yang menakutkan tentang slaughterbots ialah ia mampu membunuh sasaran secara individu.

Dalam satu adegan, sekumpulan slaughterbots menyerang sebuah kampus universiti dan memilih untuk membunuh pelajar tertentu, manakala dalam adegan lain ia menyerang dan membunuh sekumpulan senator yang terpilih.

“Ia (slaughterbots) bukan sains-fiksyen,” tegas Russell.

Beliau mendakwa teknologi robot dron tersebut sudah tersedia dan dicipta sebagai mesin pembunuh sama ada untuk digunakan oleh pemerintah atau kumpulan pengganas.

“Disebabkan ia mengapilkasi AI, slaughterbots tidak memerlukan kawalan oleh manusia tetapi ia berkeupayaan mengesan mangsa yang disasarkan masing-masing menerusi data peribadi seperti yang terdapat dalam Facebook.

“Ia membunuh dengan menembusi kepala mangsa,” jelas Russell.

Apa yang dipaparkan dalam filem tersebut jelas mengambarkan tentang mimpi ngeri yang mampu menggugat keselamatan dan kebebasan manusia sejagat pada masa depan angkara ciptaan teknologi moden. Apakah tindakan yang boleh dilakukan bagi mengawal perkembangan terbaharu itu?

Seperti kata Russell: “Kita mempunyai peluang untuk menghalang apa yang anda saksikan (menerusi filem Slaughterbots), tetapi tingkap untuk (kita) bertindak kian ditutup dengan pantas.”