Kisah gadis malang itu telah menjadi berita utama kebanyakan akhbar tempatan selepas dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra, Kedah, kurang daripada 24 jam selepas diijabkabulkan dengan suaminya, Muhammad Saiful Azzam Mohmed, 25, pada pukul 11 pagi sehari sebelumnya.

Fatin Nursyahirah disahkan menghidap kanser tisu atau sarcoma tahap empat pada Jun tahun lalu. Tahap kesihatannya semakin teruk sehingga menyebabkan dia mengalami lumpuh seminggu sebelum majlis pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos lalu.

Sebelum kisah tragis yang menimpa gadis tersebut, boleh dikatakan masih ramai dalam kalangan kita yang masih samar-samar tentang apa itu sarcoma terutama punca-punca yang menyebabkan seseorang boleh mengalaminya selain tanda-tanda awal serangannya.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan penyakit itu, Sarcoma UK yang berpangkalan di Britain, sarcoma merupakan kanser yang jarang berlaku dan boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan sama ada di dalam atau di luar.

Ia boleh menyerang bahagian otot, tulang, tendon, saluran darah dan tisu berlemak. Di Britain, seramai 15 orang didiagnosis mengalami sarcoma setiap hari dan jumlah itu menyamai kira-kira 5,300 orang setahun.

Terdapat kira-kira 100 jenis sarkoma yang berbeza. Sarcoma tisu lembut pula boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan dan berkembang dalam tisu sokongan atau penghubung seperti otot, saraf, tisu lemak, dan saluran darah.

Sarcomas tisu lembut termasuklah tumor stromal gastrousus (GIST) iaitu sejenis sarkoma biasa. Ia berkembang di saluran gastrousus, tiub panjang yang berjalan melalui badan dari esofagus ke anus termasuk perut

dan usus.

 

Orang muda

Sarkoma ginekologi pula berlaku dalam sistem pembiakan wanita uterus (rahim), ovari, vagina, vulva dan tiub falopian. Ia juga turut dikenali dengan istilah sarcoma uterus dan boleh menjejaskan wanita daripada mana-mana kumpulan usia.

Sarkoma retroperitoneal berlaku dalam retroperitoneum iaitu kawasan di belakang lapisan perut di mana terletaknya organ-organ seperti saluran darah utama, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kanser ini, Pakar Perunding Onkologi Klinikal dan Radioterapi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr. Aminudin Rahman Mohd. Mydin berkata, sarcoma dikesan banyak menyerang kanak-kanak dan golongan muda mereka dalam lingkungan usia antara 20-an hingga 30-an.

Berdasarkan statistik mengenai pesakit kanser di negara ini, sebahagian besar daripada mereka adalah golongan tersebut.

“Walaupun belum ada kajian sains yang dapat membuktikan sarcoma banyak menyerang kumpulan umur tersebut, tetapi statistik menunjukkan mereka merupakan kumpulan pesakit teramai yang menghidap kanser.

“Malah, sarcoma turut tersenarai sebagai antara 10 jenis kanser utama yang banyak dihidap oleh pesakit,” katanya.

Sarcoma boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, faktor genetik ataupun kegagalan sel untuk berkembang dengan sempurna.

Kedua faktor pesakit yang pernah melakukan rawatan radioterapi sebelum ini bagi penyakit-penyakit lain yang dialami, dan yang ketiga ialah disebabkan oleh epidemik HIV/AIDS.

Mengulas mengenai simptom atau tanda-tanda yang boleh dikesan sekiranya seseorang diserang kanser sarcoma, beliau menjelaskan sekiranya ia melibatkan anggota badan luaran seperti kaki dan tangan, ia dapat dikesan melalui benjolan tisu.

Namun sarcoma sukar dikesan jik ia menyerang bahagian tisu anggota dalaman seseorang.

“Sarcoma memang sukar untuk dikesan. Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk memahami sepenuhnya bagaimana kanser ini berkembang dan menyebar selain cara terbaik untuk mendiagnosis dan merawatnya.

“Ramai pesakit yang menghidap sarcoma dapat bertahan jika kanser mereka didiagnosis lebih awal sebelum sarcoma merebak ke bahagian lain badan.

“Adalah penting bahawa pesakit dirujuk kepada pakar sarcoma seawal mungkin bagi menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.