Terbaharu, kes melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Khalidah Mohd. Darus yang disyaki dibunuh oleh anaknya sendiri di sebuah rumah dekat Taman Warisan Indah, Kota Warisan, Sepang, Selangor.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai penyakit mental, wartawan Jurnal menemubual Timbalan Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia, Dr. Hazli Zakaria di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur kelmarin.

JURNAL: Kebelakangan ini, beberapa kes pembunuhan berlaku mengaitkan pesakit mental sebagai pelakunya. Dari sudut perubatan, mengapakah seseorang individu itu boleh bertindak sedemikian?

Dr. HAZLI: Pesakit-pesakit yang mengalami masalah mental bukanlah seorang yang ganas, namun ia berlaku kerana pesakit tersebut tidak mendapatkan rawatan atau tidak dirawat sepenuhnya seperti menjalani rawatan susulan selepas disahkan mengalami penyakit mental. Selain itu, individu yang berada di bawah pengaruh dadah juga boleh bertindak sebegitu.

Sebenarnya jika mereka dirawat, pesakit tersebut tidak akan bertindak ganas. Gejala-gejala psikosis termasuk halusinasi dan delusi boleh membuatkan mereka bertindak di luar sedar atau tidak boleh berfikir secara rasional.

Sebagai contoh, pesakit mengalami halusinasi iaitu mendengar suara-suara menyuruh mereka melakukan sesuatu dan delusi yang membuatkan individu tersebut percaya dia berada dalam keadaan bahaya kerana ada orang mahu mencederakan dirinya. Apabila mengalami gejala ini mereka berada dalam keadaan seolah-oleh mempertahankan diri kerana berasa terancam.

Bagaimanakah seseorang itu boleh dikesan mengalami gangguan mental dan apakah rawatan awal boleh dilakukan ke atas pesakit berkenaan?

Dr. HAZLI: Penyakit mental itu bukan berlaku secara tiba-tiba dan perubahan yang berlaku kepada mereka mengambil masa. Ada juga pesakit tidak mengetahui mereka mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Bagaimanapun, perubahan kelakuan pesakit boleh dikesan oleh mereka yang rapat dengan dirinya. Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka adalah seorang yang peramah akan menjadi pendiam serta tidak mahu bergaul dengan orang lain. Mereka menunjukkan perubahan tetapi tidak ketara, namun selepas sesuatu tragedi berlaku barulah orang sekelilingnya sedar bahawa masalah itu sudah lama dialami oleh pesakit.

Sekiranya mereka mendapatkan rawatan awal, penyakit yang mereka alami itu boleh pulih dengan segera dan kadangkala tidak perlu rawatan ubatan sebaliknya hanya menjalani kaunseling dan psikoterapi.

Masyarakat juga perlu diberi pendedahan maklumat supaya dapat membezakan jenis penyakit mental itu. Mereka tidak boleh merangkumkan semua jenis penyakit mental itu di bawah satu kategori kerana terdapat kategori yang serius dan sebaliknya.

Stigma mengatakan individu yang mendapatkan rawatan psikologi akibat mengalami tekanan perasaan dianggap sebagai tidak siuman menyebabkan pesakit malu untuk mendapatkan rawatan. Apa pandangan doktor berhubung perkara tersebut?

DR. HAZLI: Memang benar, stigma tersebut menyebabkan pesakit tidak mahu mendapatkan rawatan kerana takut dilabelkan sebagai orang tidak siuman. Adalah sukar untuk kita membezakan sama ada individu itu mengalami penyakit mental atau hanya masalah kesihatan mental iaitu mengalami tekanan.

Sekiranya, masyarakat boleh menerima dan tidak meletakkan stigma ke atas pesakit, saya pasti ramai akan datang mendapatkan rawatan pada peringkat awal, namun ekoran malu atau takut mengakuinya menyebabkan keadaan berlaku sebaliknya.

Selain itu, disebabkan stigma juga ada ahli keluarga yang sedar akan perubahan pesakit tetapi malu untuk mengakuinya kerana takut dengan pandangan masyarakat ke atas keluarga mereka.

Terdapat segelintir masyarakat yang menggunakan khidmat bomoh sekiranya mengalami tanda-tanda gangguan mental berbanding membawa pesakit tersebut menemui doktor bertauliah. Pandangan dan nasihat doktor berhubung perkara tersebut?

DR. HAZLI: Tidak dinafikan ada dalam kalangan kita mencari bomoh sekiranya ahli keluarga mengalami masalah atau mula menunjukkan perubahan tingkah laku. Bagaimanapun, sebagai langkah atau pencegahan awal, pesakit tersebut perlu dibawa untuk bertemu dengan doktor bertauliah untuk memeriksa dan mengesahkan sama ada perubahan-perubahan yang dialami oleh pesakit itu ada kaitan dengan penyakit mental.

Mengikut rekod, seawal umur berapa individu itu boleh mengalami gangguan mental dan apakah puncanya?

DR. HAZLI: Selalunya ia berlaku pada peringkat remaja, namun ia bergantung kepada jenis penyakit dihidapi.

Kategori penyakit mental ada banyak dan jumlah pesakit itu bergantung kepada penyakit mental yang dihadapi oleh pesakit. Sebagai contoh, bagi penyakit kemurungan, golongan wanita lebih ramai. Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kecelaruan fikiran tetapi melibatkan emosi dan boleh dirawat dengan kaedah lain serta boleh pulih sekiranya mendapat rawatan segera.

Bagaimana doktor melihat sokongan moral ahli keluarga atau sahabat dapat membantu pesakit untuk pulih daripada penyakit tersebut?

Dr. Hazli: Sokongan keluarga terutamanya ibu bapa sememangnya amat penting kepada mereka yang mengalami masalah penyakit mental. Tempat rawatan terbaik untuk pesakit adalah bersama komuniti iaitu mereka berada bersama ahli keluarga dan bukan di institusi psikiatrik seperti Hospital Bahagia atau Hospital Permai.

Sekiranya mereka diberi rawatan secara optimum, mereka boleh bekerja seperti individu lain. Pada peringkat awal mungkin keluarga sukar untuk menerimanya tetapi sokongan dan bantuan yang diberikan amat bermakna buat pesakit.

Justeru, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan dan kesedaran mengenai penyakit ini serta bagaimana caranya untuk membantu kerana jika pesakit berasa tertekan lagi sukar untuk mereka pulih.

Sekiranya mereka mendapatkan rawatan awal, penyakit yang mereka alami itu boleh pulih dengan segera dan kadang-kala tidak perlu 
rawatan ubatan sebaliknya hanya menjalani kaunseling dan psikoterapi