Sejarah pilihan raya pula diwarnai peristiwa dan peraturan yang mengundang pelbagai persepsi dan juga kontroversi. Ia menunjukkan bahawa proses dan mekanisme demokrasi itu tidak statik tetapi berubah menurut arus masa untuk memenuhi keperluan, tujuan dan agenda berbeza seperti paparan di bawah.

Di New Zealand, apabila tiba hari mengundi, seluruh negara itu bagaikan bisu. Iklan parti politik diharamkan, laman media sosial calon yang bertanding juga dipendam, manakala media elektronik dilarang membuat liputan atau menyiarkan maklumat yang dianggap ‘meraih undi’. Mereka yang melanggar peraturan pilihan raya boleh dikenakan denda berat mencecah puluhan ribu dolar.

Di Jepun pula, kempen dari rumah ke rumah oleh calon yang bertanding adalah tabu dan dilarang sama sekali. Negara matahari terbit itu masih mengamalkan cara lama untuk berkempen dengan parti-parti politik menghantar ‘van iklan’ ke jalan raya yang lantang ‘melontarkan’ manifesto menerusi corong pembesar suara, manakala calon pula melambai kepada orang ramai dari dalam kenderaan, kerap kali memakai sarung tangan putih.

Pemakaian sarung tangan putih itu menjadi tradisi sejak 50 tahun lalu bagi membantu menonjolkan imej bersih calon kepada pengundi selain memudahkan orang ramai mengenali mereka.

Kempen politik di televisyen dikekang dan papan iklan politik diharamkan di Jepun. Rapat umum dan ceramah besar-besaran juga tidak kelihatan. Walaupun Jepun sinonim dengan teknologi, mekanisme media baharu termasuk laman sosial pula tidak digemari dan kurang mendapat sambutan dalam kalangan parti politik utama negara itu.

Beribu-ribu kilometer dari Jepun di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS), penduduknya dibenarkan mengundi dari angkasa lepas sejak lebih dua dekad lalu. Ibu negeri Texas, Houston menempatkan pusat latihan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Undang-undang itu yang diluluskan pada tahun 1997 membolehkan angkasawan AS yang berada di orbit mengundi dalam pilihan raya melalui e-mel ‘selamat’ kepada Pusat Penerbangan Angkasa Johnson sebelum undi itu dihantar ke kawasan pilihan raya mereka.

Angkasawan AS pertama yang mengundi secara tidak konvensional itu ialah David Wolf dari stesen angkasa lepas Rusia, Mir, pada tahun 1997.

Simbolik

Bandar Sao Paolo di Brazil mencetuskan kontroversi pada tahun 1959 apabila seekor badak sumbu menang besar dalam pilihan raya majlis perbandaran dengan mengalahkan 540 calon manusia.

Pelajar tempatan mencalonkan badak sumbu betina seberat dua tan bernama Cacareco dari Zoo Sao Paolo itu untuk bertanding berikutan warga kota sudah muak dengan ‘wabak’ rasuah yang menular dalam sistem pentadbiran tempatan.

Perkara itu yang pada mulanya menjadi bahan ketawa ahli-ahli politik tempatan mengundang aib buat mereka apabila Cacareco tanpa dijangka mendapat 100,000 undi sekali gus lebih banyak daripada undi yang diperoleh mana-mana calon manusia.

Peristiwa memalukan yang mana ahli-ahli politik ditewaskan oleh seekor badak sumbu itu menjadi tajuk berita antarabangsa, manakala terma ‘Undi Cacareco’ masih digunakan sehingga hari ini sebagai simbol undi protes di Brazil.

Tujuan utama pilihan raya diadakan adalah untuk memilih kerajaan selepas tempoh pentadbiran yang dibenarkan berakhir, namun perkara sebaliknya berlaku di Belgium apabila proses demokrasi itu gagal menyelesaikan kemelut politik di negara Eropah tersebut.

Penduduk Belgium terbahagi kepada dua komuniti terbesar, terdiri daripada etnik yang bertutur dalam bahasa Perancis di selatan negara itu dan komuniti berlidah Flemish yang lebih kaya di utara. Perbezaan budaya dan bahasa yang begitu ketara menyebabkan sukar untuk parti-parti politik mencatatkan kemenangan majoriti di Parlimen, manakala situasi paling buruk berlaku dalam tahun 2010-2011.

Pilihan raya umum 2010 di Belgium menyaksikan tiada parti menang majoriti. Usaha membentuk kerajaan juga menemui jalan buntu berikutan parti-parti politik di negara itu yang dibentuk berteraskan dan memperjuangkan agenda perkauman, berdegil dan enggan bertolak ansur.

AS pernah mengalami situasi yang menyaksikan kerajaan negara itu tidak beroperasi atau ditutup selama beberapa hari ekoran perbalahan dalam kalangan anggota Kongres berkaitan isu bajet. Situasi di Belgium lebih kronik apabila tiada kerajaan dapat dibentuk selama 589 hari dengan krisis tersebut berlarutan hingga 2011. Bagaimanapun, pentadbiran negara dan kehidupan rakyat berjalan seperti biasa sepanjang tempoh tersebut. Pentadbiran negara ketika itu diambil alih oleh sebuah kerajaan sementara.

Peratusan

Peratusan keluar mengundi dalam sesuatu pilihan raya mencerminkan bahawa proses demokrasi dalam negara itu ‘sihat’, manakala mana-mana negara demokrasi di dunia mahukan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Namun, sukar bagi negara-negara di dunia ini menandingi peratusan keluar mengundi yang direkodkan oleh Korea Utara. Negara komunis itu mencatatkan peratusan keluar mengundi paling cemerlang, 99.98 peratus dalam pilihan raya pada tahun 2009.

Walaupun Korea Utara mengamalkan pemerintahan diktator yang menyaksikan dinasti keluarga Kim terus berkuasa, negara itu melaksanakan pilihan raya yang sudah tentunya korup dan dicemari penindasan.

Pilihan raya Parlimen itu diadakan lima tahun sekali untuk memilih ahli Perhimpunan Agung Rakyat Korea Utara tetapi setiap daerah hanya mempunyai seorang calon yang dipilih pemerintah, manakala peti undi khas disediakan kepada pengundi yang menentang calon tersebut.

Mengundi juga bukan pilihan tetapi diwajibkan kepada setiap rakyat Korea Utara. Penduduk yang tidak keluar mengundi akan dikenakan hukuman berat. Selain Korea Utara, Australia juga mewajibkan rakyatnya keluar mengundi.