Krisis terburuk Semenanjung Arab itu ‘menggelegak’ pada pertengahan 2017 susulan tindakan Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir yang bukan sahaja memutuskan hubungan diplomatik, perdagangan serta perjalanan dengan Qatar, malah turut melancarkan kepungan udara dan laut ke atas Doha.

Warganegara Qatar yang berada di Arab Saudi, UAE dan Bahrain diberikan tempoh 14 hari untuk pulang ke tanah air mereka atau berdepan tindakan lanjut.

Kemarahan membuak-buak jiran Qatar itu dirumuskan oleh Menteri Pertahanan Doha, Khalid bin Mohammad Al-Attiyah ketika beliau diwawancara akhbar Washington Post pada Februari 2018. Dalam temu bual tersebut, Khalid membuat pendedahan bahawa Arab Saudi dan UAE pernah merancang untuk menakluki Qatar ketika krisis itu memuncak tahun lalu.

Namun, tindakan ketenteraan tersebut gagal menjadi realiti ekoran tidak mendapat restu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Washington menganggap Doha sebagai sekutu utamanya selain Arab Saudi di rantau Teluk. Qatar juga menempatkan pangkalan udara terbesar AS di Asia Barat di Al-Udeid bersama hampir 11,000 anggota tentera kuasa besar tersebut.

Pembinaan Pangkalan Udara Al-Udeid dalam tahun 1990-an itu yang menelan belanja hampir AS$1 bilion(RM3.98 bilion) dibiayai oleh Doha.

Tekanan

Selain itu, Qatar membenarkan Turki mendirikan sebuah pangkalan tenteranya di negara itu pada 2015. Kedua-dua pangkalan tentera tersebut, kata beberapa penganalisis, memainkan peranan strategik selain berfungsi sebagai jaminan keselamatan kepada Qatar yang berjiran dengan dua kuasa terkuat dan seteru paling ketat di Teluk iaitu Arab Saudi dan Iran.

Tiga negara teluk itu dan Mesir sebelum ini menuduh Qatar menaja keganasan, menjalin hubungan terlalu rapat dengan Iran dan menjejaskan kestabilan dunia Arab.

Qatar merupakan negara monarki kecil berbentuk seperti ibu jari di Semenanjung Arab dan mempunyai kira-kira 2.7 juta penduduk dengan majoritinya pengikut Sunnah. Ia sudah lama mempratikkan dasar luar berlawanan dengan pendirian jiran-jirannya.

Doha tidak menghiraukan perseteruan Iran-Arab Saudi dan menjalinkan hubungan baik dengan Teheran kerana berkongsi telaga gas terbesar dunia dengan Republik Islam itu. Selain itu, Qatar mengundang kemarahan Riyadh kerana menyokong kumpulan-kumpulan Islam yang menjadi musuh Arab Saudi seperti pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hamas di Gaza.

Namun, punca sebenar kemarahan negara-negara Teluk terhadap Qatar dikatakan berpunca daripada keengganan Doha menyokong deklarasi Riyadh pada 2017 sekali gus menolak dominasi Arab Saudi.

Sekatan negara-negara Teluk tersebut bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Qatar dan memaksa emirnya, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, 37, tunduk kepada 13 tuntutan utama pakatan Riyadh termasuk menutup stesen televisyen Al-Jazeera, menutup pangkalan tentera Turki di negara itu dan merenggangkan hubungan diplomatik dengan Iran.

Qatar bukan sahaja enggan mematuhi 13 tuntutan tersebut bahkan menyatakan, ia tidak akan bersetuju dengan sebarang tindakan yang mengancam kedaulatannya dan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Doha kemudian mengambil tindakan susulan dengan mengukuhkan hubungan dengan sekutu-sekutunya seperti Iran, Turki dan AS bagi mengharungi kepungan ekonomi tersebut.

Qatar juga bertindak menjalinkan semula hubungan diplomatik dengan Iran dan menawarkan untuk meluaskan pangkalan tentera AS di negaranya dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh Doha.

Sheikh Tamim juga bijak memujuk Washington apabila mengumumkan negaranya akan membuat pelaburan berjumlah AS$100 bilion (RM398.2 bilion) dalam ekonomi AS termasuk AS$10 bilion (RM39.8 bilion) untuk infrastruktur, sektor yang dianggap penting oleh Trump.

Kerajaan AS dan Qatar juga menandatangani memorandum persefahaman untuk memerangi keganasan dan penyeludupan manusia, perkongsian maklumat, kewangan dan aspek lain bagi meraih sokongan Washington dan antarabangsa bagi meminimumkan impak perang diplomatik Arab Saudi. Beberapa minggu pertama selepas sekatan ke atas Qatar dilaksanakan, rak-rak pasar raya di negara itu lenggang, manakala importnya pula menyusut hampir 40 peratus, menandakan kepungan ekonomi oleh pakatan Arab Saudi mula menampakkan hasilnya.

Namun, Doha selaku pengeksport gas asli terbesar dunia bertindak balas dengan mencari laluan perdagangan dan maritim baharu termasuk hubungan perdagangan dengan Pakistan, Taiwan dan Malaysia.

Selain itu, Qatar juga menerima bantuan produk makanan yang dihantar oleh Iran dan Turki bagi memenuhi keperluan rakyatnya.

Sekatan ekonomi pakatan empat negara itu gagal melumpuhkan Qatar, malah, menurut majalah Forbes, rizab asing Doha meningkat sebanyak AS$2.9 bilion (RM11.55 bilion) kepada AS$17.7 bilion (RM70.48 bilion) pada akhir tahun lalu.

Haluan sendiri

Walaupun sebuah negara monarki, Qatar mengamalkan prinsip pentadbiran liberal dan menentang fahaman Wahabi di dunia Arab. Ia mendapat sokongan kuasa terkuat Syiah iaitu Iran.

Riyadh, sebaliknya, tidak begitu menyokong demokrasi gaya Arab yang merebak dengan kebangkitan penduduk rantau berkenaan dikenali sebagai Arab Spring pada 2011.

Ia berikutan keluarga diraja Arab Saudi sedar bahawa mereka tidak disukai oleh golongan yang memperjuangkan pergerakan itu, manakala pemimpin awal yang menjadi produk perjuangan demokrasi di Asia Barat menjadi anatema kepada kedua-dua Arab Saudi dan AS seperti kemenangan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi di Mesir.

Pendirian tegas oleh Sheikh Tamim adalah untuk menunjukkan bahawa Qatar menolak hegemoni Arab Saudi dan juga tidak mahu dijadikan proksi Iran di rantau Teluk.

Doha sebaliknya mahu bebas menentukan masa depannya sendiri di sebalik kekalutan politik di Asia Barat.