Namun senario politik negara berubah 360 darjah selepas wujud blok baharu dikenali Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurut Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd. Azam Ismail berkata, perubahan angin politik baharu itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN di Kelantan.

“Dalam keadaan sekarang UMNO dilihat lebih dominan berbanding dengan Pas yang semakin lemah selepas berlaku perpecahan dan tertubuhnya PAN. Terdapat wakil rakyat Pas yang secara nyata dan tersembunyi mula memihak kepada PAN.

“UMNO pula dilihat lebih bersedia untuk mengambil alih kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui BN lebih memberi tumpuan kepada rakyat melalui pendekatan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya baru-baru ini.

Mohd. Azam berkata, penduduk yang tinggal di Kelantan terutama golongan belia mahukan angin baharu serta perubahan khususnya melibatkan proses pembangunan fizikal dan kerohanian.

Calon

“Sebagai suara orang muda, saya melihat kerajaan pimpinan Pas lebih gemar mempolitikkan isu berbanding menyelesaikannya. Peluang BN lebih cerah berbanding PH untuk menerajui negeri ini.

“BN akan meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH masih samar-samar, berlaku konflik dalaman dalam pembahagian kerusi, sama ada ingin bertanding di semua kerusi atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, kemungkinan untuk berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa kerusia DUN dan Parlimen adalah amat besar selain perseteruan tradisi BN dan Pas, pilihan raya kali ini akan ditentang parti daripada PH.

“Pas adalah saingan politik utama UMNO di Kelantan sejak dahulu lagi, jadi adalah mustahil untuk kedua-duanya bersatu. Cuma ada beberapa perkara berkaitan umat Islam dan orang Melayu di negara ini UMNO bersependapat dengan Pas.

“Seperti Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau dikenali sebagai RUU 355 yang bertujuan untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik di Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nazri berkata, beliau menjangkakan pertembungan sengit akan berlaku di Kelantan membabitkan Pas, BN dan PH pada PRU-14.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Pas masih lagi dilihat sebagai parti yang kukuh dan dijangka tidak berdepan masalah untuk kekal berkuasa di negeri itu.

“Berdasarkan keputusan PRU-13, Pas berjaya meraih sebanyak 32 kerusi berbanding 12 kerusi oleh BN dan satu kerusi oleh PKR.

“Ini menunjukkan Pas terlalu unggul di Kelantan apatah lagi negeri itu merupakan kubu kuat mereka sejak dirampas daripada BN kira-kira 28 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Tambah Achmad Dzariean, biarpun sokongan terhadap BN dilihat semakin meningkat di negeri itu namun ia sukar untuk mempengaruhi keputusan pengundi yang dilihat selesa di bawah kepimpinan Pas.

Katanya, biarpun wujud pepecahan dalam Pas yang menyaksikan kemunculan PAN namun isu itu telah selesai dan tidak menjejaskan jentera parti itu yang sudah berakar umbi sejak sekian lama.

“Perlu diingat penyokong UMNO yang mendominasi BN di Kelantan juga berpecah selepas kemunculan PPBM manakala PH pula dilihat tidak mempunyai akar umbi yang kuat untuk membantu kempen mereka

Sentimen

“Di sinilah terletaknya kelebihan Pas dan tanpa sebarang isu besar melibatkan pentadbiran atau pemimpin mereka ketika ini, ia tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan BN dan PH,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan sentimen semasa, beliau menjangkakan berlaku pertembungan tiga penjuru di antara Pas, BN dan PH di Kelantan.

“Setakat ini, belum ada tanda-tanda Pas akan bekerjasama dengan BN atau PH dan kemungkinan setiap parti akan mengekalkan status quo seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, situasi ini dijangka memberi sedikit kelebihan kepada BN yang mungkin berjaya menambah beberapa kerusi lagi atau setidak-tidaknya mengekalkan kerusi sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor pula berpendapat, setiap parti sama ada Pas, BN dan PH mempunyai peluang sama rata untuk berkuasa di Kelantan.

Namun, katanya, biarpun kedudukan Pas tampak selesa dengan majoriti kerusi yang dimenangi namun BN dan PH juga mampu melakukan kejutan.

“Situasi PRU-14 berbeza kerana Pas kini bergerak bersendirian. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, undi Pas akan berpecah sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

“Ini dapat dilihat pada pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar yang menyaksikan kemenangan besar BN bukan sebab ia popular tetapi disebabkan undi pembangkang berpecah,” katanya.

Jelasnya, jika Pas tewas di Kelantan, ia akan memberi tamparan hebat kepada parti itu apatah lagi dalam misinya untuk menawan beberapa negeri lain seperti Terengganu dan Kedah.

“Jika Pas mahu kekal berkuasa di Kelantan, mahu tidak mahu ia perlu menjalin kerjasama politik sama ada dengan BN atau PH,” katanya.