Wang dijana dalam negara tetapi dibawa keluar. Penghantaran dana oleh pekerja asing ke negara asal mereka merupakan satu pengorbanan dan komitmen berterusan dalam memastikan jaminan masa depan keluarga yang ditinggalkan.

Menurut Laporan Menghantar Pulang Wang: Menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terbitan Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian (IFAD), terdapat kira-kira 200 juta migran dari negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan yang menghantar wang kepada keluarga mereka di tanah air masing-masing.

“Aliran penghantaran wang telah berkembang sejak sedekad lalu pada kadar purata 4.2 peratus setahun, daripada AS$296 bilion (RM1,194 bilion) pada tahun 2008 kepada AS$445 bilion (RM1,795 bilion) pada 2016.

“Pertumbuhan ini berterusan sungguhpun terdapat halangan ekonomi, pertama disebabkan oleh krisis kewangan tahun 2008 dan terkini, pengurangan perolehan kepada negara-negara penghasil minyak serta turun naik kadar mata wang,” katanya.

Penasihat Teknikal Kanan dan Pengurus Kemudahan Kewangan bagi Penghantaran Wang IFAD, Pedro De Vasconcelos berkata, dianggarkan 800 juta orang di seluruh negara menerima sokongan langsung daripada aktiviti penghantaran wang.

“Jika melibatkan kedua-dua pengirim dan penerima, 1 bilion individu atau, 1:7 penduduk dunia yang terlibat secara langsung.

“Penghantaran wang kebiasaannya mewakili 60 peratus daripada pendapatan isi rumah atau AS$200 (RM796) ke AS$300 (RM1,194) yang dihantar pulang setiap orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Forum Global terhadap Penghantaran Wang, Pelaburan dan Pembangunan 2018: Asia Pasifik di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Analisis

Menurut portal yang menyediakan data, analisis dan profil pasaran penghantaran wang, RemitScope, dari aspek penghantaran dana, Malaysia berada di tangga keempat dunia.

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun lalu, sejumlah RM32.9 bilion telah dikirim ke luar negara, sebahagian besar ke Indonesia, Bangladesh dan Nepal. Nilai tersebut adalah lebih rendah berbanding RM34.2 bilion yang dikirim pada tahun 2016.

Memetik data Kementerian Dalam Negeri, Pengarah Pengawalan dan Perkhidmatan Perniagaan Wang BNM, Nik Mohamed Nik Musa berkata, Malaysia menempatkan kira-kira 1.8 juta pekerja asing pada masa ini.

Pihaknya menjangkakan nilai kiriman dana ke luar negara akan meningkat sekitar satu digit pada tahun ini.

“Sebahagian daripada peningkatan ini adalah kami menambah usaha, menggunakan teknologi dan kesedaran untuk menggalakkan pekerja asing di Malaysia menggunakan saluran formal bagi penghantaran wang ke negara asal mereka.

“Kami juga menyasarkan syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana agar mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan penyedia perkhidmatan penghantaraan wang untuk menyalurkan dana ke negara-negara mempunyai jalinan dagangan antarabangsa dengan mereka,” ujarnya.

Kehadiran teknologi turut memainkan peranan penting dalam penurunan kos penghantaran dana. Kadar kos penghantaran yang lebih rendah akan memberikan penjimatan kepada pekerja asing berkenaan sekali gus lebih banyak tunai di tangan mereka.

Menurut statistik BNM, daripada 2,679 pihak yang terdiri daripada ibu pejabat, cawangan dan ejen perniagaan perkhidmatan kewangan berlesen yang menawarkan khidmat penghantaran wang, 17 daripadanya menyediakan khidmat menerusi saluran elektronik mudah alih atau laman web (e-penghantaran wang).