Suruhanjaya tersebut yang diketuai Sir Alexander Carr-Saunder menyokong sebuah universiti yang akhirnya menyaksikan Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles, Singapura digabungkan dan dinamakan sebagai Universiti Malaya. UM mendapat namanya daripada istilah ‘Malaya’ yang kemudiannya menjadi nama negara.

Berdasarkan catatan Arkib Negara, upacara menandakan kelahiran universiti tertua di negara itu dilakukan pada 8 Oktober 1949 di Dewan Raffles College, Singapura. Kerja-kerja pembinaan bagi 10 tahun pertama dianggarkan menelan belanja RM3 juta. Sementara perbelanjaan rencam RM5 juta. Sebagai satu galakan, British telah menyumbang sebanyak RM8.5 juta kepada tabung penubuhan universiti itu.

Perkembangan pesat UM menyebabkan universiti dibahagikan kepada dua kampus berautonomi. Satu terletak di Kuala Lumpur dan satu lagi di Singapura. Pada 1 Januari 1962, UM di kampus Kuala Lumpur telah mendapat hak kekal untuk mendiami tanah berkeluasan 309 hektar di Kuala Lumpur. Nama UM kekal. Bagaimanapun, kampus autonomi di Singapura bertukar nama kepada National University of Singapore.

UM telah meraikan pelantikan Canselor pertama UM iaitu Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Naib canselornya ialah Sir Alexander Oppenheim yang juga ahli matematik terkenal dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekarang merupakan Canselor UM sementara Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim merupakan Naib Canselor universiti tertua di Malaysia itu.

Dari zaman dahulu hingga lain, UM kekal unggul sebagai kampus berprestij. Berdasarkan ranking 100 universiti Asia terbaik yang dikendalikan Times Higher Education, UM menduduki tangga ke-59 (2017) dan pencapaiannya bertambah baik pada tahun ini dengan berada di tangga ke-46. Sementara, National University of Singapore kekal terbaik di tangga pertama pada dua tahun berturut-turut. Semoga UM terus kukuh dan akan terus melahirkan cendekiawan-cendekiawan yang disegani di mata dunia.