Amalan memberi kelebihan dan peluang seperti jawatan awam dan politik, kontrak, subsidi, pengenalan undang-undang tertentu, tanah, kepakaran, gelaran dan keuntungan-keuntungan lain kepada rakan-rakan tokoh yang berkuasa menjadi fenomena biasa. Pemberian tersebut tidak semestinya berasaskan merit.

Sesetengah orang melihat pengaruh ke atas struktur politik dan akses kepada sistem birokrasi sebagai pertukaran kepada sokongan politik yang diterjemahkan dalam pelantikan-pelantikan selepas pilihan raya selesai.

Pihak yang mahu memperjuangan ideal-ideal politik mungkin merasakan budaya politik naungan sebegini sebagai amalan Dunia Ketiga.

Sebenarnya ia berlaku dalam banyak masyarakat di segenap tahap dan sistem politik termasuk di negara maju yang mempunyai sistem politik sofistikated seperti Amerika Syarikat.

Di Malaysia, penglibatan UMNO, MCA dan MIC serta Barisan Nasional (BN) dalam sistem ini sejak merdeka sering dikaitkan dengan berkembangnya budaya naungan daripada pemilihan menteri, pegawai perkhidmatan awam, ketua pegawai eksekutif syarikat kerajaan hingga kepada pemilihan imam-imam di surau dan masjid.

Ada ketikanya orang dapat memikirkan sesuatu pelantikan itu bukan sangat atas keperluan, sebaliknya diberi dan diwujudkan sekadar sebagai ganjaran kerana menyokong calon dan parti politik yang menang.

Banyak pihak merasakan walaupun sistem naungan ini tidak akan dapat dihapuskan sama sekali, sekurang-kurangnya ia perlu dikawal.

Kontroversi kononnya pelantikan 17,000 kakitangan awam BN yang tidak disambung kontrak mereka baru-baru ini adalah contoh nyata betapa besarnya budaya naungan dalam politik Malaysia.

Bagaimanapun, oleh kerana kita berhadapan dengan tingkah laku manusia, politik naungan ini dipandu oleh logik yang dapat difahami iaitu ia mencerminkan lumrah perhubungan sesama manusia.

Ada ubi ada batas, ada budi ada balas.

Ganjaran biasanya diberi kepada individu yang bijak menggembirakan hati orang yang berkuasa dan membantu memenangkannya dalam persaingan politik. Orang yang mendapat ganjaran itu pula, sebagai balasannya, akan berusaha mengekalkan kuasa pada tangan orang yang menaunginya.

Apabila proses ini bermula, ia kelak akhirnya membina suatu bentuk naungan baharu pada masa akan datang yang amalannya bakal menjadi budaya politik selama bertahun-tahun.

Selepas PRU-14, kita menyaksikan bagaimana politik naungan di Malaysia memasuki fasa baharu dan diuji dalam persekitaran dan landskap politik yang berubah.

Kekayaan

Ada banyak kawan politik yang perlu diberi ganjaran oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru mengambil alih kuasa daripada BN. Apa bentuk ganjaran itu kepada penyokong pasti dapat kita perhatikan dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, terutama bagaimana kekayaan diagih-agihkan.

Fenomena ini tidak dapat dielakkan kerana itulah antara tujuan politik.

Ia merupakan sebahagian daripada budaya politik manusia, baik dalam budaya politik kumpulan elit, mahupun dalam budaya politik massa dan subbudayanya.

Pakatan Harapan mengimpikan sebuah Malaysia Baharu yang sudah semestinya tidak sama seperti di bawah UMNO dan BN, namun semua petunjuk setakat ini memperlihatkan bahawa cabaran terbesarnya adalah untuk keluar daripada budaya politik naungan atau sekurang-kurangnya cuba untuk mengimbanginya.

Terdapat banyak jawatan dan peluang ekonomi dan penjanaan kekayaan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan dalam pentadbiran kerajaan baharu sekarang. Wujud beribu-ribu pekerjaan, kontrak dan seumpamanya sudah sedia untuk diagih-agihkan dalam konteks politik naungan.

Cara semua itu diagihkan dan dibahagi-bahagikan antara parti-parti yang membentuk kerajaan sekarang, iaitu DAP, PKR, Amanah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Warisan, serta motivasi aktor-aktor politik yang terlibat amat menarik untuk diperhatikan, khususnya pengaruh ke atas polisi awam.

Misalnya, baru-baru ini seorang menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan mendakwa terdapat seorang pengerusi sebuah lembaga di bawah kementeriannya diberi gaji sehingga RM80,000 sebulan dan beliau terkejut mengetahuinya.

Adakah komplen mengenai gaji itu yang diberi kepada seorang tokoh korporat yang memperolehnya melalui politik naungan pada zaman pemerintahan kerajaan BN akan mencetuskan pembaharuan kepada sistem politik naungan di bawah kerajaan Pakatan Harapan?

Adakah suatu bentuk kawalan baharu akan diperkenalkan oleh kerajaan campuran yang menjadi pemerintah baharu Malaysia?

Kajian-kajian tentang politik di banyak negara menunjukkan para petani akan menukar tingkah laku politik dalam respons mereka kepada insentif positif khususnya semasa kempen pilihan raya.

Sokongan mereka kepada gerakan politik pada PRU-14 dimotivasikan oleh ganjaran yang mereka bakal peroleh, seperti juga sokongan berjuta-juta penyokong parti yang menang dalam pilihan raya umum lalu yang mungkin mengharapkan sesuatu imbuhan.
Tanpa ganjaran dan jangkaan positif dalam memenuhi aspirasi tersebut, sokongan boleh berubah seiring dengan perubahan masa.

Kelemahan UMNO dan BN dalam beberapa tahun lepas ialah ia membiarkan politik transaksi  (transactional politics) menjadi budaya yang meranapkan parti. Dengan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kini dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH), Pakatan Harapan, misalnya, memperlihatkan ia pun sukar untuk lari daripada politik transaksi.

Tiada sesuatu yang baharu yang benar-benar baharu dalam politik di Malaysia. Semua pemimpin politik dan parti politik berusaha memberi perhatian utama kepada soal survival politik, dalam jangka masa pendek dan jangka panjang.