Meskipun bertanding sebagai calon parti Demokrat ketika itu, namun Hillary tetap memberi sokongan padu kepada pesaing utamanya iaitu Barack Obama.

Secara terbuka, Hillary dalam ucapannya pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat telah mengisytiharkan sokongan kepada Obama.

“Obama merupakan seorang pemimpin yang baik dan beliau adalah calon pilihan saya. Lelaki itu perlu diangkat menjadi presiden,” ucap Hillary pada konvensyen itu.

Isteri kepada bekas Presiden AS, Bill Clinton itu kalah dalam pertarungan sengit kepada Obama, sekali gus meleburkan harapannya untuk menjadi presiden wanita pertama AS.

Sehubungan itu, konsep kematangan berpolitik yang diamalkan oleh Hillary harus dijadikan contoh terbaik oleh setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana sikap tersebut bakal mencorak masa depan negara.

Negatif

Kebelakangan ini, sesetengah ahli politik dilihat lebih cenderung mengamalkan kempen secara negatif bagi meraih undi. Lebih menyedihkan, ada segelintir ahli politik dan pengundi sanggup menfitnah individu lain hanya semata-mata mahu menjatuhkan kredibiliti pemimpin terbabit.

Perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana kecenderungan seseorang memilih ideologi yang diinginkan merupakan hak masing-masing dan keputusan itu perlu dihormati sebaiknya.

Perbezaan fahaman politik merupakan sesuatu yang perlu diterima dengan baik dan bukannya dicemuh hanya semata-mata berbeza pandangan dan pendapat.

Mengambil contoh situasi politik di negara ini, keadaannya kadangkala dilihat begitu tegang dan tidak matang berikutan fahaman ideologi menjadi penyebab utama kepada permusuhan seseorang individu.

Sebagai seorang ahli masyarakat yang mengamalkan konsep perpaduan serta seorang Muslim yang mentaati agama, elemen kebencian sesama sendiri perlu dilontarkan sejauh-jauhnya.

Sikap negatif sedemikian dilihat bakal membantutkan hasrat kira-kira 30 juta rakyat Malaysia yang mahu negara ini terus berkembang dan maju setanding dengan negara antarabangsa yang lain.

Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bangsa bukan sahaja diukur daripada kecanggihan teknologi dan sumber kekayaan, malah turut dinilai menerusi aspek fizikal serta pemikiran.

Sekiranya budaya saling membenci dan tidak mempunyai kematangan dalam berfikir termasuklah ketika berpolitik terus diamalkan, impian bergelar negara maju mungkin sekadar angan-angan kosong.

Rakyat perlu bertindak segera dengan keluar daripada kepompong pemikiran sempit yang membelenggu diri dan menjadi insan baharu penuh dengan perwatakan positif serta lebih matang.

Dalam konteks lain, setiap ahli politik yang bakal bertanding pada PRU-14 kelak perlu mengubah budaya terlalu menghentam antara satu sama lain, sebaliknya menampilkan perwatakan yang lebih matang ketika berkempen.

Tidak dinafikan, elemen menyerang dan membalas balik segala kenyataan yang dilontarkan oleh pencabar dalam arena politik merupakan perkara lumrah, namun bagaimana situasi itu ditangani merupakan persoalan utama.

Jika dilihat kaedah berkempen di AS atau negara-negara Eropah, caranya lebih bersifat matang dengan menfokuskan kepada fakta-fakta untuk membangunkan negara.

Kempen yang dijalankan mereka lebih bersifat inklusif dengan memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memudahkan kehidupan rakyat serta menolak kempen yang bersifat serangan peribadi.

Namun berbeza di Malaysia, segelintir ahli politik gemar memainkan sentimen negatif seperti membuka pekung seseorang sebagai alat untuk berkempen.

Contohnya, mengutuk pemimpin tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, gemar menyeleweng duit rakyat, tidak ikhlas dan pelbagai lagi.

Lebih teruk, ada pemimpin parti politik turut menabur fitnah kepada pemimpin yang lain tanpa mempunyai bukti kukuh sehingga menyebabkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin itu hilang dan berisiko menyebabkan beliau kehilangan undi.

Situasi itu dapat digambarkan seperti pemimpin daripada parti A mendakwa pemimpin daripada parti B dengan tuduhan tanpa bukti kukuh. Tuduhan itu menyebabkan rakyat percaya sehingga menyebabkan bertindak berpaling tadah.

Begitupun, seorang pemimpin yang mengamalkan corak politik matang tidak akan menggunakan elemen tersebut untuk berkempen, sebaliknya menjadikan ideologi dan fahaman yang dibawa sebagai sumber utama perjuangan.

Sekiranya acuan politik sedemikian terus diamalkan, tidak mustahil suatu hari nanti generasi baharu akan terikut-ikut dengan corak kepimpinan yang tidak matang seterusnya mewujudkan tampuk pemerintahan yang tidak berkualiti.

Konklusinya, setiap rakyat perlu menghormati segala perbezaan ideologi yang dibawa mana-mana pihak dan seterusnya mampu mencipta keharmonian ketika berpolitik.

Berpolitik

Perbezaan itu merupakan sesuatu yang unik kerana daripada elemen tersebut wujud satu komuniti yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan fahaman, malah mencipta unsur perpaduan yang harus dijaga sebaiknya.

Niat untuk berpolitik bukan merupakan sesuatu yang dianggap salah dan perlu dihindari, namun cara bagaimana seseorang berpolitik merupakan perkara asas kepada masa depan sesebuah negara.

Justeru, politik matang bukan sahaja memastikan segala proses demokrasi berjalan dengan lancar, malah turut mewujudkan budaya yang akan dihormati oleh setiap orang termasuklah pemerhati antarabangsa.

Sekiranya amalan kepada politik yang berunsurkan negatif terus diamalkan di negara ini, maka tidak hairan suatu hari nanti ia akan menjadi budaya yang akan didukung oleh pewaris negara pada masa akan datang.

Adalah sesuatu yang menyedihkan bagi setiap rakyat terutamanya pemimpin terdahulu tatkala melihat negara yang dibangunkan dengan titik peluh bertukar kepada kerajaan dengan pemimpin yang tidak matang berfikir.

Sehubungan itu, jadikan segala perbezaan fahaman dan ideologi sebagai kawan dan hormatilah setiap aliran yang dipilih pengundi bagi memastikan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara.

l PROF. MADYA AHMAD MARTHADA MOHAMED ialah Dekan Kolej 
Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.