Bagaimanapun, kepada pihak lain, bahasa bukan sekadar bahasa. Bahasa kepada mereka terkandung budi, perjuangan, nilai politik, prospek ekonomi, pendirian agama dan jati diri bangsa.

Kepada golongan yang pertama, bahasa adalah lambang pragmatisme. Kepada kumpulan kedua, bahasa mencerminkan rupa bangsa Malaysia.

Polemik bahasa ini adalah polemik lama yang wujud sejak zaman awal kemerdekaan Malaysia.

Polemik inilah yang terzahir dalam perbalahan antara pejuang-pejuang bahasa Melayu dengan  Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mencetuskan kontroversi apabila beliau menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasminya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Guan Eng mempertahankan tindakannya itu dengan mendakwa kenyataan dalam bahasa Mandarin itu hanya ditujukan kepada media dan khalayak berbahasa Mandarin bagi memudahkan penyampaian mesej-mesej komunikasi.

Pencinta bahasa Melayu tidak dapat sama sekali menerima alasan Guan Eng.

Kepada mereka, ia menyerlahkan diri sebenar Setiausaha Agung DAP itu yang dianggap anti warisan Melayu.

Semalam kira-kira 20 pejuang bahasa diketuai pemimpin Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berkumpul di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya sebagai membantah tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange pada minggu lalu.

Mereka menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Kewangan berhubung isu tersebut.

Yang menarik ialah demonstrasi itu turut disertai oleh beberapa tokoh termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang juga Ahli Lembaga Penasihat MPM; bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu

Zahar Ujang; Anggota Lembaga Penasihat MPM yang juga bekas tokoh korporat, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman;  Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Setiausaha MPM, Datuk Dr. Hassan Mad.

Mereka melaungkan beberapa slogan, antaranya ‘Hidup Bahasa Melayu’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan ‘Sayangi Bahasa Melayu’.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan lebih lantang dengan menggesa dalam demonstrasi itu agar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.

Beliau mendakwa, tindakan menggunakan bahasa Mandarin itu adalah cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Bahasa Melayu, kata Awang Sariyan, adalah asas pembentukan kenegaraan Malaysia.

Kenyataan ini jelas merupakan pernyataan ketidakpercayaan pejuang-pejuang bahasa terhadap Guan Eng.

Tun Hanif pula menambah, bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan kerajaan, dan beliau yakin Menteri Kewangan daripada parti DAP itu perlu disedarkan sebelum terlanjur lebih jauh.

Apabila tokoh negarawan seperti Hanif pun sanggup turun mengadakan demonstrasi untuk menyatakan bantahannya terhadap Guan Eng, isu bahasa ini tidak boleh lagi dianggap sebagai sesuatu yang kecil.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin menganggap Guan Eng hanya melakukan kesilapan kecil ketika mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin untuk urusan kerajaan.

Bagaimanapun, persepsi Mahathir mungkin tidak sama dengan pejuang-pejuang bahasa.

Jika Guan Eng terus konsisten dengan pendiriannya, sudah pasti politik bahasa dan perjuangan mendaulatkan bahasa kembali menjadi faktor yang memberi karakter kepada penentangan terhadap sesetengah dasar

kerajaan Pakatan Harapan.

Politik bahasa ini akan menjadi salah satu daripada episod kurang menyenangkan dalam tempoh 51 hari Pakatan Harapan memerintah Malaysia selepas menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.