Langkah itu susulan usaha rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda seperti aktivis undang-undang, Nik Shazarina Bakti yang telah berjaya mengutip dana sebanyak RM13,476.57 menerusi kempen Please Help Malaysia di platform GoGetFunding.

Dalam usahanya untuk memastikan derma dan sumbangan orang ramai diuruskan secara sistematik, Tabung Harapan Malaysia diwujudkan dan diuruskan oleh Kementerian Kewangan sendiri dengan jumlah kutipan dikemas kini setiap hari di laman web kementerian itu.

Kewujudan Tabung Harapan Malaysia umpama menghidupkan semula peristiwa yang berlaku di Dewan Meng Seng, Jalan Bendahara, Melaka pada 18 April 1954, yang mana orang ramai telah menyumbangkan barang kemas, wang dan pelbagai barangan lain bagi membiayai tambang Tunku Abdul Rahman dan rombongannya ke London untuk memujuk British memerdekakan Tanah Melayu.

Semangat patriotik rakyat dalam membantu membina negara yang menghadapi kemelut kewangan juga pernah berlaku di Korea Selatan.

Pada tahun 1907, Empayar Korea berhutang dengan Jepun sebanyak 13 juta won atau kira-kira setahun bajet negara itu. Bagi membantu, kaum lelaki berhenti merokok sementara wanita menjual barang kemas kesayangan mereka.

Pada tahun 1998 pula hampir suku populasi iaitu 3.5 juta rakyat Korea mengumpulkan 226 tan emas bernilai AS$2.2 bilion dalam tempoh dua bulan. Emas tersebut dileburkan menjadi jongkong emas dan dihantar kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membayar hutang negara itu. Menariknya, usaha itu telah membantu negara membayar semula pinjaman bernilai AS$58 bilion menjelang Ogos 2001.

Membantu

Walaupun dianggap sebagai satu usaha murni yang melibatkan rakyat, namun terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa Tabung Harapan Rakyat bukanlah cara terbaik untuk mengurangkan hutang negara.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Mohd. Yusof Saari, hutang kerajaan tidak menjadi ancaman kepada ekonomi negara selagi ia digunakan dan diuruskan untuk kegunaan yang produktif.

“Contohnya, jika hutang digunakan untuk membiayai projek pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya dan jajaran kenderaan awam, maka ia dianggap sebagai pelaburan produktif yang memberi faedah kepada negara.

“Apa yang paling penting ialah keupayaan negara untuk membayar hutang berkenaan, malah Malaysia tidak mengalami sebarang masalah untuk membayar hutang negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hutang dibayar secara ansuran atau berperingkat dalam tempoh masa panjang.

“Saya berpandangan bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan Tabung Harapan Rakyat kerana mengikut standard kebangsaan, hutang rasmi negara hanyalah 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) atau bersamaan RM686.8 bilion.

“Peratusan nisbah hutang kepada KDNK ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Singapura yang masing-masing 253 peratus dan 110 peratus,” ujarnya.

Mohd. Yusof menambah, Tabung Harapan Malaysia hanya bersifat ad-hoc dan berjangka pendek, malah ia bergantung semata-mata kepada penderma dan tiada kelestarian.

“Apa yang lebih penting ialah kerajaan merancakkan semula ekonomi agar hasil cukai bertambah,” katanya sambil menegaskan usaha tabung berkenaan boleh diteruskan dan secara sukarela.

Beliau berkata, pembabitan dalam Tabung Harapan Rakyat perlu terarah kepada syarikat korporat dan individu yang mempunyai kekayaan berlebihan.