Bagaimanapun, Kuala Lumpur dan Damsyik dalam beberapa tahun terakhir ini berkembang menuju ke dua destinasi masa depan yang berbeza.

Berhadapan dengan kemelut perang saudara yang berpanjangan, masa depan Damsyik begitu suram tidak sebagaimana Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur (kerana restoran mamak dan kedai 11-Eleven merata-rata dibuka 24 sehari) dan persekitarannya yang sungguh vibrant.

Ibu kota Malaysia itu dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa dengan rakyat berketurunan Cina menjadi antara kumpulan majoriti dalam kota yang mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk.

Banyak orang telah lupa bahawa sebelum tahun 1974, Kuala Lumpur merupakan sebuah daerah dalam negeri Selangor. Kota itu mengalami perubahan penting dari segi politik dan pentadbiran pada tahun 1974 ekoran satu langkah mewartakannya sebagai Wilayah Persekutuan untuk menstabilkan politik dan mengurangkan pergeseran kaum.

Untuk mengetahui tentang sejarah sebuah kota, seseorang pengkaji biasanya akan meninjau tanah perkuburan dan era perkembangan kawasan tempat tinggal manusia yang mendiaminya.

Di Kuala Lumpur, jika seseorang memandu melalui jalan pintas di kawasan sekitar Jalan Bellamy berhampiran Istana Negara lama menuju ke Seputeh, dia akan menempuh perkuburan Kwong Tong yang terbentang meliputi tanah seluas 333 ekar di kawasan yang dipanggil Bukit Petaling.

Tanah perkuburan Kwong Tong adalah gambaran sumbangan besar orang Cina kepada pembangunan Kuala Lumpur.

Di situlah salah seorang kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy disemadikan. Yap Ah Loy meninggal dunia pada usia 47 tahun pada tahun 1885.

Sejarah mengangkat Yap Ah Loy, seorang pemimpin komuniti Hakka yang dilahirkan di Guangdong, China pada zaman Dinasti Qing, sebagai orang yang membina Kuala Lumpur daripada kemusnahan perang saudara di Selangor pada pertengahan kurun ke-19.

Pada tahun 1880, lima tahun sebelum kematiannya, Selangor memindahkan pusat pentadbiran ibu negeri dari Klang ke Kuala Lumpur.

Dengan pemindahan pusat pentadbiran itu, bermulalah era Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang menarik beribu-ribu imigran dalam negeri dan seberang laut. Hari ini Kuala Lumpur dianggap sebagai satu-satunya sebuah metropolitan bertaraf global di Malaysia yang disokong oleh penduduk Lembah Klang seramai hampir 8 juta orang.

Dalam beberapa minggu lalu, kita menyaksikan berulangnya polemik tentang siapa yang membuka Kuala Lumpur ekoran penerbitan sebuah buku mengenai Sutan Puasa, seorang pemimpin Melayu Mandailing yang berasal dari Sumatera.

Beliau telah pun menjadi ketua penduduk Mandailing di Kuala Lumpur ketika Raja Abdullah, seorang raja Bugis dari Riau tiba di situ pada pertengahan kurun ke-19.

Sultan Puasa hidup sezaman dengan Yap Ah Loy. Beliau meninggal dunia pada tahun 1908 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang tidak jauh dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dicatatkan dalam sejarah seorang pedagang, Hiu Siew menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing di Kuala Lumpur pada ketika itu.

Buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur tulisan Abdur-Razzaq Lubis, seorang penulis berketurunan Mandailing, yang dilancarkan pada 7 April 2018 bukan sebuah cerita yang di luar pengetahuan ahli-ahli sejarah.

Bagaimanapun, buku setebal 615 muka surat itu menjadi titik peralihan sejarah kerana kehadirannya mencetuskan kembali polemik, lebih-lebih lagi melibatkan Datuk Sheila Majid, seorang penyanyi terkenal yang merupakan keturunan Sutan Puasa.

Kedua-duanya, Yap Ah Loy dan Sutan Puasa, hidup pada zaman penuh pancaroba ketika British meluaskan cengkaman kuasa penjajahan di Tanah Melayu.

Pada tahun 1850 ketika Yap Ah Loy masih Kapitan Cina ketiga, Sutan Puasa sudah pun mengutip cukai timah di pangkalan di tepi sungai di Kuala Lumpur.

Kedua-duanya datang dari jauh Ω Yap Ah Loy dari Guangdong, China dan Sutan Puasa dari Tobang, Sumatera mencari Ω kehidupan baharu di Tanah Melayu dan berkongsi sejarah membina dan mengembangkan sebuah kota baharu.

Kerana perbezaan perspektif antara kaum dan penyokong, polemik tentang peranan dan pengaruh mereka akan terus diperkatakan orang. Persamaannya ialah kedua-duanya mati sebagai orang ternama dan disemadikan tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur.