Pelbagai reaksi dan persepsi dalam kalangan masyarakat timbul apabila kisah perkahwinan pasangan itu tular di media sosial Facebook pada 29 Jun lalu, ada yang beranggapan kanak-kanak itu masih belum matang untuk berkahwin seterusnya ada pula menyifatkan pemuda yang mempunyai dua isteri itu hanya mahu membantu Ayu yang berasal dari keluarga miskin.

Bagi penulis, walaupun lelaki dikenali sebagai Che Abdul Karim, 41, itu berniat baik namun perkahwinan bukanlah jalan pintas untuk menghalalkan cara kerana dia sepatutnya menghormati kanak-kanak tersebut yang masih muda dan belum dewasa untuk membuat keputusan secara bijak.

Ketua Program Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata, dari segi perkembangan kognitif sosial, kanak-kanak berusia 11 tahun dianggap tidak matang dan belum memasuki peringkat awal remaja.

Kematangan

“Jika kita bertanya kepada seorang kanak-kanak berumur 11 tahun tentang apa itu perkahwinan, mungkin dia memahami konsep rumah tangga itu namun untuk budak sekecil itu memikul tanggungjawab besar bukanlah sesuatu yang mudah terutama dalam dunia sekarang yang sangat mencabar.

“Dari segi kematangan, kanak-kanak tersebut masih belum berupaya memahami perkara-perkara yang bersifat abstrak (tersirat) kerana kematangan itu hanya terbentuk daripada pengalaman dan ilmu,” katanya baru-baru ini.

Jelas Nor Ba’yah, pada usia semuda itu kanak-kanak sepatutnya bersekolah bagi menguasai kemahiran intelektual dan bermain seperti kanak-kanak lain, sebaliknya ibu bapanya mengambil jalan mudah dengan mengahwinkan anak perempuan mereka.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa berkenaan seratus peratus, kemungkinan desakan hidup menyebabkan mereka terpaksa mengambil jalan tersebut tanpa memikirkan anak itu yang masih belum matang mengharungi perkahwinan.

“Alangkah baiknya jika pemuda itu mengambil tanggungjawab menyekolahkan kanak-kanak tersebut dan hanya berkahwin dengan budak perempuan dikenali sebagai Ayu itu apabila usianya menginjak 16 tahun,” katanya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun. Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun. Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat Seksyen 10 dan Seksyen 21(2)).

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid pula berpendapat, dari segi hukum syarak perkahwinan itu sah kerana berwalikan bapa pengantin perempuan atau wali mujbir, namun ia tidak dibenarkan dari segi undang-undang di negara ini.

“Dari segi undang-undang, perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan jika mendapat keizinan mahkamah syariah dan dalam kes ini bukan sahaja suami boleh dikenakan tindakan sebaliknya ibu bapa kanak-kanak bawah umur itu tadi.

“Perkara ini masih berlaku walaupun ada pelaksanaan dari segi undang-undang dan masyarakat perlu bersifat adil dengan melihat keadaan kehidupan keluarga kanak-kanak perempuan ini yang miskin walaupun secara adab ia juga menyalahi konsep perkahwinan dalam Islam,” katanya.

Kesimpulannya, penulis melihat cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 ke 18 tahun perlu dilihat semula memandangkan perkahwinan bawah umur merupakan kes terpencil dan pasangan perlu merujuk kepada pejabat agama.

Perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan jika mendapat keizinan mahkamah syariah dan dalam kes ini bukan sahaja suami boleh dikenakan tindakan sebaliknya ibu bapa kanak-kanak bawah umur itu