Apa sahaja yang membuatkan sesebuah naskhah disekat tayangannya kepada umum?

Secara umumnya, mudah jika kita memahami konteks filem memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, keselamatan negara, keadilan sosial, perpaduan kaum dan perilaku masyarakat.

Di Malaysia, terdapat empat aspek penting harus diteliti dan diambil kira dalam pembuatan filem. Empat perkara itu telah termaktub dalam Garis Panduan Penapisan Filem yang dikeluarkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang wajib diguna pakai seiring dengan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

Ia adalah hal berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosiobudaya; dan ketertiban dan ketatasusilaan. Aspek-aspek ini perlu diberikan perhatian serius dan tidak dieksploitasi hingga boleh membawa akibat yang tidak diingini kepada masyarakat dan negara.

Hal itu bagaimanapun bukan bermakna LPF mahu membunuh kreativiti pengkarya atau tidak bertoleransi. Mereka hanya menjadi ‘penghalang’ kepada sesuatu yang mampu menimbulkan mudarat.

Pun begitu, menerusi naskhah kajian dan tulisan Dr. Saw Tiong Guan, Film Censorship In the Asia Pasific Region; Malaysia, Hong Kong and Australia Compared yang diterbitkan pada tahun 2013, ada penerbit atau pengarah yang bingung dengan tindakan LPF apabila tidak pernah menyatakan secara jelas mengapa naskhah mereka perlu dipotong babaknya.

“Mereka hanya memberitahu babak daripada minit berapa sehingga ke berapa perlu dipotong tanpa penjelasan jelas,” ujar Datin Paduka Shuhaimi Baba mengenai pengalaman naskhah miliknya, Ringgit Kasorrga yang ditayangkan pada tahun 1995 perlu dipotong beberapa babak.

Justeru apabila naskhah seram Dukun yang dihasilkan oleh sutradara berprofil tinggi, Dain Said tidak ditayangkan seperti yang dirancang, apa polemik yang dihadapi oleh filem tersebut sebenarnya?

Dukun, seperti yang diwar-warkan sejak pembikinannya dahulu kononnya secara longgar mengangkat kisah sebenar pembunuhan seorang ahli politik Malaysia, Datuk Mazlan Idris, oleh Mona Fandey.

Menurut daftar Wikipedia, wanita itu diterjemahkan sebagai seorang penyanyi, bomoh dan pembunuh yang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2 November 2001 di Penjara Kajang, Kajang, Selangor pada usia 45 tahun selepas didapati bersalah membunuh bekas ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang, Mazlan pada 1993.

Naskhah yang ditulis oleh Huzir Sulaiman itu sepatutnya ditayangkan pada 2007, tetapi pihak penerbit, Astro Shaw ‘menarik semula’ rancangan mereka.

Pihak keluarga mendakwa ia sebagai kisah benar Mona Fandey. Penerbit yang diwakili Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar dengan tegas membalas, Dukun yang peranan utamanya digalas Datin Umie Aida sebagai Diana Dahlan sama sekali tidak ada kaitan dengan kes berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu.

“Dukun tidak pernah berniat membelakangkan privasi mana-mana pihak,” katanya.

Lepas

Dan selepas 12 tahun bergulir, pihak LPF dengan tangan terbuka menghalalkan naskhah itu ditayangkan pada 5 April lalu. Ironi pada tahun 2007, LPF sendiri sudah memberi kelulusan tayangan, namun Astro Shaw yang mengambil pendekatan untuk membekukan Dukun.

Apabila mereka berasa kini ia ‘selamat’ untuk ditayangkan, LPF hanya menyunting lima audio yang disifatkan kurang sesuai pada pendengaran masyarakat dengan klasifikasi tayangan P13.

Beragam analogi yang dikeluarkan tentang naskhah itu. Walaupun terdapat tentangan selain mengguna pakai sentimen sensitiviti keluarga atau isu berbaur politik malah ada yang mendakwa Dukun akan menyebabkan penularan kepercayaan menjadi seorang bomoh serta keinginan berjumpa dukun, hakikatnya ia langsung tidak dapat membunuh keghairahan khalayak untuk menonton sendiri misteri di sebalik naskhah tersebut.

Kita lupa agaknya selama ini sudah berapa banyak naskhah sama ada milik Barat atau tempatan yang merosakkan minda atau memberi pengaruh negatif walaupun bersembunyi di sebalik ‘dakwah’ kebaikan yang mahu ditonjolkan telah dipertontonkan kepada generasi dahulu dan kini?

Jadi mengapa perlu goyah iman hanya kerana sebuah naskhah yang kita sendiri belum menontonnya?

Hanya sekadar rekod, di seluruh dunia penghasil karya juga berhadapan polemik yang sama. Jerman misalnya telah mengharamkan sekitar 40 buah naskhah sejak tahun 1920 sehingga 2012 kerana pengkarya menyentuh isu rejim Nazi secara eksplisit serta pernah membikin sebuah filem dengan menggunakan perogol sebenar dalam naskhah yang dihasilkan.

Apa lagi dengan negara kita yang mempunyai masyarakat majmuk serta banyak sensitiviti perlu dijaga. Justeru, pembikinannya hendaklah bersesuaian dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni sejagat. Jika itu yang dipegang oleh pengkarya dan khalayak tidak meletakkan negatif sebagai persepsi pertama, maka selamatlah industri perfileman kita.