Klang di negeri Selangor ialah sebuah bandar bersejarah. Sejarahnya dikatakan muncul lebih awal daripada Melaka.

Sebuah bandar pelabuhan yang terletak di muara sungai, Klang mempunyai banyak jalan air iaitu pecahan anak-anak sungai Klang seperti Sungai Bertek, Sungai Pinang, Sungai Sementa, Sungai Agas, Sungai Binjai, Sungai Kapar, Sungai Jati, Sungai Aur, Sungai Rasau, Sungai Putus dan Sungai Kandis.

Ia adalah nama-nama lama sungai di Klang yang telah wujud sejak ratusan tahun lalu.

Dalam konteks politik kontemporari Malaysia, nama Sungai Kandis kini amat popular di kawasan itu yang berada di sempadan daerah Klang dan Shah Alam, tetapi membawa simbol politik nasional.

Daripada nama Sungai Kandis itulah sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang terletak dalam Parlimen Kota Raja mendapat namanya.

Perkataan kandis pernah digunakan merujuk kepada nama sebuah kerajaan tertua di Sumatera Tengah yang didirikan pada abad pertama, iaitu kira-kira 2,000 tahun lalu.

Kandis juga ialah nama Melayu untuk buah asam kandis yang banyak digunakan dalam masakan rendang tradisi Melayu.

Bagaimanapun, apabila disebut Sungai Kandis dalam politik Malaysia, ia satu nama yang bakal menentukan arah tuju politik moden negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei yang mewakili parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia pada 2 Julai lalu. Allahyarham yang berusia 50 tahun menghidap kanser limfoma.

Ekoran kematian Mat Shuhaimi, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan pada 4 Ogos ini, iaitu pilihan raya kecil yang pertama di Malaysia selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan setelah menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pertaruhan politik dalam PRK Sungai Kandis amat besar.

PKR menang dengan majoriti besar pada PRU-14. Allahyarham Mat Shuhaimi berjaya memperoleh 23,998 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi) dan calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRS), Hanafiah Husin (76 undi).

Undi majoriti PKR di Sungai Kandis ialah sebanyak 12,480.

Dengan undi majoriti yang begitu besar di kawasan yang mempunyai pengundi 50,800 orang, dan selepas kematian wakil rakyat ketika Pakatan Harapan belum pun 100 hari menguasai kerajaan, di atas kertas usaha Barisan Nasional atau Pas untuk menawan Sungai Kandis amatlah sukar.

Tiga penjuru

BN menghadapi masalah dengan jenama politiknya yang telah terjejas teruk ekoran kekalahan dalam PRU-14 hingga ada cadangan untuk UMNO bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket UMNO bukan menggunakan nama BN yang sudah tidak popular.

Idea itu juga mempunyai risikonya yang tersendiri kerana jika UMNO gagal menumpaskan PKR, ia secara langsung akan memperlihatkan bentuk tahap sokongan rakyat terhadap UMNO.

Sungai Kandis juga menunjukkan bahawa dalam percaturan politik semasa, pertandingan tiga penjuru antara parti-parti utama Malaysia dalam pilihan raya akan memberikan kelebihan kepada PKR dan Pakatan Harapan.

Untuk BN dan Pas memberi respons kepada Pakatan Harapan, hanya persaingan dua penjuru yang membolehkan cabaran dapat diberikan kepada PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Atas pertimbangan itulah, UMNO dan Pas kini dalam mood untuk berunding bagi menawarkan seorang sahaja calon parti pembangkang dalam menentang PKR di kawasan yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu.

Dalam PRU-14, jika dicampur undi yang diperoleh oleh Pas dan UMNO di Sungai Kandis, jumlahnya hanya 19,091. Angka itu masih di bawah undi keseluruhan 23,998 yang dimenangi oleh PKR.

Pilihan amat sukar kepada UMNO di Sungai Kandis. Ia umpama diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Jika tidak bertanding, UMNO akan menerima ejekan politik. Kalau bertanding pula, risikonya tinggi untuk UMNO menerima kekalahan pertama pilihan raya kecil selepas PRU-14.

Prospek untuk UMNO menang memang tidak boleh dinafikan tetap berkemungkinan.

Dengan banyak janji manifesto Pakatan Harapan masih belum ditunaikan, UMNO mempunyai isu-isu yang boleh diketengahkan dan perlu dijawab oleh PKR dan Pakatan Harapan.

Tambahan pula tidak semua orang Melayu berasa gembira dengan langkah kerajaan Pakatan Harapan dalam pelantikan untuk mengisi jawatan-jawatan penting kerajaan, cara ekonomi diuruskan dan pertelingahan dalaman dalam Pakatan Harapan.

Tidak kira apa pun keputusan pada 4 Ogos depan, pilihan raya Sungai Kandis, pasti bakal mencipta sejarah.