Pembangunan PIC sebagai antara komponen projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sejak lima tahun lalu mengubah wajah landskap Pengerang sebagai sebuah hab industri hiliran minyak dan gas.

Pengerang, kawasan perkampungan berasaskan aktiviti perikanan dan pertanian yang lesu, kini mulai pesat menjana perkembangan ekonomi setempat dan negeri.

Penduduk setempat khususnya golongan muda berlumba-lumba merebut peluang perniagaan dan pekerjaan yang terbentang luas sejak projek berkenaan dijalankan pada tahun 2013.

Pembukaan pasar malam berhampiran tapak PIC anjuran Petronas dengan kerjasama Koperasi Jaya Teluk Ramunia (Kojaya) sejak 12 Mac tahun lalu adalah antara usaha yang dilihat meninggalkan impak kepada pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.

Dibina di tapak sementara, pasar malam yang diadakan pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad itu menempatkan sebanyak 52 buah gerai untuk kemudahan kira-kira 60,000 tenaga kerja dari 65 buah negara yang tinggal di dalam kawasan berkenaan.

Pengerusi Kojaya, Syed Bahrim Syed Ibrahim berkata, peniaga dapat menjana keuntungan kasar secara purata antara RM500 hingga RM2,500 sebulan. Kini, selepas lebih setahun beroperasi, pihak Kojaya berhasrat untuk menambah 10 lagi vendor menjelang April depan.

Syed Bahrim memberitahu, penambahan itu berikutan terdapat permintaan tinggi daripada kedua-dua belah pihak iaitu peniaga dan pekerja.

“Sambutan yang diterima begitu menggalakkan, namun kami hanya boleh memilih 10 peniaga yang menepati kriteria untuk menjadi salah satu vendor di pasar malam.

“Antara kriteria peniaga yang menjadi keutamaan termasuklah penduduk setempat dan mereka perlu menawarkan produk yang berlainan daripada sedia ada,” katanya baru-baru ini.

Syed Bahrim berkata, dari segi hala tuju peniaga selepas projek PIC siap pada 2019, pihaknya akan berusaha membawa mereka ke lokasi strategik bagi memastikan kelangsungan para peniaga terjamin.

Menurutnya lagi, pihak Kojaya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan Pengerang untuk mendapatkan tapak perniagaan baharu yang sesuai dan strategik.

Dalam pada itu, pembangunan sosioekonomi masyarakat tempatan khususnya dalam kalangan belia turut diperkasakan menerusi kewujudan Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopetri).

Kopetri bertindak sebagai rakan kongsi bagi mengendalikan sebuah gudang operasi dan penyimpanan bahan pelincir yang dibekalkan oleh Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMM).

Pengerusi Kopetri, Aznan Tamin berkata, lokasi gudang yang hanya lima kilometer dari projek PIC mengukuhkan jualan bahan pelincir meliputi minyak gear, enjin, hidraulik dan gris di daerah berkenaan.

Katanya, gudang itu berkapasiti membekalkan sehingga 400 tong bahan pelincir setiap bulan bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000 untuk kegunaan kenderaan komersial dan mesin industri berat di PIC.

“Kopetri telah merekodkan jualan hampir RM300,000 setakat Februari lalu dan dijangka mencecah RM1.5 juta pada tahun ini,” katanya.

Aznan berkata, PLMM menyediakan latihan dan bimbingan sebanyak enam kali setahun kepada ahli koperasi untuk memastikan perniagaan berjalan lancar.

“Sewaktu Kopetri mula-mula diwujudkan pada tahun 2012, kami hanya ada 50 orang ahli dan kini jumlahnya hampir 150 orang.

“Ahli-ahli Kopetri yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia kampung kini lebih yakin, berkemahiran dan terdedah kepada ilmu perniagaan serta pemasaran,” katanya.

Tidak terhenti di situ, entiti perniagaan kecil tempatan juga dibantu melalui program pembangunan keusahawanan agar komuniti setempat turut merasai manfaatnya.

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Persatuan Peniaga dan Usahawan Kejora (PuPUK), Shahidin Mohd. Noor yang memberitahu, Petronas membantu golongan usahawan industri kecil dan sederhana mengenal pasti peluang perniagaan lain yang sesuai dengan inisiatif suai padan perniagaan.

Menurut Shahidin, golongan usahawan dalam perkhidmatan jahitan, misalnya, dikumpulkan melalui inisiatif myCraft di bawah PuPUK yang ditubuhkan pada 2014.

“Mereka kemudiannya diberi peluang untuk menjadi pembekal produk jahitan seperti langsir, cadar dan sarung bantal untuk penempatan pekerja dan kakitangan di projek PIC.

“Pada tahun 2016, myCraft turut dilantik menjadi pembekal telekung bagi stesen Petronas di sekitar Kota Tinggi, Johor,” katanya.

Pengerusi myCraft, Norida Dahlan berkata, usaha itu dapat membantu sebahagian besar ahli yang terdiri daripada golongan ibu tunggal untuk menambah pendapatan antara RM700 hingga RM900 sebulan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup.

“Selain membantu dari segi pembangunan ekonomi, usaha itu juga secara tidak langsung membantu memberi keyakinan kepada usahawan untuk berdepan masyarakat luar dan menjadi lebih berdaya saing dalam industri,” katanya.