Setiap kitaran empat tahun, kejohanan paling berprestij dan ditunggu-tunggu, Piala Dunia dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), badan yang ditubuhkan pada tahun 1904 dengan misi utama untuk membangunkan serta menambah baik mutu permainan bola sepak.

Menurut laman web Investopedia, negara tuan rumah Piala Dunia dipilih melalui proses bidaan yang sengit. Di sebalik prestij yang dikaitkan dengan Piala Dunia, ramai penganalisis beranggapan bahawa penganjurannya tidak menguntungkan negara tuan rumah dari segi kos dan pulangan balik.

Kos tinggi

Penganjuran temasya sukan mega seperti Piala Dunia memerlukan pelaburan tinggi terutamanya untuk membina kemudahan seperti bangunan, stadium, pengangkutan awam, lapangan terbang dan infrastruktur lain yang semestinya bertaraf dunia. FIFA tidak terlibat dalam sebarang pelaburan pembinaan infrastruktur Piala Dunia dengan segala kos perlu ditanggung oleh negara tuan rumah.

Hos Piala Dunia 2014, Brazil membelanjakan wang pembayar cukai sehingga AS$15 bilion (RM60 bilion) untuk membina infrastruktur termasuk stadium bola sepak termahal dunia, Stadium Mane Garrincha berharga sekitar AS$550 juta (RM2.2 bilion).

Agensi audit kerajaan negara itu menyatakan, wang rakyat yang dibelanjakan untuk Piala Dunia adalah mencukupi untuk membiayai elaun kebajikan rakyat Brazil sebanyak dua kali setahun.

Kerajaan negara Amerika Selatan itu bagaimanapun berdepan kesukaran untuk terus memajukan segala infrastruktur tersebut selepas temasya Piala Dunia berakhir ekoran ketandusan pelan ekonomi yang mapan. Projek mega yang dahulunya gah di mata dunia bertukar menjadi gajah putih, manakala stadium termahal kini dijadikan kawasan letak kereta.

Ahli ekonomi, Andrew Zimbalist pernah menyenaraikan banyak contoh infrastruktur yang menjadi gajah putih di bandar-bandar negara tuan rumah selepas temasya sukan itu berakhir.

Perkara ini berlaku antaranya kerana infrastruktur sukan, selain mahal untuk dibina, adalah sukar untuk memastikan penggunaannya secara kerap dan tetap bagi menampung kos penyelenggaraan.

Stadium juga bukan tergolong sebagai hartanah yang mempunyai nilai keuntungan pelaburan sebenar.

Bagaimanapun, pengecualian harus diberikan sekiranya negara tuan rumah itu sudah mempunyai arena sukan bertaraf antarabangsa dan tidak memerlukan kos yang banyak untuk kerja menaik taraf, namun negara yang tergolong dalam kelompok tersebut cuma segelintir.

Menurut laman pendidikan Pitjournal, ramai ahli ekonomi beranggapan penganjuran Piala Dunia tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka pendek meliputi sektor pelancongan, peruncitan, perhotelan dan pekerjaan, malah sebilangan mereka juga bersetuju bahawa temasya tersebut gagal meningkatkan ekonomi jangka panjang negara tuan rumah seperti yang dirumuskan dalam kajian Prof. Florian Hagn dan Maening (2007).

Dari aspek pelancongan, kata mereka, tanggapan bahawa peminat sukan akan membanjiri negara tuan rumah dan menyumbang kepada ekonomi dengan berbelanja seperti penginapan hotel dan cenderamata dan perbelanjaan lain tidak semestinya benar, malah kalaupun terdapat peningkatan perbelanjaan, ia adalah minimum.

Menurut sebilangan ahli ekonomi, ahli perniagaan dan pelancong lain yang tidak meminati sukan bola sepak akan berasa ‘rimas’ dan akan membatalkan atau menangguhkan perjalanan mereka ke negara tuan rumah bagi mengelak daripada terpaksa membayar harga mahal untuk penginapan seperti hotel. Dalam erti kata lain, Piala Dunia hanya mengubah ‘jenis pelancong’ yang datang dan bukannya meningkatkan jumlah mereka.

Mengambil contoh, perkara itu berlaku dalam satu lagi acara sukan bertaraf dunia, temasya Olimpik. Kedua-dua negara tuan rumah, China dan Britain menyaksikan bilangan pelancong tahun ke tahun yang melawat negara berkenaan merosot, masing-masing pada 2008 dan 2012, tahun Beijing dan London menganjurkan Sukan Olimpik.

Tarikan

Alasan utama negara-negara dunia berlumba-lumba untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia adalah kerana populariti sukan itu sendiri dan bukannya bertujuan sebagai pelaburan bagi mengaut keuntungan ekonomi.

Tidak dinafikan bahawa sukan menjadi gelanggang yang dapat menyatupadukan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama, ideologi dan taraf hidup. Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang pada tahun ini menjadi katalis kepada runtuhnya sikap permusuhan antara dua negara jiran yang bermusuh iaitu Korea Selatan dan Korea Utara.

Sukan juga bukanlah sinonim dengan statistik keuntungan semata-mata. Acara besar seperti Piala Dunia dapat menyemai nilai murni seperti Esprit de Corps atau semangat berpasukan di samping menggalakkan kanak-kanak dan orang dewasa supaya menjalani kehidupan sihat dengan aktif bersukan.

Negara yang pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pula mempunyai perasaan ‘bagus’ dalam kalangan rakyatnya dan persepsi serupa oleh komuniti antarabangsa termasuk manfaat sampingan peningkatan bilangan kelahiran beberapa bulan selepas temasya itu berakhir.

Keuntungan

Pihak yang mengaut keuntungan daripada penganjuran Piala Dunia sebenarnya adalah FIFA dan badan-badan yang bernaung di bawah persekutuan bola sepak tersebut. Majalah The Economist melaporkan bahawa FIFA meraih pendapatan berjumlah AS$5 bilion (RM20 bilion) daripada Piala Dunia 2014.

Persekutuan bola sepak itu mendapat pulangan AS$527 juta (RM2.1 bilion) daripada hasil jualan tiket Piala Dunia 2014. Ia belum termasuk pendapatan daripada penajaan, lesen dan penjualan hak penyiaran televisyen yang mencecah berbilion-bilion dolar.

Untuk kitaran dari tahun 2015 hingga 2018 menjelang Piala Dunia di Rusia, FIFA mendapat pendapatan kira-kira AS$3 bilion (RM12 bilion) hasil penjualan hak penyiaran televisyen.

Pada tahun 2017, menurut Investopedia, FIFA meraih pendapatan sebanyak AS$734 juta (RM2.9 bilion) dan keseluruhan AS$5.6 bilion (RM22.4 bilion) untuk kitaran 2015-2018. Pendapatan kitaran itu adalah unjuran dari tahun Piala Dunia dan penganjuran seterusnya.

Kos FIFA dalam penganjuran Piala Dunia pula adalah minimum. Badan itu membayar kepada jawatankuasa negara tuan rumah untuk menganjurkan dan kejohanan tersebut. Ia juga membayar untuk perjalanan dan penginapan pemain, staf sokongan dan pegawai perlawanan seperti pengadil dan penjaga garisan.

FIFA juga akan menyediakan sejumlah dana kepada tuan rumah bagi tujuan pembangunan sukan bola sepak masa hadapan di negara penganjur.