Kadar pertukaran mata wang asing mempunyai impak yang signifikan terhadap harga barang yang diimport, malah ia boleh dikatakan berlaku pada kadar segera terutamanya bagi barangan yang tidak dikawal kerajaan.

Secara amnya, mata wang domestik yang lebih lemah bermakna pengguna akan membayar lebih tinggi kepada barangan asing tersebut sementara kadar mata wang tempatan yang lebih kukuh akan berupaya mengurangkan harga barang import berkenaan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa kesan pergerakan mata wang asing terhadap harga barang bersifat sehala.

“Penurunan nilai ringgit akan menaikkan kos barangan yang diimport seperti daging, produk tenusu, alat gantian dalam industri automotif dan sebagainya.

“Ia juga memberi kesan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran kerana sudah semestinya kos-kos yang terlibat seperti yuran pengajian dan pemberian wang saku akan lebih lebih tinggi,” katanya.

Beliau memberitahu, para peniaga hari ini lebih cenderung untuk mengekalkan harga sedia ada walaupun terdapat peningkatan nilai ringgit.

“Namun, pengukuhan nilai ringgit seharusnya menurunkan kos barangan yang diimport tetapi perkara ini sedikit sebanyak juga memberi fleksibiliti kepada para peniaga untuk memberikan diskaun atau meningkatkan kegiatan promosi barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, harga barang yang diimport kebiasaannya bergantung kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

“Oleh itu, perkara-perkara yang berkaitan mengenai ekonomi negara berkenaan seperti perubahan kadar faedah dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan memberi kesan secara langsung kepada nilai mata wang AS, sekali gus memberi kesan kepada mata wang asing lain seperti Malaysia,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, faktor-faktor seperti amalan perniagaan yang tidak sihat seperti pengambilan untung yang berlebihan, perbuatan menyorok barang dan manipulasi harga juga memberi kesan pada kenaikan harga barang.

“Oleh itu, campur tangan kerajaan serta amalan perniagaan dan ditambah dengan kuasa membeli serta minat dalam kalangan pengguna memberi kesan kepada harga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Trendcell Sdn. Bhd. yang mengendalikan rangkaian pasar raya terkemuka Jaya Grocer, Daniel Teng berkata, kesan perubahan mata wang asing terutamanya apabila dolar AS lebih tinggi daripada ringgit tidak memberi kesan yang signifikan kepada perniagaan syarikat itu.

“Ini kerana kami juga menawarkan rangkaian meluas produk tempatan untuk memenuhi segenap keperluan pelanggan.

“Sebagai perniagaan runcit yang dikendalikan keluarga, kami percaya penyediaan harga yang kompetitif merupakan salah satu faktor yang menarik pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap barangan import sentiasa meningkat khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran memandangkan iklim Malaysia tidak sesuai untuk penanaman sebilangan makanan segar berkenaan.

“Pengguna hari ini juga lebih peka dan mementingkan gaya hidup sihat, sama ada melalui aktiviti senaman dan pengambilan makanan yang lebih sihat.

“Kami amat berbangga untuk mempromosikan pilihan hidup yang lebih sihat dan ini dapat dilihat menerusi kerjasama degan AIA Vitality yang membolehkan ahli terlibat menikmati potongan harga 10 peratus,” ujarnya.