PADA 9 Mei depan bakal berlangsung pesta demokrasi di Malaysia iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Setiap pengundi tentunya memiliki parti politik pilihan berdasarkan ideologi, perspektif dan pandangan yang berbeza-beza satu sama lain, sehingga telah mewujudkan budaya politik yang pelbagai.

Budaya politik dapat ditakrifkan sebagai suatu perspektif atau orientasi khusus pada setiap individu berasal dari akar budaya politik yang terbina oleh peristiwa-peristiwa sejarah yang diamalkan dalam kehidupan masyarakat dan diwariskan turun temurun dalam bentuk nilai dan pemahaman.

Pengertian ini juga merujuk kepada satu sikap atau perilaku masyarakat yang umumnya dipengaruhi oleh sistem politik sesebuah negara. Ia secara formalistik diatur dalam sebuah peraturan atau undang-undang tertentu untuk mencapai tujuan kehidupan bermasyarakat, hamoni dan bersatu.

Fungsi budaya politik dalam sesebuah negara ialah menekankan aspek normatif, kaedah politik dan pembinaan nilai serta merealisasikan cita-cita rakyatnya, selain membina keharmonian antara kaum atau etnik yang terdapat di dalamnya dalam aspek peraturan hidup, perilaku, dan juga etika masyarakat.

Ahli falsafah politik Jerman, Hannah Arendt dalam bukunya, The Promise of Politics (2007) mengatakan, politik merupakan seni untuk mengabadikan diri manusia sama ada oleh kelompok yang memerintah atau diperintah. 

“Budaya politik yang baik adalah budaya politik yang mampu menyumbangkan nilai-nilai perubahan, menumbuhkan moral, kesedaran, dan sikap akan tanggung jawab yang besar. Sesungguhnya di dalam kekuasaan yang besar, tentu di dalamnya ada  tanggung jawab yang besar,” tulis Arendt.

Bagaimanapun, budaya politik dalam sesebuah negara tidak akan dapat dicapai dengan mudah tanpa adanya etika politik. Ahli falsafah Yunani, Aristotle (384-322 SM) mengatakan warga negara yang baik hanya ada dalam sebuah negara yang baik. Ia bererti sistem pemerintahan memerlukan budaya politik yang adil dan mencapai keadilan.   

Ahli politik Parti Buruh di Britain, Geoff Mulgan mengungkapkan pandangan yang sangat menarik dalam bukunya, Politic in Antipolitical Age (1994). Melalui tulisannya ini, beliau membina satu tesis bahawa budaya politik moden akan mengalami perubahan berbanding dengan era-era sebelumnya.

Implikasi

Perubahan ini disebabkan oleh hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap demokrasi kerana adanya isu-isu tertentu yang tidak disukai oleh rakyat hingga memunculkan keadaan yang disebut oleh Mulgan sebagai era antipolitik.  Namun, Mulgan berpendapat fenomena ini dapat diatasi melalui penciptaan budaya politik yang positif.

Menurut Mulgan, penolakan terhadap demokrasi akan menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap negara dan kesatuan bangsa, selain implikasi-implikasi besar terhadap kesepakatan kolektif antara rakyat dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.

Analisis tentang budaya politik dan tanggapan negatif terhadap demokrasi tersebut dapat dihubungkan dengan sebuah novel yang menarik oleh pengarang Amerika Syarikat, Neal Stephenson yang menggambarkan masa depan negara tersebut dalam novelnya, Snow Crash (1992).

Stephenson membayangkan Amerika Syarikat pada suatu hari nanti terpecah-pecah dan mempunyai pemerintahan sendiri. Masyarakatnya di negeri yang berpisah daripada negara itu pula terlalu individualistik. Setiap orang mesti mempunyai pasport dan visa jika ingin mengunjungi rumah jiran atau sahabat.

Dunia fiksyen yang dicipta oleh Stephenson membayangkan kerajaan tidak lagi mempunyai kekuasaan. Tidak ada lagi hak pemerintah untuk mengukuhkan integrasi. Orang kulit putih, kulit hitam, keturunan Asia hidup dalam komuniti yang dinamakan Afrika Selatan Baharu. Mereka menikmati kehidupan tanpa lagi mengenali antara satu sama lain.

Anehnya, mereka tidak lagi mempunyai perasaan bermusuhan kerana setiap komuniti, persatuan atau rumah adalah ‘kerajaan’ mutlak yang tidak boleh dimasuki begitu sahaja. Setiap pengunjung memerlukan pasport dan visa serta mempunyai undang-undang yang autonomi.

Memang Amerika Syarikat tidak sampai ke tahap itu tetapi bergerak ke arah tersebut kerana kegagalan memahami budaya politik oleh segelintir masyarakat. Nilai-nilai murni masyarakatnya kian menyusut, disebabkan oleh kepentingan individu dan kelompok yang menjadi keutamaan.

Jauh sebelum itu, Alexis de Tocqueville dalam bukunya Democracy in America (1835) telah  memperkatakan kewujudan kelompok-kelompok yang dianggap sebagai fenomena baharu masyarakat moden Amerika. Ia muncul ekoran pesatnya perkembangan politik dan industri yang menggalakkan pembangunan modal sosial.

Jenayah

Menurut Tocqueville, kesan daripada budaya politik negatif itu telah menjadi penyebab kepada meningkatnya kadar jenayah dan timbul rasa tidak percaya antara satu sama lain dalam kalangan anggota masyarakat, selain menurunnya kepercayaan mereka terhadap kerajaan.
Berdasarkan teori integrasi oleh Myron Weiner (1931-1999) pula, kekuatan sesebuah bangsa akan lemah jika tidak wujud budaya politik yang positif. Antaranya, jika para elit birokrasi gagal memahami kontrak sosial yang disepakati hingga wujud kecenderungan melakukan budaya politik yang negatif.
Mewujudkan sebuah budaya politik yang positif sebenarnya bukan sesuatu  yang mudah. Sesebuah masyarakat perlu mempelajari bagaimana kaedah untuk menjadi penentu sesebuah kerajaan melalui suara mereka dalam sesebuah pilihan raya. Ia bererti keputusan perlu dibuat melalui moral, nilai dan etika yang baik.
“Pendidikan politik berkesan merupakan sebahagian daripada proses politik dan juga sebahagian daripada apa yang boleh disumbangkan kepada rakyat oleh pemerintah mereka,” tulis David Abernethy dan Trevor Coombe dalam Education and Politics in Developing Countries (1965).