Menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia, dianggarkan seramai 990,102 orang pekerja terlibat dalam sektor pembuatan iaitu aspek keselamatan dan kesihatan menjadi agenda penting.

Ini termasuklah aspek ergonomik iaitu mereka bentuk sesuatu pekerjaan yang bersesuaian dengan pekerja, berbanding ‘memaksa’ pekerja untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan tersebut.

Pengerusi Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara atau NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, istilah ergonomik merujuk kepada sains dan teknologi yang mesra pengguna iaitu melibatkan sistem, reka bentuk serta tempat kerja mestilah memenuhi keperluan fizikal dan psikologikal pekerja tersebut.

Dengan erti kata lain, ergonomik ini menekankan tiga aspek utama dalam persekitaran kerja iaitu selesa, sihat dan produktif.

Oleh itu, mempunyai konsep kerja yang ergonomik akan menjadikan kerja lebih selamat daripada terlibat dengan kemalangan dan kemungkinan penyakit, pekerja lebih selesa serta berpuas hati untuk bekerja bagi menghindari masalah fizikal dan tekanan mental, sekali gus menghasilkan prestasi yang lebih baik dan berkualiti.

Namun, isu ergonomik di tempat kerja ini kurang diberi perhatian sewajarnya sehingga mendatangkan permasalahan kepada pekerja, seterusnya memberi kesan kepada pihak pengurusan dan organisasi.

Terdapat banyak kajian yang melaporkan kesan pengabaian aspek ergonomik di tempat kerja yang kebanyakannya lebih menjurus kepada aspek negatif.

Antara permasalahan pekerjaan pada masa kini ialah menyumbang kepada peningkatan kadar pekerja yang terlibat dengan masalah musculoskeletal disorders (MSD) yang akhirnya akan menimbulkan masalah kesihatan tubuh badan sehingga menjadi punca kepada ketidakhadiran ke tempat kerja.

Sebagai contoh, laporan Suruhanjaya Eropah menyatakan, masalah MSD yang berpunca daripada permasalahan kerja yang tidak ergonomik merupakan penyumbang tertinggi kepada ketidakhadiran pekerja (49.9 peratus daripada keseluruhan tiga hari bekerja) dan 60 peratus kepada ketidakupayaan melakukan kerja.

Kajian terkini di Malaysia pula melaporkan, kecederaan otot dan tulang yang berpunca di tempat kerja dianggarkan telah menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah RM3.5 bilion kepada negara.

Kesihatan mental

Selain itu, masalah tekanan para pekerja turut meningkat. Masalah ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kerja yang tidak ergonomik.

Keadaan tekanan yang melampau memberi kesan kepada tubuh badan pekerja seperti masalah kardiovaskular, masalah perut atau gastrointestinal diseases yang pasti memberi impak kepada produktiviti kerja pekerja.

Persekitaran kerja yang tidak selamat dan sihat juga menjadi punca kepada peningkatan masalah kesihatan mental. Ia boleh berlaku apabila bebanan kerja yang diberikan tidak mengikut keupayaan para pekerja.

Ia diburukkan lagi dengan kurangnya kebebasan membuat keputusan berkaitan kerja, sedikit peluang untuk memberikan pendapat terhadap pekerjaan dan tidak mendapat sokongan pihak penyelia mahupun pengurusan organisasi yang sewajarnya.

Isu kemalangan di tempat kerja juga adalah antara masalah yang sering kali dihadapi oleh pihak pengurusan dalam sesebuah organisasi.

Sebagai contoh, jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2014 ialah sebanyak 63,331 dan bilangan itu menurun sebanyak 226 kes atau 0.36 peratus berbanding 63,557 kes pada 2013.

Walaupun berlaku penurunan kes, ia tetap membimbangkan bukan sahaja pihak organisasi, malah pihak pentadbiran negara kerana jumlah kemalangan tersebut membawa kepada perbelanjaan sekitar RM1.2 juta bayaran pampasan yang perlu diberikan kepada para pekerja terlibat.

Sekali lagi, aspek ergonomik dilaporkan sebagai antara penyebab kemalangan yang berlaku.

Melihat kepada konteks Malaysia, pelaksanaan aspek ergonomik di tempat kerja masih berada pada tahap sederhana.

Penyelidikan berkenaan kesedaran para pekerja dengan aspek ergonomik menunjukkan rakyat Malaysia masih tidak menyedari kebaikan pelaksanaan ergonomik dalam kerja seharian.

Merujuk kepada industri seperti sektor pembuatan, dianggarkan hanya sekitar 40 peratus tahap kesedaran dan perlaksanaan yang dilaporkan dalam kalangan pekerja serta organisasi berhubung aspek ergonomik.

Walaupun sektor pembuatan antara yang terdedah kepada aspek ergonomik, situasi ini menunjukkan kebimbangan kepada para penyelidik dan pengamal aspek ergonomik.

Keadaan ini juga menunjukkan masih banyak lagi langkah serta usaha yang perlu dilakukan untuk mempromosikan dan mengimplimentasikan aspek ergonomik di tempat kerja dengan tujuan penambahbaikkan kepada prestasi kerja dan membantu meningkatkan produktiviti organisasi.

Antara pakar dalam bidang ergonomik, Prof. Dr. Kazutaka Kogi yang juga merupakan mantan Presiden International Commission on Occupational Health (ICOH) ada menyatakan, banyak kelebihan pelaksanaan aspek ergonomik di tempat kerja.

Kelebihan utama dilihat dari sudut kepuasan pekerja tu sendiri dalam melakukan kerja mereka. Pekerja berasa lebih efisen, mudah dan fleksibel terhadap persekitaran kerja yang ergonomik.

Selain itu, kajian terkini beliau menunjukkan bahawa perlaksanaan aspek keterlibatan ergonomik di tempat kerja mampu meningkatkan kesihatan pekerja. Mereka terhindar daripada sebarang perasaan tertekan sewaktu bekerja selain akan berasa gembira dan semangat untuk bertugas setiap hari.

Penemuan terkini itu turut menjangkakan akan ada lebih banyak organisasi di dunia berusaha untuk mengimplimentasikan aspek ergonomik dan mempromosikan pendekatan keterlibatan ergonomik dalam organisasi yang terbukti mampu meningkatkan prestasi para pekerja dan mengurangkan kos operasi organisasi.

Oleh itu, sokongan dan kesungguhan organisasi untuk melaksanakan pendekatan keterlibatan ergonomik perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia mampu meningkatkan produktiviti serta menjamin kesejahteraan para pekerja.

Dr. Mohd. Nasir Selamat ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Manusia dan Masyarakat, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia