Apa pun perbezaan pandangan, pendirian, ideologi dan persepsi kaum dalam kempen-kempen PRU-14, satu hal yang terserlah ialah persaingan politik di Malaysia berlangsung dalam suasana yang aman damai.

Perkelahian politik di Malaysia cuma muncul dalam akhbar, televisyen, laman-laman Facebook, WhatsApp dan Twitter, serta ucapan-ucapan bersemangat di tapak-tapak tempat kempen berlangsung.

Di sebalik semua itu, rakyat, khususnya 14.9 juta pengundi yang akan terlibat dalam PRU-14 yang akan diadakan pada 9 Mei depan, hidup dalam keharmonian.

Malaysia sejak merdeka mempunyai sistem pelbagai parti. Pada tahun 2018, parti memerintah Barisan Nasional menampilkan gabungan komponen 13 parti yang progresif dari segi ideologi ditunjangi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Lawan utamanya pula ialah gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang longgar terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara dan Amanah, sebuah parti serpihan yang berorientasikan Islam liberal.

Setelah berdepan isu pendaftaran PPBM dengan Pendaftar Pertubuhan yang menyulitkan usaha menggunakan nama Pakatan Harapan, keempat-empat parti pembangkang di bawah Pakatan Harapan bersetuju menggunakan satu simbol dalam PRU-14 iaitu simbol PKR.

Sebuah lagi parti pembangkang yang berpengaruh ialah Pas yang berkempen atas prinsip-prinsip politik Islam. Pas menubuhkan satu kerjasama politik dipanggil Gabungan Sejahtera yang turut dianggotai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dengan kemunculan sistem tiga parti ini, pengundi di Malaysia, terutama di kawasan Parlimen di Semenanjung, berdepan dengan satu corak politik baharu.

Sejak pilihan raya umum tahun 1990, parti-parti pembangkang cuba mewujudkan persaingan dua parti di Malaysia, iaitu pertandingan satu lawan satu antara BN dan parti-parti pembangkang.

Pas, misalnya, berada dalam percaturan ini bersama pakatan pembangkang sejak tahun 1990 dan diteruskan pada PRU tahun 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013. Perlawanan satu lawan satu berupaya menafikan majoriti dua pertiga BN pada tahun 2008 dan 2013, tetapi ia tidak mampu membawa pembangkang menawan Putrajaya.

Apabila berlaku pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas beberapa tahun lalu, parti Amanah terbentuk. Pas keluar daripada persefahaman dengan PKR dan DAP, dan akan bersaing dalam PRU-14 dengan kekuatan mereka sendiri.

Pilihan raya pada 9 Mei nanti bakal menyaksikan buat pertama kalinya kuasa di Malaysia akan ditentukan oleh pilihan raya sistem tiga parti antara BN, PKR dan Pas.

Kehadiran parti-parti kecil lain dan calon bebas tidak signifikan.

Menurut analisis beberapa pihak, ada kawasan yang BN mempunyai kelebihan daripada persaingan tiga parti ini. Ada juga kawasan yang BN mungkin terjejas.

Begitu juga dengan PKR yang dikuatkan dengan gabungan empat parti pembangkang. Ada banyak kawasan pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PKR memberi kelebihan kepada BN ekoran kehadiran Pas.

Pas pula begitu yakin untuk menjadi king maker hingga parti itu sanggup bertanding di 160 kawasan Parlimen.

BN, yang akan meletakkan calon di 222 kerusi Parlimen, selesa dengan peranan Pas, manakala pakatan pembangkang yang bergabung menggunakan simbol PKR menyifatkan Pas sebagai “pengacau” dalam pilihan raya yang berpotensi melemahkan parti-parti pembangkang dan memberi keuntungan kepada BN.

Berhadapan persaingan dua parti pada PRU-13 pada 2013, BN berjaya memperoleh 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Pembangkang memperoleh 89 kerusi.

Adalah amat menarik untuk kita lihat corak politik dan karakter politik yang bakal terbina daripada pilihan raya berasaskan persaingan tiga parti yang akan berlangsung pada 9 Mei depan. Masa depan negara tersaring daripada proses politik yang akan berlaku nanti.