Setiap tahun sekarang, secara puratanya sebanyak 420,000 bayi lahir dalam setahun, manakala orang yang meninggal dunia pula dianggarkan sekitar 149,901 orang.

Dengan bilangan penduduk hampir 31.9 juta orang pada tahun 2018, jumlah populasi Malaysia dijangka meningkat kepada 41.9 juta pada tahun 2050, iaitu tahun sasaran pelan jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Generasi muda Malaysia kini membesar dalam sebuah zaman yang jauh berbeza daripada apa yang dilalui oleh datuk nenek dan ibu bapa mereka.

Persekitaran tempat mereka membesar, sosialisasi, proses urbanisasi, pertembungan desa dan kota serta pengaruh-pengaruh ke atas tingkah laku, khususnya teknologi, sedang berlangsung dengan begitu unik dan tidak dapat dibandingkan.

Satu aspek yang paling ketara ialah mereka membesar dan menjadi dewasa pada zaman Malaysia dilanda pertelagahan politik terbuka dalam landskap yang berubah.

Pada tahun 1970, hanya 34 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar sedangkan pada tahun 2018, kira-kira 75 peratus daripada mereka terdiri daripada populasi bandar.

Sejak 20 tahun lalu, misalnya, hampir tiada masa gelombang politik negara dapat tenang. Sentiasa wujud cabar-mencabar, pidato berapi-api dan gerakan-gerakan siasah oleh ahli politik profesional.

Pertelagahan terbuka itu terjunam ke dalam kemelut yang seolah-olah tidak ada akhirnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, sebelum diikuti PRU-13 pada 2013.

Bagi generasi muda yang lahir pada tahun 1998, tahun depan mereka sudah boleh mendaftar sebagai pengundi.

Begitu cepat masa berlalu. Mereka membesar dengan bayangan persaingan politik yang sengit. Persepsi, identiti dan keyakinan politik mereka dicorakkan oleh persekitaran yang mencabar itu.

Di sesetengah negeri di Malaysia, ada ketikanya orang muda menyaksikan kemunculan budaya politik negeri yang tidak begitu stabil seperti pada zaman-zaman awal negara mencapai kemerdekaan.

PRU-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi sebenarnya perlu digunakan oleh pengundi dewasa Malaysia sebaik-baiknya.

Mereka harus ada kesedaran dan strategi dalam menyediakan Malaysia dengan politik yang mampu melahirkan generasi muda produktif, matang dan menjadi warganegara yang fokus dalam membina keluarga dan negara tercinta.

Dalam mengejar TN50, Malaysia perlu melalui sekurang-kurangnya enam kali PRU lagi.

Jika dalam setiap kali PRU itu, pertembungannya adalah sesengit apa yang dirasai pada tahun 2018 ini, amat malang nasib anak-anak kita pada tahun 2050.

Mereka nampaknya dilahirkan untuk hidup dalam pertelagahan yang berpanjangan.