Namun kini gasing amat jarang ditemui atau dimainkan kecuali pada sesuatu majlis tertentu termasuklah pelbagai expo dan aktiviti pelancongan sebagai daya tarikan pengunjung.

Seorang belia dari Melaka, Rimy Azizi Ab. Karim, 37, berjuang memastikan tradisi permainan gasing terus hidup. Cintanya kepada permainan tradisional itu membuatkan dia tangkas bermain gasing sejak berusia 14 tahun. Kini dia juga mahir dalam seni pembuatan gasing tradisional.

Kebiasaannya, Rimy Azizi menggunakan bongkah kayu bersaiz 232.2 sentimeter persegi untuk menghasilkan gasing. Proses membuat gasing bermula dengan memotong bongkah kayu serta kerja-kerja melarik kasar dan halus. Ia memakan masa antara tiga hingga ke lima jam.

Bongkah kayu yang siap dipotong perlu ‘diperam’ di dalam suhu bilik selama satu hari untuk menjadikannya lebih padat sekali gus menghasilkan gasing yang berkualiti.

Sebuah gasing sempurna mampu berputar dalam tempoh masa 10 hingga ke 15 minit bagi sekali balingan semasa permainan.

Selain untuk pertandingan atau demonstrasi, gasing turut dijadikan sebagai kraf tangan hiasan atau cenderamata. Harga sebuah gasing dijual pada harga serendah RM5 dan boleh mencapai ratusan ringgit bergantung kepada saiz, bahan dan nilai seni pembuatannya.

Permainan tradisional gasing harus dipertahankan supaya terus menjadi warisan bangsa yang amat bernilai.