Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi penjelasan hukum syarak dan penyebaran ajarannya merangkumi aspek akidah serta syariat dalam kehidupan manusia.

Melihat kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam hierarki masyarakat dan kerajaan Islam. Mufti memikul amanah cukup berat dalam memimpin umat manusia amnya dan umat Islam khususnya ke arah kebajikan dan kesejahteraan sejagat.

Bukan itu sahaja, mufti juga adalah satu jawatan yang diberikan kepada seorang alim yang berkelayakan serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Jawatan mufti diiktiraf di sisi Enakmen Pentadbiran Islam sebagai pihak berkuasa utama selepas Sultan dalam hal ehwal berkenaan hukum syarak.

Sebagai contoh, ia termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No. 2 1989 seperti nasnya: “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara itu hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Selangor selepas Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen ini.”

Kedudukan

Mufti mempunyai kedudukan yang tertinggi selepas Sultan dalam aspek pentadbiran agama. Tugas mufti amatlah berat, termasuk menulis fatwa, menyimpan fatwa dan membatalkan fatwa. Jika dibandingkan dengan sistem perundangan Malaysia, mufti itu setaraf dengan seorang hakim.

Peranan mufti dalam pentadbiran negara cukup besar, peranan ini termasuk melalui institusi fatwa yang sentiasa menjadi rujukan bagi umat Islam di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 14 jawatan mufti yang mewakili 14 buah negeri. Dalam proses penentuan hukum, para mufti dibantu oleh Jawatankuasa Fatwa. Nama jawatankuasa ini berbeza antara negeri-negeri.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei lalu telah menyaksikan satu sejarah baharu negara telah tercipta apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menjatuhkan parti keramat Barisan Nasional (BN) yang dikepalai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memerintah negara sejak merdeka. Banyak suara menyatakan, kerajaan baharu yang dibentuk bakal merubah landskap negara terutamanya dari sudut kedudukan agama rasmi iaitu Islam yang bakal tergugat.

Kerap kali media arus perdana sebelum ini memainkan sentimen dengan menyebut bahawa PH adalah gabungan rapuh yang dimonopoli ikon DAP, Lim Kit Siang didakwa bakal mengurangkan syiar Islam sekiranya mereka memerintah negara.

Malah, kedudukan istimewa agama Islam didakwa tidak disenangi oleh PH dan rakan-rakan mereka. Bersandarkan fahaman pluralisme agama, mereka dikatakan mahu menyamaratakan semua agama dan tidak meletakkan Islam sebagai agama negara.

Memetik kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menulis surat terbuka yang mengandungi nasihat kepada pemimpin politik dan masyarakat dalam menghadapi PRU-14 lalu, bahang PRU-14 tidak kurang mencuit emosi pemimpin politik, sama ada dalam media sosial mahupun di Parlimen, kedai kopi dan pentas ceramah, dengan pelbagai bentuk nada hujahan.

Nasihat

Surat tersebut yang boleh diakses melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan 10 nasihat iaitu bersatu dengan berpegang kepada agama Allah, tidak bertelagah sesama sendiri, menjunjung akhlak dan adab, serta berkata benar dan baik.

“Apa diucapkan seseorang pemimpin, itulah ikutan penyokong masing-masing. Jika baik ucapannya, maka baiklah yang dituturkan penyokong. Jika sebaliknya, itulah ‘modal’ bagi penyokong melemparkan kata-kata nista kepada lawan,” katanya.

Dalam pada itu Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman pula berkata, walaupun kerajaan kini bertukar tangan namun peranan mufti dalam perlembagaan negara tidak pernah berubah iaitu taat kepada pemerintah.

Jelasnya, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Apabila satu-satu pemerintah telah dilantik maka kita perlu menghormatinya.”

“Peranan mufti perlu menghormati dan taat kepada pemerintah, kecuali pemerintah itu tersimpang daripada perjuangan iaitu terjerumus dalam kemaksiatan.

“Tugas kami adalah bagi memastikan keharmonian negara, paling penting ikut perintah al-Quran,” jelasnya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.