Ada pula pihak yang mendakwa imej Melayu dan Islam di negara ini mula terhakis secara perlahan-lahan sejak PH mendapat kuasa untuk mentadbir Malaysia.

Wartawan Jurnal menemu bual Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad untuk berkongsi buah fikirannya berkenaan perkara berkenaan.

JURNAL: Selepas hampir dua bulan kerajaan baharu terbentuk, ada pihak mendakwa hala tuju dan rupa bentuk negara yang mahu dibina semula oleh PH adalah ‘Malaysian Malaysia’ termasuklah menerusi tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian itu. Apa pandangan Datuk?

Dr. Hasan: Semalam pihak MPM bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) telah menyerahkan memorandum Mendaulatkan Bahasa Melayu dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia kepada Kementerian Kewangan. Seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan wajib digunakan dalam segala urusan rasmi negara. Ini bermakna Guan Eng telah melanggar peruntukan Perlembagaan apabila mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin di atas kepala surat kementerian.

Sebagai menteri kanan dan orang lama dalam politik, tindakannya dilihat seperti disengajakan dan berbaur provokatif. Tindakannya juga menimbulkan persoalan kerana beliau tidak ditekan oleh mana-mana pihak, jadi tiada sebab beliau bertindak dengan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa lain selain bahasa Melayu. Dengan berbuat demikian, orang ramai mesti fikir ada motif di sebaliknya dan kita tidak mahu ia berlaku. Jadi, saya rasa sebagai seorang penjawat awam, Guan Eng wajib bertindak dengan penuh hemah. Beliau tidak sepatutnya mencetuskan provokasi atau sentimen-sentimen sensitif sebaliknya berusaha ke arah mengukuhkan perpaduan nasional.

Selain isu bahasa, kerajaan PH sebelum ini juga berdepan isu perlembagaan membabitkan institusi beraja. Bagaimana Datuk melihat situasi ini?

Dr. Hasan: Saya rasa majoriti rakyat berpendapat Majlis Raja-Raja Melayu hanya untuk orang Melayu sedangkan ia tidak benar. Oleh itu, saya rasa kerajaan wajar melakukan sesuatu untuk menyatakan kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai peranan serta tanggungjawab Majlis Raja-Raja Melayu bagi mengelakkan kekeliruan dan pertikaian terhadap kepentingan institusi berkenaan.

Selain itu, selama 60 tahun selepas negara mendapat kemerdekaan, Majlis Raja-Raja Melayu tiada badan penasihat kerana kerajaan yang ada ialah kerajaan yang menasihatkan institusi berkenaan. Bukan saya mahu mendakwa kerajaan PH tidak pro-Majlis Raja-Raja Melayu, tetapi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat seperti menghadapi tekanan daripada parti komponennya.

Jadi, kita tidak tahu sejauh mana kerajaan yang ada pada hari ini mampu menjadi penasihat kepada institusi tersebut. Sebab itulah sejak 2012, MPM mendesak Majlis Raja-Raja Melayu agar menubuhkan badan penasihat seperti Privy Council yang menjadi panel penasihat kepada Istana Buckingham. Justeru, apabila ada isu-isu berkaitan kepentingan negara, panel penasihat ini antara lain berperanan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.

Bagaimana pula Datuk melihat pendekatan kerajaan PH terhadap agenda pemerkasaan orang Melayu dan bumiputera di negara ini khususnya dari sudut ekonomi setakat ini?

Dr. Hasan: Dalam sejarah, ini adalah kali pertama negara menyaksikan pertukaran kerajaan Persekutuan selepas memperoleh kemerdekaan pada 1957. Apabila kepimpinan baharu memerintah, sudah tentu jentera pentadbiran kerajaan juga perlu ditukar bagi memastikan ia sehaluan dan mampu melaksanakan agenda kerajaan. Perubahan pucuk pimpinan di syarikat milik kerajaan (GLC) dan pentadbiran juga akan turut terkena tempias berikutan peralihan kuasa ini.

Bagi saya, untuk tempoh enam minggu ini masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan PH. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, MPM menyambut baik kenyataan Mahathir bahawa dasar ekonomi pro-bumiputera akan diteruskan dalam usaha menangani konflik dengan golongan lebih kaya seperti kaum Cina. Ia bermakna semua institusi ekonomi yang ada kepentingan atau tanggungjawab memajukan agenda ekonomi bumiputera wajib merencana semula agenda ekonomi mereka yang dapat memudah cara dan memanfaatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi golongan berkenaan.

Apakah harapan Datuk agar kerajaan PH terus memperjuangkan agenda orang Melayu dan bumiputera agar terus diperkasakan?

Dr. Hasan: Sebelum ini, kami di MPM memikirkan mesti ada agenda bumiputera yang tersendiri dari segi ekonomi, pendidikan dan sebagainya tetapi kini MPM berpendapat agenda ekonomi berdasarkan ras atau kaum tidak perlu jika kerajaan mahu menjadikan komuniti ekonomi bumiputera benar-benar kompetitif hingga ke peringkat global.

Saya suarakan di sini bahawa kita harus melaksanakan agenda ekonomi nasional yang ada sistem handicap. Ia bermakna kalau usahawan bumiputera itu masih lemah, ia wajar diberikan kemudahan atau insentif sama ada dalam bentuk kewangan, bekalan bahan mentah, kepakaran pengurusan, tenaga kerja mahir dan lain-lain bergantung kepada kelemahannya untuk terus bersaing dengan golongan bukan bumiputera yang lebih kompetitif. Sebaiknya saya rasa elok ada agenda nasional yang meletakkan semua komuniti usahawan dalam suasana kompetitif dengan sistem handicap ini supaya mereka mampu berdaya saing secara saksama.

Apakah pula harapan Datuk terhadap hala tuju kerajaan PH terutamanya berkaitan perkara yang membabitkan perpaduan kaum?

Dr. Hasan: Kita tidak mahu dengan dasar-dasar baharu yang dibuat kerajaan merapuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara. Usaha berkaitan agenda serta langkah ke arah pembinaan jati diri serta pembentukan perpaduan nasional perlulah diutamakan. Sepatutnya, simbol perpaduan ditunjukkan di peringkat pemimpin tertinggi. Justeru, jangan kerana percanggahan pendapat, kita gadaikan agenda perpaduan nasional yang menjadi asas keharmonian serta keamanan negara.