Beliau yang popular dengan rancangan Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis mengakui sedang menghadapi masalah kewangan apabila kini disekat daripada menyampaikan ceramah dan kuliah sedangkan ia menjadi punca utama pendapatannya bagi membiayai pusat tersebut selama ini.

Pusat Pendidikan Al-Barakah yang mula beroperasi pada pertengahan tahun 2006 kini mempunyai 550 pelajar. Mereka terdiri daripada 400 pelajar pengajian pondok untuk dewasa, 100 pelajar tahfiz dan 50 murid tadika. Pusat pendidikan agama itu juga memiliki guru dan kakitangan seramai 67 orang.

Bagaimanapun, Ustaz Kazim menangguhkan hasrat untuk menjual Unit Tahfiz tersebut selepas beberapa pihak menyatakan kesediaan untuk membantu.

Kos menguruskan sekolah tahfiz adalah antara dilema pengendali sekolah di Malaysia. Kini, terdapat lebih 1,200 pusat tahfiz dengan lebih 150,000 pelajar di seluruh negara. Sebahagian besarnya merupakan sekolah tahfiz persendirian yang tidak mendapat bantuan kerajaan. Bagi kebanyakan sekolah tahfiz ini, kira-kira 90 peratus kos operasi mereka ditampung oleh sumbangan orang ramai.

Oleh sebab itu, bukanlah perkara yang menghairankan apabila pengendalinya melakukan bermacam-macam cara untuk mendapatkan dana, daripada memohon sumbangan dengan menulis surat kepada individu tertentu sehinggalah menjual telur ayam lebih murah daripada harga pasaran.

Madrasah Tahfiz Al-Yamani di Kampung Baru, Kuala Lumpur misalnya, menulis surat bagi merayu 3,500 umat Islam menyumbang RM10 sebulan secara tetap demi menampung kos operasi bulanannya sebanyak RM35,000.

Bendahari madrasah tersebut, Mohd. Abdurrahman Mohd. Fadzli berkata, bayaran tersebut meliputi penginapan dan pengajian, makan minum pelajar, elaun guru dan pengurusan. Madrasah tersebut merupakan salah sebuah pusat tahfiz yang dibangunkan Allahyarham Mohd. Fadzli al-Yamani, pakar fiqh yang dikenali ramai di negara ini. Mohd. Fadzli meninggal dunia di Guangzhou, China pada September 2016 akibat serangan jantung. Beliau berusia 49 tahun.

Prihatin

Madrasah tersebut yang beroperasi sejak tahun 1994 kini mempunyai 60 pelajar lelaki, 30 pelajar perempuan dan tujuh tenaga pengajar. Mereka menyewa 12 buah unit flat dan sebuah rumah teres.

“Sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang, tidak ada sebarang yuran dikenakan kepada pelajar. Madrasah ini mengharapkan sumbangan umat Islam yang prihatin,” kata Abdurrahman dalam surat yang diedarkan baru-baru ini.

Seorang lagi penceramah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa pula baru-baru ini mengiklankan gelang emas untuk dijual dalam Facebook beliau sebagai sebahagian usaha mengumpul dana sekolah tahfiz yang diasaskannya di Batu Caves, Selangor. Gelang yang diperbuat daripada emas 999 itu dikatakan ditawarkan pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

“Sebahagian keuntungan akan dimasukkan ke tabung pembangunan pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz,” katanya.

Minat masyarakat terhadap pendidikan agama seperti sekolah tahfiz sangat tinggi. Menurut penulis buku Fadhilat Membaca dan Menghafal al-Quran, Ismail Mashuri al-Hafiz, antara kelebihan menjadi penghafal al-Quran adalah sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT, menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang mulia, tidak berasa takut pada hari kiamat dan doanya akan dimakbulkan oleh Allah.

Selain itu, katanya, mereka juga adalah pihak yang paling layak menjadi imam dan diberi kelebihan pada hari akhirat kelak untuk memberikan syafaat kepada 10 orang daripada ahli keluarganya. Mereka juga akan diberikan kelebihan sebagai pemimpin kepada ahli-ahli syurga dan ditempatkan bersama malaikat serta diangkat darjatnya di syurga kelak.

Hasilnya, maahad tahfiz tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Setiap sekolah tahfiz itu pula menawarkan pendekatan dan kurikulum yang pelbagai dan tersendiri. Ada institusi yang menawarkan program hafalan al-Quran di peringkat ijazah, diploma, sekolah menengah, sekolah rendah, peringkat prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak.

Matlamat penubuhannya juga berbeza-beza. Ada yang memberi penumpuan kepada aspek hafalan al-Quran semata-mata manakala yang lain turut menawarkan komponen tambahan seperti pengajian akademik dan kemahiran vokasional.

Tidak dapat dibayangkan akibatnya kepada umat Islam di negara ini jika mendapat pendidikan agama yang tidak sempurna atau daripada sumber yang meragukan. Justeru itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan institusi tahfiz di negara ini selain memastikan pelajarnya mampu berdaya saing sama ada dalam bidang akademik mahupun pasaran pekerjaan.

Bagi kebanyakan sekolah tahfiz ini, kira-kira 90 peratus kos operasi mereka ditampung oleh sumbangan orang ramai