Susulan daripada usaha itu, Grab akan menyepadukan perniagaan perkongsian perjalanan (ridesharing) dan perkhidmatan penghantaran perniagaan Uber, Uber Eats, di rantau ini bersama platform pengangkutan pelbagai modal dan teknologi kewangannya.

Di bawah terma perjanjian yang dimeterai, Uber akan mempunyai pegangan sebanyak 27.5 peratus dalam Grab.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dari Amerika Syarikat itu, Dara Khosrowshahi pula akan menyertai ahli lembaga Grab, iaitu sebuah syarikat permulaan (startup) yang bertapak di Malaysia enam tahun lalu dan kini berpangkalan di Singapura.

“Penjualan ini meletakkan kita berada dalam posisi untuk bersaing dengan fokus sebenar,” ujar Khosrowshahi.

Namun demikian, mengapakah langkah pengambilalihan perniagaan itu dilihat sebagai satu berita yang besar? Ini kerana ia memberi kesan kepada pengguna serta pihak berkepentingan lain terutamanya pemandu dan lebih 500 kakitangan yang terlibat di Asia Tenggara.

Grab merupakan platform Online-ke-Offline (O2O) yang paling kerap digunakan di Asia Tenggara, malah lebih lima juta individu menggunakan platform berkenaan pada setiap hari.

Aplikasi Grab telah dimuat turun ke lebih 90 juta peranti mudah alih, memberikan pelanggan akses ke lebih lima juta pemandu dan ejen yang merangkumi kereta persendirian, motosikal, teksi dan perkhidmatan carpool di 195 bandar raya utama di lapan negara di Asia Tenggara seperti Filipina, Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Platform Grab Financial yang baru diperkenalkan pula menawarkan khidmat kewangan seperti pinjaman dan insurans, perkhidmatan pembayaran, ganjaran dan kesetiaan kepada pengguna di rantau ini, khususnya mereka yang kurang mendapat liputan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan, pengambilalihan itu menandakan satu era yang baharu dan kini ia dalam posisi yang lebih baik lagi memenuhi janjinya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Jenama

“Kepercayaan yang diberikan mereka kepada kami sebagai sebuah jenama pengangkutan telah membenarkan syarikat ini mengambil langkah seterusnya dalam memperbaiki kehidupan ramai menerusi perkhidmatan makanan, pembayaran dan kewangan,” katanya.

Dengan potensi pasaran yang merangkumi kira-kira 620 juta penduduk di Asia Tenggara, Grab kini berada di posisi yang lebih baik untuk mengukuhkan kedudukannya di kebanyakan negara rantau ini.

Antara strategi yang memberi kelebihan kepada Grab yang beroperasi di rantau ini adalah menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan tempatan.

Tan menjelaskan bahawa menerusi persepaduan perniagaan dengan Uber Eats, pihaknya akan memperluaskan perniagaan penghantaran makanannya, GrabFood.

“GrabFood akan disediakan di kesemua negara utama Asia Tenggara menjelang separuh pertama 2018,” ujarnya.

Difahamkan, perkhidmatan Uber Eats akan terus beroperasi sehingga digantikan dengan platform GrabFood yang dijangka diperkenalkan di Malaysia menjelang Mei ini.

Syarikat itu juga merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan operator pengangkutan awam untuk menghubungkan perkhidmatan pengangkutan berkaitan dan mewujudkan pengalaman perjalanan bagi pengguna yang lancar serta bersepadu.

Tan berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan penawaran Grab Financial kepada jutaan pelanggan terutamanya yang kurang mendapat liputan perkhidmatan (underserved), usahawan mikro dan perniagaan kecil di rantau ini.

“Grab juga dijangka memperkenalkan perkhidmatan dompet mudah alih, GrabPay, di Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini,” katanya.