Bagaimanapun, menurut statistik biro bancian AS, negara itu mengeksport barangan bernilai hampir AS$130 bilion (RM527.4 bilion) ke China sehingga akhir tahun lalu sedangkan import AS pula mencecah AS$505.4 bilion (RM2 trilion).

Situasi itu mencetuskan defisit perdagangan bernilai kira-kira AS$375.5 bilion (RM1.5 trilion) kepada Washington. Defisit perdagangan berlaku apabila nilai import melebihi eksport.

Agensi berita Reuters melaporkan, bagi mengurangkan defisit perdagangan tinggi menggunung Beijing-Washington, China perlu membeli barangan AS bernilai sehingga AS$200 bilion (RM811 bilion) pada setiap tahun atau bersamaan 600 pesawat Boeing.

Langkah tersebut tidak praktikal selain boleh menjejaskan negara-negara lain yang berurus niaga dengan China ekoran Beijing terpaksa membatalkan import dari negara-negara berkenaan semata-mata untuk memenuhi kehendak Washington.

Ancaman tarif

Ketidakseimbangan perdagangan ini yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai merugikan negara dan rakyatnya, berlaku bukan hanya dengan Beijing.

Selain China, AS mencatatkan defisit perdagangan terbesar dengan sekutu dan jirannya termasuk, Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Mexico, Jepun dan Jerman dengan punca yang berbeza.

Menganggap China dan negara-negara berkenaan termasuk EU mengambil kesempatan dan membuli pentadbiran sebelumnya, Trump berikrar akan mengubah dasar perdagangan bagi melindungi AS.

Pada akhir bulan Mei 2018, White House mengumumkan cukai import atau tarif berjumlah 25 peratus ke atas import China bernilai AS$50 bilion (RM202.8 bilion) diikuti tarif tambahan mencecah puluhan bilion sekali gus akan menjadikan harga barangan dari negara Tembok Besar itu mahal dan kurang kompetitif di AS.

Langkah itu merupakan tindak balas Trump terhadap amalan perdagangan China yang beliau anggap satu diskriminasi dan membebankan, selain untuk menghukum kecurian harta intelek berleluasa khususnya teknologi AS oleh Beijing.

Berang dengan tindakan Trump, Beijing mengumumkan tarif serupa dalam kitaran konflik yang mengundang perang perdagangan.

Pada 29 Mei lalu, Trump bertindak lebih drastik apabila mengumumkan tarif keluli 25 peratus dan 10 peratus tarif aluminium ke atas import dari EU, Kanada dan Mexico iaitu tiga sekutu AS yang paling rapat.

Langkah berkuat kuasa pada 1 Jun 2018 itu menyebabkan logam yang dijual oleh negara asing melambung tinggi di AS, impak yang diharapkan oleh Trump dapat menguntungkan dan memberikan monopoli pasaran serta harga kepada pengeluar tempatan.

Dengan menamatkan persaingan dalam pasaran keluli dan aluminium, langkah tersebut akan menjejaskan industri yang menggunakan logam berkenaan sebagai bahan mentah, manakala tempiasnya begitu meluas.

Sesetengah pakar ekonomi menyifatkan tarif keluli itu akan juga menjejaskan pengeluar automobil AS seperti firma Ford Motor dan General Motors selain pengilang aeroangkasa termasuk Boeing dan Lockheed Martin serta tidak terkecuali pengeluar peralatan dalam rumah, Whirlpool.

“Langkah ini tidak akan berjaya jika tidak disusuli oleh tarif automobil. Ia akan menyebabkan kenderaan keluaran AS menjadi lebih mahal daripada yang diimport,” kata ahli ekonomi dari Universiti Indiana, Kyle J. Anderson.

Menyedari kesilapan itu, Trump baru-baru ini mengumumkan ancaman untuk mengenakan tarif tinggi ke atas kenderaan yang diimport dari EU dengan Jerman bakal mengalami kerugian terbesar jika cukai import tersebut dikuatkuasakan.

Perang perdagangan

Trump pernah menyatakan pada Mac tahun ini bahawa adalah mudah untuk memenangi perang perdagangan, retorik serupa yang pernah dizahirkan sebelum Washington terlibat dalam perang yang merugikan di Iraq pada 2003.

Sesetengah penganalisis di White House sebelum ini bersetuju dengan pendapat Trump kerana Beijing lebih banyak bergantung kepada rakan dagangannya itu berbanding AS kepada China.

Menurut mereka, AS merupakan pasaran terbesar dan paling penting buat China, justeru Beijing pastinya akan menuruti kehendak Washington dan tidak akan memburukkan lagi keadaan sehingga mencetuskan perang perdagangan yang berlarutan.

Keyakinan itu mendorong pentadbiran Trump menguatkuasakan tarif berjumlah AS$34 bilion (RM137.9 bilion) ke atas produk China bermula pukul 12.01 pagi (waktu AS) semalam melibatkan barangan daripada pelbagai industri termasuk aeroangkasa dan teknologi maklumat di samping alat ganti kenderaan serta peralatan perubatan. Beijing pula menegaskan akan melaksanakan tarif serupa ke atas import AS pada hari yang sama.

Trump juga mengugut akan melaksanakan tarif tambahan ke atas barangan China berjumlah AS$400 bilion (RM1.6 trilion) lagi jika Beijing mengambil tindakan balas.

Tarif yang dilaksanakan oleh Beijing ke atas produk AS menyasarkan golongan petani dan penternak di negeri-negeri yang menyokong Trump semasa pilihan raya Presiden AS pada akhir 2016, antaranya termasuk kacang soya, daging lembu, ayam dan daging babi.

Tindakan Trump melancarkan dua medan perang perdagangan terhadap China dan EU secara serentak itu disifatkan oleh ramai penganalisis sebagai tidak bijak.

Menurut mereka, kemakmuran AS sebenarnya ‘dibiayai’ oleh pendapatan eksportnya ke negara-negara luar dan kemakmuran ekonomi global, malah, ia tiada kaitan dengan inisiatif ekonomi yang dilaksanakan oleh Trump. Tindakan melancarkan perang perdagangan ini akan merugikan rakyat negara kuasa besar itu sendiri, ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Ini kerana China dan EU bukanlah ‘lawan’ yang mudah ditewaskan. Beijing dan Brussels mempunyai pelbagai strategi untuk melawan balik dan menjejaskan ekonomi AS, tindakan yang dilihat membawa kepada kemelesetan ekonomi dunia. Pihak yang ‘menang’ dalam perang perdagangan, menurut ahli-ahli ekonomi, adalah negara-negara yang tidak terlibat dalam perang itu sendiri, jika ada pun pemenang, negara-negara berkenaan sudah tentu terkena tempiasnya.

Kemelesetan ekonomi global juga merupakan situasi yang tidak mudah untuk pulih daripadanya.

Trump yang pernah bergelar taikun kasino sebelum ini banyak mengalami kerugian dalam urus niaga. Namun, perang perdagangan yang ‘tidak perlu’ ini merupakan perjudian terbesar beliau dengan kekayaan negara, nasib rakyat AS dan yang paling penting, ekonomi global menjadi taruhan.