Bagaimanapun, setiap parti telah memulakan ‘serangan’ melalui pelancaran manifesto masing-masing. Situasi pilihan raya umum dijangka sengit apabila menyaksikan tiga blok parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), gabungan parti pembangkang yang bakal bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Setiap parti tampil dengan manifesto yang paling komprehensif dengan membawa dasar-dasar dan program untuk menarik sokongan 14.9 juta pemilih yang akan bakal mengundi pada 9 Mei nanti. Meskipun gabungan parti pembangkang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara lebih awal mengemukakan manifesto mereka, tumpuan lebih dilihat kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam majlis pelancaran manifesto secara besar-besaran di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 7 April lalu, BN menampilkan manifesto yang sarat dengan rancangan besar untuk memperhebatkan Malaysia.

Manifesto tambahan turut dirangka di peringkat negeri-negeri dengan memberikan tumpuan kepada isu setempat.

Apa yang menarik perhatian ialah janji-janji berbentuk insentif kewangan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperluaskan kepada anak-anak penerima bantuan tersebut.

Program meningkatkan isi dompet rakyat dilihat penting untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup selain penekanan kepada penyelesaian untuk rakyat memiliki rumah selain peningkatan peluang pekerjaan.

Anjakan politik baharu berlaku apabila parti politik menarik sokongan bukan lagi berasaskan kepada ideologi sebaliknya menumpukan isu ekonomi dan sosial.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad, sebenarnya manifesto yang dikemukakan oleh kedua-dua parti sama ada BN atau gabungan pembangkang adalah satu pengulangan berasaskan isu ekonomi dan sosial.

“Program yang dijanji dihasilkan berdasarkan kepada bajet yang telah diluluskan.

“Sebagai pemerintah, BN sudah mengetahui peruntukan yang ada dalam bajet bagi membolehkan mereka merangka manifesto pilihan raya,” katanya kepada Jurnal semalam.

Katanya, meskipun manifesto tidak diikat dengan undang-undang, ia menjadi landasan untuk rakyat membuat penilaian kepada setiap parti politik.

Katanya, kali ini, BN tidak menjanjikan projek pembangunan secara langsung sebaliknya menjurus kepada golongan sasar seperti ibu tunggal dan wanita yang dipercayai merupakan pengundi tegar mereka berbanding golongan menengah atas yang ramai tinggal di bandar-bandar.

“Banyak janji yang ditawarkan adalah melibatkan golongan mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM4,000 sebulan (B40) sebaliknya yang tidak mendapat habuan adalah golongan menengah atas yang ramai tinggal di bandar.

“Golongan ini banyak mengkritik dan tidak memberikan sokongan kepada parti kerajaan,” ujarnya.

Dalam hal ini, jelas Sulastry, apa yang membimbangkan ialah kemungkinan terdapat kelompok Melayu pertengahan di bandar tidak keluar mengundi sekali gus bakal menjejaskan percaturan masa depan politik masyarakat tersebut.