Ulama yang tidak menyertai mana-mana parti juga tidak boleh lari daripada isu-isu politik, lebih-lebih lagi jika mereka bertugas di jabatan kerajaan seperti mufti dan guru agama.
Apabila agama menjadi manifestasi sesebuah parti atau kerajaan, sudah tentu golongan ulama akan dirujuk secara langsung. Namun, sejauh manakah golongan ulama ini berupaya menegakkan kebenaran dalam sesuatu isu?
Antara isu berkaitan politik yang memperoleh perhatian dan fatwa ulama di Malaysia ialah kempen undi rosak, isu baiah talak tiga yang menyebabkan pemimpin berkenaan bercerai secara automatik dengan isteri masing-masing apabila keluar parti, hudud dan isu mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya. 

Tokoh 

Dalam kejadian terbaharu, seorang mufti negeri terpaksa membuat penafian kononnya seorang ketua menteri yang baru dilantik berfahaman Syiah ekoran tular di laman sosial yang mendakwa tokoh berkenaan tidak berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
Sesetengah pemerhati politik Islam di Malaysia berpendapat ulama mempunyai tempat yang tersendiri dalam politik dan tidak sepatutnya menyertai politik untuk bertanding dalam pilihan raya. 
Menurut mereka, tempat ulama berdasarkan sejarah pemerintahan Islam adalah sebagai pemantau yang akan menegur pemerintah tanpa gentar, walaupun mereka terpaksa kehilangan harta, kebebasan atau nyawa. Mereka tidak bertanding untuk menjadi pemimpin tetapi mereka bertindak menegur pemimpin sekiranya salah. 

Tokoh-tokoh seperti Ibnu  Taimiyah dan Nizamul Muluk lebih selesa menyebarkan ilmu di luar pemerintahan, sehingga ada dalam kalangan mereka yang dipenjara kerana memberi pandangan yang menentang pemerintah.
Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hukum penyertaan mana-mana individu termasuk ulama ke dalam apa-apa pertubuhan atau parti sama ada kerajaan mahupun pembangkang bergantung kepada niat, peranan yang dimainkan, dan impak baik buruk hasil penyertaan tersebut.

“Jika niatnya untuk kebaikan atau mendapat keredaan Allah, maka itu suatu ibadah. Jika untuk mendapat habuan dunia, maka ia bukanlah kebaikan yang diterima Allah bahkan akan merosakkan orang lain. Setelah niatnya betul, hendaklah dia mengetahui apakah peranan yang hendak dimainkan,” katanya.
Jika kumpulan atau kerajaan yang disertai itu tidak islamik atau menyanggahi prinsip-prinsip keadilan dan kebaikan, ulama mesti tahu peranan yang boleh dimainkan untuk membaiki keadaan tersebut.

“Kalau dirasakan penyertaan dalam mana-mana badan atau kerajaan dapat menegakkan kebenaran atau mengelakkan kezaliman, maka penyertaan itu mendapat pahala. Jika tiada siapa yang mampu lakukan kecuali kita, maka ia merupakan satu kewajiban,” jelas beliau.
Tambah Mohd. Asri: “Dalam situasi lain, andai badan yang disertainya itu dipenuhi kemungkaran dan tiada peranan dalam mengubah atau mengurangkannya, maka penyertaan ke dalamnya adalah dosa. Jika dia tahu bahawa dia tidak akan mampu mengubah atau mengurangkan kemungkaran tersebut, maka dia diharamkan menyertai kumpulan atau organisasi mungkar itu.”

Selain memartabatkan syiar Islam, kewujudan golongan ulama dalam sesebuah parti mahupun kerajaan seharusnya membantu proses ‘membetulkan’ parti politik atau kerajaan yang hilang rasional dan tidak lagi mementingkan maslahat rakyat. 
Amatlah malang jika ulama yang memasuki politik lebih sibuk mencari dalil untuk menghalalkan tindakan bosnya dan mengharamkan tindak tanduk musuh. 
Ulama mesti memberi nafas baharu dalam politik Malaysia yang pelbagai ragam ini.