AZMI
AZMI

Amalan tersebut adalah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau Westminster memandangkan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri tidak memperuntukkan tentang kerajaan yang mentadbir semasa tempoh Parlimen dan DUN terbubar dan sehinggalah terbentuknya kerajaan yang baharu sampai pilihan raya.

Mengikut amalannya, kerajaan sedia ada terus mentadbir negara dan semua menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebelum ini di peringkat nasional sementara Menteri Besar ataupun Ketua Menteri serta exco menjalankan tugas di peringkat negeri ketika proses pilihan raya berlangsung.

Sistem pentadbiran British itu telah diamalkan sejak merdeka lagi dan ia penting bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman dari segi keselamatan, ketenteraman, ekonomi dan lain-lain ekoran ketiadaan kerajaan sewaktu proses demokrasi berparlimen di negara ini berlangsung.

Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu, kerajaan sementara akan melaksanakan urusan pentadbiran negara bermula dari tempoh pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sehingga kerajaan baharu dilantik selepas pilihan raya.

“Tidak boleh ada dasar baharu, hanya boleh teruskan segala dasar sedia ada yang telah diluluskan sebelum pembubaran tetapi boleh menjalankan tugas dan kuasa serta meneruskan dasar sedia ada,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

Jelasnya, sekiranya ada dalam kalangan caretaker yang melanggar batasan kuasa yang dibenarkan, maka mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekiranya terbukti bersalah.

Tambahnya, caretaker tidak mempunyai peranan dalam pembentukan kerajaan baharu dan sekiranya berlaku keadaan parlimen tergantung, akan wujud kerajaan campuran dan sekiranya gagal mencapai kata sepakat maka perlu PRU baharu perlu diadakan.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Zainal Kling memberitahu, semua dasar seperti bajet ataupun Rang Undang-Undang tidak boleh dibuat dalam tempoh pemerintahan kerajaan sementara.

“Hanya pentadbiran untuk memastikan kelangsungan perjalanan urusan sementara kerajaan baharu dibentuk boleh dilakukan. Keputusan-keputusan penting lain perlu ditangguhkan sementara kerajaan baharu dibentuk,” katanya.

Jelasnya, amalan caretaker di dalam negara yang melaksanakan sistem demokrasi seperti Malaysia perlu dilakukan memandangkan urusan pentadbiran negara tetap perlu dilaksanakan walaupun ketika proses demokrasi sedang berlangsung.

ZAINAL
ZAINAL

Sementara itu, pakar Geostrategis, Azmi Hassan memberitahu, dalam keadaan tertentu seperti melibatkan isu keselamatan negara, caretaker boleh memainkan peranan untuk memastikan kedaulatan negara tidak digugat.

“Kerajaan sedia ada sememangnya tidak mempunyai kuasa atau kebenaran untuk membuat dasar baharu atau membatalkan dasar sedia ada kerana tidak mempunyai mandat tetapi dalam kes ekstrem seperti melibatkan keselamatan negara, maka menjadi tugas caretaker memastikan negara selamat dan kedaulatan tidak dicabar.

“Ini kerana, dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan ia menjadi tugas semua pihak termasuk caretaker,” katanya.

Tambahnya, sekiranya kerajaan caretaker melampaui kuasa yang diberikan maka ada dalam peruntukan perundangan ada tindakan yang boleh diambil ke atas kerajaan tersebut.

“Tetapi lazimnya di Malaysia jangka masa tempoh caretaker mentadbir adalah tidak lama dan ruang untuk salah guna kuasa adalah begitu terhad sekali,” katanya.

Mengikut amalan di negara ini, kebiasaannya hari pembuangan undi diadakan dalam tempoh sebulan selepas pembubaran Parlimen dan DUN dilakukan.

Bagaimanapun, mengikut SPR yang memegang amanah untuk melaksanakan pilihan raya di negara ini, hari pengundian boleh dilakukan selewat-lewatnya 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Tidak lama lagi, PRU-14 bakal berlangsung. Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengumumkan pembubaran Parlimen, maka kerajaan caretaker akan mengambil tugasnya selepas 24 Jun ini berdasarkan hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU-13 lima tahun lalu menandakan mandat kerajaan sedia ada telah berakhir.

Serentak dengan itu, proses demokrasi di negara ini akan berlangsung untuk memilih siapa bakal menjadi pemimpin untuk tempoh lima tahun akan datang.