Bagaimanapun, selepas mengalami demam panas ketika berusia tiga tahun, kanak-kanak itu mula menunjukkan kelainan apabila menjadi pendiam dan enggan bergaul termasuk tidak mendengar panggilan serta arahan-arahan mudah daripada ibunya. Bimbang perubahan drastik yang ditunjukkan itu, Feilina terus merujuk anaknya itu kepada pakar.

“Pada waktu itu saya ingatkan anak saya pekak, tetapi apabila diperiksa, anak saya disahkan sebagai kanak-kanak autistik,” kata Pengerusi Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom) ketika ditemui Jurnal di pejabatnya, di Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Autisme adalah kecacatan perkembangan yang kompleks yang biasanya muncul semasa tiga tahun pertama kehidupan disebabkan oleh gangguan neurologi yang mempengaruhi fungsi otak. Autisme dan tingkah laku berkaitan dianggarkan berlaku pada satu dalam 68 kelahiran bayi baru lahir.

Golongan autistik mungkin mempamerkan pergerakan badan berulang seperti mengepak atau menggoyang tangan, memberikan respons luar biasa kepada orang, memberontak sekiranya rutin berubah selain sangat sensitif dalam lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau.

Sesetengah gejala yang sering dikaitkan ialah tidak takut bahaya, sama ada terlalu sensitif atau tidak sensitif sama sekali terhadap kesakitan, mengelakkan kontak mata, mengalami kesukaran untuk menyatakan apa yang mereka mahu, perlu rutin sentiasa sama dan sukar berinteraksi dengan orang lain.

Menurut Feilina, walaupun sukar menerima kenyataan tersebut pada awalnya, tetapi dia tidak mahu mengambil jalan mudah sebaliknya berusaha memastikan anaknya itu diberikan terapi dan didikan agar mampu berdikari serta hidup di dalam masyarakat.

“Kanak-kanak autistik hidup di dalam dunia sendiri tetapi mereka semua dapat dididik dan diajar sekiranya diberi peluang. Kebanyakan daripada mereka juga boleh masuk ke alam pekerjaan sekiranya diberikan latihan serta pendedahan yang bersesuaian.

“Malah mereka juga boleh menghasilkan kualiti kerja yang terbaik kerana golongan ini tidak akan curi tulang, dapat memberikan fokus serta komitmen seratus peratus,” katanya.

Menurutnya, selepas diberikan terapi dan diajar di salah sebuah pusat latihan Nasom ketika berusia enam tahun, anaknya mula menunjukkan perkembangan positif antaranya sudah tidak perlu dipakaikan lampin pakai buang hanya selepas dua minggu dihantar ke pusat tersebut.

“Selepas beberapa tahun, anak saya dilihat sudah boleh berdikari serta menguruskan diri sendiri dan sekarang dia sudah boleh memasak. Perkembangan tersebut sangat menggembirakan kerana saya tidak perlu risau tentangnya sekiranya apa-apa terjadi kepada saya kelak,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, kalangan autistik tidak fleksibel seperti golongan normal tetapi ia sebenarnya satu kelebihan kerana ramai daripada mereka sangat bijak kerana mereka sangat fokus. Contohnya, Albert Einstein and Isaac Newton. Mereka merupakan golongan autistik yang genius.

“Paling penting, golongan ini perlu diberi peluang untuk dilatih oleh pakar supaya bakat serta kebolehan mereka dapat digilap,” katanya yang turut menjelaskan masih ramai dalam kalangan ibu bapa yang tidak memberikan peluang untuk anak-anak autistik mendapatkan terapi serta didikan sepatutnya.

Jelasnya, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) banyak memainkan peranan dalam membantu golongan autistik termasuk memberikan sebahagian dana kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Nasom untuk beroperasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menjelaskan, pertubuhan sukarela merupakan antara rakan strategik JKM dengan menyediakan pelbagai program pemulihan dan latihan kepada kanak-kanak autisme termasuk ahli keluarga.

“Sebagai contoh, Nasom yang membantu individu autistik ke arah kehidupan berdikari dan bermakna. Pada masa ini, terdapat 19 buah pusat Nasom di seluruh negara di mana 16 pusat daripadanya menyediakan program pendidikan awal manakala bakinya menyediakan latihan vokasional kepada individu autistik,” katanya.

Selain itu, menurut Rohani, kerajaan turut membina sebuah pusat pembelajaran awal kepada kanak-kanak autisme iaitu Pusat Permata Kurnia di Sentul, Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan kanak-kanak autisme dan keluarga mereka.

“Pusat ini menyediakan program intervensi awal secara komprehensif. Pusat tersebut menawarkan tiga jenis perkhidmatan termasuk program sepenuh masa untuk 100 hingga 150 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

“Selain itu, turut disediakan perkhidmatan intervensi sokongan keluarga serta program latihan kepada pendidik, ahli terapi, ibu bapa dan orang ramai yang merangkumi pelbagai aspek autisme,” katanya.

“Selain itu bantuan kewangan turut disediakan sekiranya permohonan tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai contoh kanak-kanak autistik yang mengikuti program latihan sebanyak RM150 sebulan.

“Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme dewasa yang mampu bekerja dan berkelayakan akan menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan manakala yang tidak mampu bekerja akan menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja sebanyak RM250 sebulan,” katanya.

Jelasnya, sehingga Februari lalu, seramai 18,464 orang OKU autisme berdaftar dengan JKM.