Jenis perniagaan dalam talian juga adalah salah satu cabang perniagaan yang sedang meningkat naik ekoran kemudahan jaringan internet yang semakin baik.

Untuk rekod, sebanyak 53,285 perniagaan dalam talian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 10 Julai tahun lalu. Tidak mustahil jumlah sebenar ketika ini jauh lebih tinggi memandangkan ramai juga yang tidak mendaftarkan perniagaan masing-masing.

Malah, produk-produk desa seperti barangan berasaskan kraf ataupun makanan tempatan juga bukan lagi hanya untuk jualan setempat kerana ia kini boleh dieksport

Pelbagai inisiatif telah dijalankan kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan di negara ini menerusi pemberian geran, peluang latihan, promosi dan sebagainya untuk membantu meningkatkan hasil pendapatan serta daya saing dalam kalangan usahawan.

Bagi memberi tumpuan dan penekanan khusus kepada pembangunan usahawan bumiputera, kerajaan menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995.

Pada tahun 2004, kementerian tersebut ditukar nama kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tambahan tanggungjawab terhadap Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat.

Bagaimanapun, pada tahun 2009 kerajaan memansuhkan kementerian tersebut dan peranannya dibahagi-bahagi dan diserap ke kementerian lain. Bagaimanapun, pemansuhan tersebut memberi kesan kepada usahawan terutamanya yang baru hendak meningkat naik.

Bukan tidak ada ruang untuk usahawan mendapatkan kemudahan serta bantuan dengan pemansuhan tersebut tetapi oleh kerana badan-badan yang dahulunya diletakkan di bawah satu bumbung dipecahkan, ia turut menyebabkan usahawan terkapai-kapai.

Namun pada Isnin lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof dan timbalannya, Hatta Md. Ramli adalah antara mereka yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh berkata, komuniti usahawan dan koperasi sudah lama mendambakan kewujudan semula kementerian tersebut.

Mereka memerlukan perhatian dan bantuan daripada pihak kerajaan secara holistik dan berkala demi memastikan kelestarian bukan sahaja terhadap ekonomi peribadi mereka, malahan juga terhadap kelestarian ekonomi negara.

Katanya, industri kecil dan sederhana (IKS) merangkumi 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan setakat 2017, ia telah menyumbang sejumlah 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Jumlah itu dijangka mencapai 41 peratus untuk tahun akan datang.

“Selain itu, 65 peratus pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia adalah daripada IKS. Kekuatan IKS selalunya dilihat sebagai jaguh kampung yang kuat bertapak secara domestik, namun IKS telah menyumbang sebanyak 18 peratus daripada keseluruhan eksport negara,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Menurut Mohamad Noorizuddin, kementerian yang ditubuhkan semula itu diharap dapat melakukan beberapa perkara antaranya memusatkan pengurusan usahawan yang berkesan melalui latihan, pemantauan, dan penawaran peluang kepada usahawan.

Inisiatif

“Selain itu, persatuan-persatuan usahawan boleh mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan pihak kementerian dalam mewujudkan sekumpulan mentor yang boleh membangunkan usahawan dengan betul dari segi pengurusan kewangan, sumber dan pemasaran dengan betul.

“Kementerian juga boleh mempromosikan ikon usahawan untuk beberapa industri utama di negara ini. Sewajarnya kita mengangkat ikon daripada akar umbi yang telah mahir selok belok perniagaan dengan bermula daripada bawah.

“Melalui usaha ini, para usahawan dapat merasakan bahawa kejayaan ikon ini adalah sesuatu yang mereka boleh capai secara individu melalui usaha yang berkekalan,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian disarankan agar mempunyai kumpulan pemikir yang sentiasa peka dengan perubahan semasa. Mereka perlu memberi input terkini kepada pihak kementerian untuk dijadikan dasar dan polisi dalam membantu usahawan.

Selain itu, peranan Maktab Koperasi Malaysia yang telah diwujudkan lebih 60 tahun lalu perlu diperkasakan dengan mengangkatnya menjadi sebuah institusi pendidikan koperasi yang setaraf dengan institusi pendidikan awam sedia ada.

Sementara itu, menurut Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan mewujudkan semula kementerian tersebut.

“Sememangnya ini merupakan perkara yang ditunggu oleh para usahawan kerana mereka tidak perlu lagi melalui banyak karenah birokrasi setiap kali berurusan dengan kementerian berbeza.

“Apabila semuanya berada di bawah satu bumbung maka secara tidak langsung usahawan hanya perlu berurusan di satu tempat sahaja,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Katanya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa kementerian menubuhkan unit pembangunan usahawan antaranya di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Banyak program anjuran kementerian-kementerian ini tetapi apabila terlampau banyak kementerian yang masing-masing ada unit perancangan ekonomi sendiri memberi kesan kepada usahawan.

“Ini kerana lain kementerian lain caranya, lain karenah birokrasinya menyebabkan ada dalam kalangan usahawan yang tidak cekal terpaksa menarik diri di tengah jalan,” katanya.

Jelasnya, kementerian khusus yang ditubuhkan untuk usahawan bakal memudahkan golongan untuk mencari tempat bergantung dengan hanya perlu merujuk kepada satu pusat sahaja.

Peranan Maktab Koperasi Malaysia yang telah diwujudkan lebih 60 tahun lalu perlu diperkasakan dengan mengangkatnya menjadi sebuah institusi pendidikan koperasi yang setaraf dengan institusi pendidikan awam sedia ada