Statistik tahun 2016 menunjukkan kes penagihan dadah di negara ini meningkat sebanyak 14 peratus kepada 30,847 kes berbanding 26,668 kes pada tahun 2015.

Kesukaran kempen memerangi dadah antara lain adalah disebabkan oleh mudahnya memperoleh dadah terutamanya dari negara jiran.

Ini bermakna, dalam keadaan apa sekalipun, dadah boleh dikatakan kekal musuh nombor satu negara.

Di Amerika Syarikat (AS), ketagihan dan penyalahgunaan dadah adalah masalah terbesar di negara itu.

Masakan tidak, masalah itu merugikan negara tersebut kerana lebih AS$484 bilion (RM1.9 trilion) lesap setiap tahun melalui kehilangan kerja, kos kesihatan, jenayah, kemalangan jalan raya dan kos-kos lain yang melibatkan sistem keadilan jenayah.

Malah, ketagihan dadah juga boleh dikaitkan dengan lebih separuh daripada jenayah utama yang berlaku di AS yang melibatkan keganasan dan pembunuhan.

Remaja di negara itu pula sangat terdedah dengan ketagihan alkohol yang juga merupakan satu bentuk salah guna dadah.

‘Penyakit’ itu membawa kematian lebih 4,300 remaja berusia bawah 21 tahun di negara tersebut.

Sementara itu di Malaysia, murid-murid sekolah juga tidak terlepas daripada ancaman dadah dalam bentuk yang berbeza-beza.

Misalnya, 0.03 peratus daripada 4.7 juta murid sekolah dikenal pasti terlibat mencuba dadah walaupun mereka tidak dikategorikan sebagai penagih dadah.

Daripada jumlah itu, 75.68 peratus murid mengambil dadah jenis methamphetamine seperti pil kuda dan syabu, kanabis atau ganja (16.73 peratus), opiat seperti heroin, morfin dan sebagainya (5.17 peratus), amphetamine (2.23 peratus) dan ketamin (0.19 peratus).

Di AS, ganja adalah dadah utama yang diambil murid sekolah terutamanya dalam kalangan pelajar menengah.

Dalam hal ini, peranan kaunselor sekolah amat penting bagi memastikan pelajar mempunyai ruang berbincang, meluahkan masalah dan memberi cadangan terhadap penyelesaian masalah.

 

Strategi

Selain itu, kajian juga menunjukkan peranan kaunselor sekolah merangkumi kerjasama dengan ibu bapa dan masyarakat setempat untuk menyediakan sokongan kepada pelajar yang memerlukan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 2006 memberikan panduan kepada kaunselor dalam mengenal pasti strategi yang tidak berkesan.

Antaranya program berbentuk ceramah yang dijalankan bersama sekumpulan pelajar, ceramah berbentuk satu hala, ceramah yang menerangkan tentang kesan dadah untuk tujuan menakutkan, penganjuran program pencegahan dadah namun golongan sasarannya salah dan kempen menyatakan TIDAK kepada dadah.

Di sinilah peranan kaunselor sekolah menjadi sangat kritikal.

Kaunselor yang mahir akan dapat mengenal pasti strategi yang berkesan dalam pencegahan dadah di peringkat sekolah yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Program yang baik dan berkesan bentuknya antara lain mempunyai beberapa ciri.

Pertama, sesebuah program pendidikan dadah perlulah empirikal (evidence-based), membangun secara sistematik, berterusan dan kontekstual.

Pengajaran program antidadah mestilah interaktif dan menggunakan pemimpin remaja atau pelajar serta guru kelas.

Ciri kedua ialah berkaitan elemen mengubah persepsi dan gaya berfikir.

Kebolehan kaunselor merencana program pencegahan yang dapat mengubah persepsi dan gaya berfikir kumpulan sasar juga penting.

Gaya berfikir dan persepsi hanya akan berubah sekiranya kaedah serta penyusunan bahan kandungan program sesuai dengan keperluan psikologi kumpulan sasar.

Sebagai contoh, mereka yang lebih dewasa mungkin sesuai jika diberi penekanan kepada kesihatan dengan menekankan fakta bahawa mengambil barangan terlarang ini akan mengakibatkan gangguan kesihatan.

Menekankan fakta penampilan seperti ketampanan dan kecantikan akan terjejas jika menagih dengan bahan-bahan terlarang mungkin lebih diterima dalam kalangan remaja.

Ciri seterusnya ialah mengenal pasti kumpulan sasaran.

Kaunselor sekolah adalah pihak yang mempunyai autoriti dalam mengenal pasti kumpulan sasar program pencegahan dadah di sekolah-sekolah mereka.

 

Membantu

Pelaksanaan sesebuah program pencegahan boleh dijalankan kepada semua pihak, orang awam atau golongan sasaran yang tertentu.

Memandangkan peningkatan kes penyalahgunaan dan ketagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak, adalah penting bagi sekolah untuk menyediakan keperluan bagi golongan pelajar yang berisiko terhadap penyalahgunaan ini.

Kaunselor sekolah perlu membantu mengelakkan pelajar yang berisiko daripada terlibat.

Mengenal pasti pelajar yang berisiko dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu mengekang gejala ini.

Dalam hal ini, peranan kaunselor sekolah adalah sangat penting dalam mengurangkan penyalahgunaan dadah, seterusnya penagihan.

Tugas murni itu memerlukan sokongan padu setiap ahli masyarakat kerana ia bukan tugas yang boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Gaya berfikir dan persepsi hanya akan berubah sekiranya kaedah dan penyusunan bahan kandungan program sesuai dengan keperluan psikologi kumpulan sasar