Bagi kebanyakan kita, terutama dalam kalangan yang sudah berada di senja usia, sudah tidak lagi mempunyai ibu bapa dan sudah lama meninggalkan kampung halaman, kedatangan Aidilfitri bahkan bulan Ramadan itu sendiri adalah detik untuk kita bernostalgia.

Kita teringatkan keindahan dan kemanisan berhari raya bersama ibu bapa di desa semasa zaman kanak-kanak dan remaja walaupun pada hakikatnya ketika itu kita hidup susah dan sederhana; kita terkenang kedua-dua orang tua kita yang sudah lama kembali bertemu Penciptanya; kita terbayang wajah suami atau isteri yang juga sudah meninggal dunia dan banyak lagi. 

Kalau boleh kita mahu kembali ke zaman-zaman indah dan manis itu, tetapi apakan daya hukum kehidupan tidak mengizinkannya. Jarum waktu tidak boleh diputarkan ke belakang. 

Dan setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, segala kenangan silam itu akan kembali tertayang bagai filem yang tidak mungkin untuk dipadamkan. Filem-filem kenangan itu akan segar-bugar dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. 

Mengapa? Neel Burton dalam bukunya Heaven and Hell: The Psychology of the Emotions, menjelaskan terdapat dua faktor yang memicu nostalgia dalam diri seseorang iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. 

Faktor dalaman merujuk kepada aktiviti dalam otak manusia yang menjadi tempat menyimpan emosi dan kenangan. Kedua-dua elemen tersebut saling berhubung kait dalam daerah otak yang dipanggil prefrontal cortex.

Tetapi kenangan itu tersimpan pasif dan hanya menjelma menjadi nostalgia dipengaruhi oleh faktor luaran. 

Sebab luaran di sini merujuk kepada pelbagai elemen, antaranya apabila perasaan kesunyian menguasai diri kita, atau apabila kita berasa terasing, terbuang dan kehidupan kita tidak lagi berguna; atau apabila kita semena-mena terkenang masa silam kita sewaktu kita berada di tempat-tempat atau tersentuh objek-objek tertentu. 

Sekiranya kita terlihat gambar-gambar lama atau secara kebetulan bertemu dengan sanak saudara dan sahabat handai yang telah sekian lama tidak kita temui, perasaan nostalgia menerpa dalam minda kita.

Mengimbau
Selain itu, muzik, lagu-lagu dan drama yang mengimbau masa lalu yang pernah kita alami juga boleh menjadi pemicu berpengaruh nostalgia. 

Dalam konteks ini pengaruh lagu-lagu hari raya yang mengimbau keseronokan menyambut lebaran di desa dan kampung halaman; atau membangkitkan kesedihan mengenang kehilangan orang-orang tersayang dalam
hidup kita, tidak dapat tidak akan membuat kita berasa nostalgik mengenai kehidupan silam kita.

Mujurlah kita yang hidup pada hari ini kerana bernostalgia, baik pada Aidilfitri atau pada waktu-waktu lain, tidak dianggap sebagai satu penyakit mental. 

Sewaktu istilah nostalgia dicipta pada 1668 oleh seorang pelajar perubatan berbangsa Swiss, Johannes Hofer, nostalgia dianggap sebagai bentuk kemurungan serius yang boleh mengakibatkan kematian. 

Kajian yang beliau lakukan dalam kalangan askar-askar berbangsa Swiss yang berperang jauh dari Switzerland mendapati bahawa akibat terlalu rindukan kampung halaman, dan keinginan untuk pulang ke tanah air tercinta, ada antara askar-askar itu mengalami kemurungan yang serius sehingga jatuh sakit dan meninggal dunia.  

Justeru, untuk tempoh 100 tahun sehingga 1768, fenomena nostalgia yang mengadunkan dua perkataan Greek iaitu nostos yang bermaksud terlalu merindui kampung halaman atau kepulangan dan algosia iaitu kesakitan, dinilai dari sudut yang negatif dalam dunia perubatan. 

Dari sudut kesihatan, nostalgia diklasifikasikan sebagai satu kondisi perubatan yang sekiranya gagal ditangani lazimnya berkesudahan dengan kematian.

Tetapi apabila fenomena nostalgia ini mula difahami oleh para doktor perubatan sebagai tidak lebih satu bentuk kerinduan terhadap masa silam, ia tidak lagi dianggap sebagai satu ketidaktentuan mental. 

Nostalgia diterima sebagai sesuatu yang semula jadi, biasa, malah satu emosi positif dan alat untuk manusia meneroka masa dan ruang silam tanpa meninggalkan kesan-kesan yang buruk terhadap diri kita.

Simptom
Dalam perubatan moden mulai 1850-an, nostalgia tidak lagi dianggap sebagai penyakit tetapi sebagai simptom atau tahap dalam proses patologikal atau satu bentuk melankolia. 

Menurut Neel Burton, nostalgia mula diterima sebagai “an independent and even positive emotion that many people experience often that can vary from happiness to sorrow…nostalgia can lend us much needed context, perspective and direction, reminding and reassuring us that our life and that of others is not as banal as it may seems, but has meaningful moments and experiences… Nostalgia is also a form of self-deception that
involves distortion and idealization of the past.”

Bagi beliau, nostalgia mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan manusia, antaranya memperbaiki mood, meningkatkan hubungan sosial, melestarikan rasa hormat diri yang positif, memberi pengertian terhadap kehidupan malah menjadi alat menarik dan berkesan untuk pemujukan politik dan komersial.

Hakikat itu menjelaskan mengapa menjelang musim perayaan, termasuk setiap kali tiba Aidilfitri, pelbagai pihak khususnya syarikat-syarikat korporat memanfaatkan nostalgia untuk menghasilkan pelbagai bentuk pengiklanan dan filem pendek atau malah menggunakan lagu-lagu hari raya yang mengimbau kenangan silam untuk menjenamakan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada khalayak. 

Tujuan akhirnya adalah untuk memberi gambaran bahawa mereka adalah warga korporat yang bertanggungjawab dan dekat dengan pelanggan mereka.

Khalayak pula, disedari atau tidak, merelakan diri masing-masing dibuai atau ditenggelami dengan perasaan nostalgik yang bercampur-baur antara sedih dan gembira itu.

Putaran nostalgia itulah yang menyebabkan kita terus terperangkap dalam penjara kenangan masa silam kehidupan kita pada saat-saat kedatangan Ramadan dan Syawal setiap tahun!