KARYA berjudul A Tranquill Star: Unpublished Stories ini cuba mendidik masyarakat dalam aspek nilai
KARYA berjudul A Tranquill Star: Unpublished Stories ini cuba mendidik masyarakat dalam aspek nilai dan moral.

Jika itu yang anda bayangkan, ia mungkin betul berdasarkan kajian terkini yang mana rakyat Malaysia didapati membaca secara purata 15 buku setahun. Ia merupakan peningkatan 750 peratus berbanding dengan purata dua buah buku setahun pada tahun 2005 atau hanya dua muka surat setahun pada era 1980-an.

Berdasarkan kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), jenis-jenis bahan bacaan kegemaran rakyat negara ini ialah majalah meliputi 63 peratus dan surat khabar sebanyak 61 peratus. Bagi para pelajar, 55 peratus daripada mereka membaca buku akademik dan ilmiah yang berorientasikan peperiksaan di sekolah atau pusat pengajian tinggi.

Fakta menarik yang diperoleh oleh PNM ialah enam peratus daripada rakyat Malaysia merupakan para pembaca tegar kerana mereka membaca lebih daripada 48 naskhah buku setahun merangkumi pelbagai genre dan bidang.

Purata 15 buku setahun juga telah meletakkan kadar celik huruf rakyat Malaysia meningkat kepada 98 peratus pada tahun tersebut berbanding 92.3 peratus pada tahun 2005. Sebenarnya kedua-dua fakta ini telah agak lama iaitu sekitar empat tahun lalu dan pastinya ia telah mengalami peningkatan pada tahun 2018!

Namun, persoalan terbesar yang perlu diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk para pengarang kreatif ialah apakah sebenarnya bahan bacaan rakyat negara ini? Adakah ia juga melibatkan bahan-bahan bacaan maya bersumberkan Facebook, blog dan yang seumpamanya? 

James J. O’Donnell dalam bukunya, Avatars of the World: From Papyrus to Cyberspace (1998) mengemukakan pendapat yang menarik untuk dikaitkan dengan isu ini. Antara lain beliau menulis, semakin berkembangnya sumber maklumat berdasarkan internet dan dunia maya telah mengubah tradisi membaca masyarakat dunia.

Menurut beliau, perkembangan tersebut akan menyebabkan trend pembacaan mulai bergerak kepada medium baharu yang dibawa oleh media elektronik dan media sosial.

Kerisauan terbesar 

Fenomena ini menyebabkan pembaca tidak lagi memberi tumpuan kepada sumber cetakan. Mereka akan berlumba-lumba keluar daripada tradisi membaca bahan bercetak dan beralih kepada sumber-sumber bacaan alternatif di dunia maya.

Sebenarnya terlalu sukar membendung perkembangan ini. Apa yang berlaku di Malaysia hari ini sama seperti kekecewaan Sven Birkerts dalam tulisannya, The Gutenberg Elegies, The Fate of Reading in an Electronic Age (1994). Ia memuatkan kerisauan Birkerts tentang masa depan industri buku dan kecenderungan masyarakat global terhadap bacaan maya.

Kerisauan terbesar Birkets ialah membaca bahan-bahan dalam talian dengan menggunakan medium kecanggihan elektronik akan menghapuskan tradisi bahan bercetak.

Selain itu, beliau turut berpendapat, kuantiti bacaan tidak menjamin kepada pembentukan pemikiran dan tingkah laku pembaca ke arah yang lebih baik. Sebaliknya, aspek yang perlu diberi penekanan ialah kualiti dan kandungan bahan yang dibaca. 

Jika pandangan Birkets ini difahami secara mendalam, pelbagai pihak dapat membantu menyediakan bahan bacaan yang berkualiti. Dalam konteks Malaysia, para pengarang dan sasterawan dapat memainkan peranan ini dengan menghasilkan tulisan-tulisan berkualiti untuk bacaan masyarakat.  

Krisis modeniti

Sumbangan-sumbangan pengarang terhadap masyarakat melalui karya-karya mereka pernah dibahas dengan terperinci oleh Elizabeth Lowry dalam Times Literary Supplement, terutama tentang J.M Coetze, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2003 dari Afrika Selatan.

Lowry memetik buku Coetze, Inner Workings: Literary Essays 2000-2005 (2008), sebuah kumpulan esei beliau. Ia memuatkan tulisan-tulisan tentang sumbangan penulis terkenal dunia. Antaranya, William Faulkner,
Guenther Grass, Gabriel Garcia Marquez, Samuel Beckett, Nadine Gordimer, V.S. Naipaul dan lain-lain.

Dalam esei pertamanya yang dimuatkan dalam buku tersebut, Coetze menulis tentang sumbangan Italo Svevo (1861-1928) pengarang novel The Confessions of Zeno (1923) terhadap ketamadunan dan tradisi intelektual masyarakat Itali melalui karya-karyanya.

Coetze turut menjelaskan sumbangan besar seorang lagi pengarang Itali, Primo Levi (1919-1987) dengan memetik kumpulan tulisan Levi, A Tranquil Star: Unpublished Stories (2007). Pengarang tersebut dalam setiap cerita dan watak digambarkan cuba mendidik masyarakatnya dalam aspek nilai dan moral.

Peranan para pengarang dalam mendidik masyarakat juga dapat dihubungkan dengan satu lagi contoh lain yang menarik. Pada tahun 1840, esei oleh penyair terkenal Britain, Percy Bysse Shelly (1792-1822) bertajuk The Defence of Poetry diterbitkan iaitu sekitar selepas 14 tahun kematiannya.

Tidak ada apa-apa yang menarik tentang artikel tersebut sebenarnya. Hanya sekitar tentang dunia kepenyairan dan penulisan puisi penyair wanita tersebut. Namun, intipati esei tersebut ialah menolak pandangan sempit Thomas Love Peacock, seorang lagi pengarang kreatif negara itu.

Peacock antara lain menganggap puisi dan semua genre sastera tidak lagi relevan dengan perkembangan sains dan teknologi yang berkembang di Eropah selepas Revolusi Industri (1750-1850). Genre tersebut dianggap hanya ditulis oleh orang yang lemah dan emosional.  

Sebaliknya, Shelly menegaskan, puisi dan semua karya kreatif manusia merupakan bukti kebijaksanaan imaginatif yang mengatasi keupayaan analitik seseorang. Beliau merujuk  pandangan beberapa seniman Romantik Jerman abad ke-18 yang mengutarakan bahawa seni dan sastera sebagai jalan keluar daripada krisis modeniti. 

Pengikut aliran Romantik berpendapat, ketika pengetahuan empiris yang berdasarkan ilmu-ilmu logik berkembang pesat di Eropah, ilmu sosial seperti sastera sebenarnya sangat diperlukan. 

Ia bertujuan menguatkan nilai-nilai moral dalam masyarakat dan membendung eksploitasi terhadap sesama manusia serta alam.

Apakah sebenarnya yang boleh kita simpulkan daripada pertembungan idealisme antara Shelly dan Peacock? Adakah ia hanya sekadar pertentangan pendapat atau pandangan semata-mata? Mungkin juga pertentangan idea tentang jalan keluar daripada krisis pengetahuan empiris?

Kesimpulan yang paling mudah dan ringkas ialah betapa pentingnya sastera sebagai medium untuk mengimbangi empirisisme dan pelbagai gejala negatif dalam masyarakat. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian utama oleh pengarang dan sasterawan Malaysia.