Setiap pelajar universiti pada zaman awal perkembangan komputer perlu mempunyai pengetahuan mengenai perisian WordStar atau WordPerfect dan harus belajar menulis esei masing-masing dalam sistem komputer yang tidak begitu canggih pada waktu itu.

Sejak 35 tahun lalu, daripada persekitaran makmal komputer, akses kepada komputer bertukar menjadi komputer peribadi, komputer riba, komputer yang dirangkaikan sistemnya, tablet dan kemudiannya telefon-telefon pintar yang boleh mengakses internet dan digunakan untuk berkomunikasi secara mudah alih.

Komputer dan teknologi maklumat berubah di depan mata kita, menukar cara hidup, cara kerja dan cara sosialisasi rakyat Malaysia.

Daripada perkhidmatan e-mel Hotmail pada tahun 1996, Internet Relay Chat (IRC) yang menjadi popular pada tahun 1988, hingga kepada Facebook yang memulakan perkhidmatannya pada tahun 2004, rakyat Malaysia yang remaja pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dan anak-anak yang keluar sekolah pada milenium baru telah menjadi seperti ikan-ikan yang termakan umpan teknologi.

Mata kail teknologi maklumat tercangkuk pada minda mereka.

Mereka tidak dapat hidup lagi tanpa WhatsApp, Instagram, YouTube, Telegram, WeChat, Twitter, SMS, laman-laman web, blog dan beribu-ribu lagi aplikasi yang diperkenalkan dalam internet.

Dua aplikasi media sosial yang paling popular ialah Facebook dan WhatsApp. Seorang pengkaji dalam penyelidikannya mendapati media sosial yang sangat berpengaruh di Malaysia ialah Facebook (54 peratus) dan WhatsApp (30 peratus).

Kira-kira 84 peratus daripada responden dalam kajian itu menyatakan mereka menggunakan Facebook dan WhatsApp untuk mengikuti perkembangan isu-isu semasa melalui media sosial.

Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang berusia di bawah usia 55 tahun belajar tentang komputer, teknologi maklumat dan mengetahui kecanggihan telefon pintar dan dunia internet sejak muda lagi.

Bilangan mereka amat ramai dan mencakupi peratusan besar daripada 31 juta penduduk Malaysia. Dianggarkan kira-kira 41 peratus jumlah penduduk Malaysia berada dalam kumpulan umur 25 hingga 55 tahun dengan jumlah mereka sekitar 13 juta orang.

Sebahagian besarnya merupakan pengundi. Mungkin peratusannya kira-kira 75 peratus daripada jumlah pengundi di negara ini.

Kumpulan ini boleh mencorakkan politik dan bentuk pemerintahan berdasarkan pendedahan kepada maklumat-maklumat yang disebarkan menerusi media sosial dan internet.

Dalam keadaan biasa, pengaruh media sosial ke atas rakyat Malaysia itu hanya dianggap sebahagian daripada gaya hidup moden, namun pada musim-musim seperti pilihan raya umum, capaian tersebut dilihat sebagai sesuatu yang amat kritikal dan suatu ancaman, baik kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), cengkaman media sosial dan internet – dunia baharu yang dicetuskan oleh teknologi komputer – bakal menentukan kuasa dan siapa berkuasa. Salah terpengaruh, habis negara.

Dalam konteks ini, proses membuat keputusan amat mustahak diketahui oleh golongan yang terdedah kepada media sosial. Prospek kejayaan dan risiko kegagalan sebuah bangsa kini berada pada tangan masing-masing.

Membuat keputusan politik yang terbaik adalah rumit. Amat berbahaya sekiranya sesuatu keputusan itu dibuat berasaskan info yang salah, berita tidak benar, maklumat tidak lengkap, andaian palsu dan penilaian yang tidak cukup masak.

Dalam tempoh satu dua bulan akan datang, pemahaman rakyat dan pengundi tentang pengaruh baik dan buruk media sosial sedang melalui ujian politik yang sangat berat.