Kemalangan itu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan kru JT610, namun, lebih tragis, pesawat Boeing 737 MAX yang dipercayai terjunam ke dalam Laut Jawa dan berkecai itu baru dua bulan beroperasi. Sehingga kini, punca nahas masih disiasat dan belum diumumkan.

Insiden tersebut dan kemalangan pesawat komersial lain sejak beberapa dekad lalu mencetus perasaan gerun kepada sesetengah orang untuk menaiki penerbangan, apatah lagi, mereka yang mempunyai masalah avifobia.

Menurut laporan laman web majalah Forbes yang memetik statistik Boeing, sebanyak 1,525 kemalangan udara membabitkan pesawat komersial direkodkan dari tahun 1959 hingga 2015, mengorbankan seramai 29,165 penumpang dan kru serta 800 individu yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 717 kemalangan mengakibatkan kemusnahan pesawat sama sekali.

Antara tahun paling buruk dalam sejarah aviasi adalah 2014. Tahun tersebut merekodkan dua nahas udara melibatkan Malaysia Airlines, masing-masing pada bulan Mac dan Julai yang meragut 537 nyawa. Pada tahun sama, 162 kematian lain direkodkan melibatkan nahas pesawat Airbus A320 milik AirAsia yang terhempas, juga di Laut Jawa, ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju Singapura.

Antara nahas udara lain yang berlaku pada tahun tersebut membabitkan syarikat penerbangan Air Algerie (116 kematian), TransAsia Airways (48 kematian) dan Sepahan Airlines (39 kematian).

Di sebalik semua itu, pakar-pakar bersetuju bahawa kapal terbang komersial kekal sebagai mod pengangkutan paling selamat di dunia. Profesor di jabatan ekonomi Universiti Northwestern di Illinois, Ian Savage dalam kajiannya antara tahun 2000 hingga 2009, mendapati penerbangan merupakan kaedah pengangkutan paling selamat di dunia dengan rekod cuma 0.007 kematian untuk satu bilion perbatuan penumpang.

Kemalangan trafik

Kajian sama juga mengesahkan fokus kempen keselamatan jalan raya di negara ini dan tempat lain iaitu motosikal. Jentera dua roda itu kekal mod pengangkutan paling berbahaya di dunia berbanding mana-mana kenderaan lain dengan catatan 212.57 kematian untuk satu bilion perbatuan penumpang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 1.25 juta orang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia atau bersamaan sekitar 3,287 kematian sehari. Jumlah tersebut ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan korban kemalangan udara.

Selain kematian, kemalangan trafik turut mengakibatkan antara 20 juta hingga 50 juta orang di seluruh dunia cedera atau mengalami kecacatan.

Di sebalik statistik tersebut, nahas udara menimbulkan perasaan gerun ekoran mendapat liputan meluas media dan lazimnya melibatkan banyak kematian walaupun hakikatnya, ia jarang berlaku dan kebarangkaliannya terlalu kecil.

Malahan pula, pesawat masa kini dilengkapi teknologi canggih dan rata-rata mampu terbang dan mendarat dengan selamat walaupun satu enjinnya terbakar atau rosak.

Juruterbang pesawat komersial pula menerima latihan secukupnya untuk mengendalikan pesawat. Mereka sekurang-kurangnya berusia 21 tahun dan berkemungkinan mempunyai pendidikan kolej dan penglihatan yang baik dan paling penting, mempunyai pengalaman 3,000 jam masa penerbangan.